Salam.
Tadi, aku baru saja lepas membelek-belek majalah Solusi Isu No. 37. Tiba-tiba terbuka pula halaman 58. Tajuk artikel yang ditunjukkan dalam halaman itu menarik perhatianku. "Kita Merancang, Allah Juga Merancang." Tapi aku tak baca pun keseluruhan artikel tu pun. Yang aku baca ialah sebuah cerita yang dibawakan oleh penulis berkenaan dengan tajuk yang tertera.
Bila aku baca sekali lalu cerita ini, hatiku benar-benar tersentuh. Ada mesej yang cuba disampaikan oleh penulis melalui cerita yang ringkas ini. Benarlah juga kata orang. Bila kita baca sesuatu yang berkait rapat dengan diri kita, ia akan lebih terasa dan lebih senang nak serap terus ke dalam otak dan hati. Nak aplikasikan ke dalam kehidupan seharian pun gampang. Jadi menurutku, kisah ini sangatlah kena dengan situasi yang sedang kualami saat ini. Tak tahulah kena ke tak dengan kamu.
Okey, okey. Jangan buang masa. Mari aku ceritakan kepada kamu.
Cerita ini mengenai dua batang pokok besar yang tumbuh bersama-sama dalam sebuah hutan.
Ceritanya begini. (diadaptasi oleh Zimah Zaiwani)
Kisah Jaja dan Jiji
Dalam sebuah hutan yang hijau, terdapatlah dua batang pokok yang tumbuh dan membesar bersama-sama di atas sebuah bukit. Katakanlah yang satu namanya Jaja dan pokok yang satu lagi namanya Jiji.
Pada suatu hari, Jaja dan Jiji berbual-buallah sesama mereka. Banyak jugalah yang mereka bualkan. Alah, masa-masa senggang macam nilah baru syok nak borak-borak. Jangan lupa, pokok juga makhluk Allah dan mereka sentiasa berzikir kepada-Nya. Tapi ada masanya mereka pun perlu bersosial juga sesama mereka. Macam manusia. He he he. Gurau saja.
Tapi hari tu, mereka bukanlah berbual-bual kosong, sebaliknya mereka saling membicarakan tentang cita-cita dan angan-angan masing-masing. Tengok, pokok pun ada angan-angan. Hebat, kan?
Berikut adalah perbualan mereka berdua.
Jaja: Jiji, aku harap suatu hari nanti bila dah sampai masanya aku ditebang, aku nak jadi peti simpanan hartalah. Aku akan diisi dengan emas, perak dan barang-barang kemas yang bergemerlapan dan indah-indah. Lepas tu, semua orang akan memuji-muji keindahanku dan kecantikanku. Wah seronoknya!
Wah, tingginya impian Jaja ni. Bangga pula tu dengan impian dia yang entahkan jadi atau tidak tu. Hmm, tak apa, tak apa. Kita tengok pula apakah impian Jiji.
Jiji: Oh ya? Besar sungguh cita-cita kau tu, Jaja. Hmm, kalau aku pula, bila dah sampai masa aku kena tebang nanti aku mengimpikan untuk menjadi sebuah kapal yang besar dan teguh. Aku akan bawa raja dan permaisurinya belayar merentas lautan sehingga ke hujung dunia, kau tahu! Lepas tu, semua yang ada di atasku akan berasa selamat kerana kekuatan binaanku dan keampuhan tubuhku.
Waduh-waduh, boleh tahan juga impian Jiji ni, kan? Samalah mereka ni. Dua kali lima aje. Tak salah sebenarnya pasang cita-cita yang tinggi dalam hidup. Tapikan, persoalannya adalah adakah semua yang kita hajatkan itu akan menjadi kenyataan? Ya, Allah Maha Memberi lagi Maha Penyayang. Tapi bukan ke Allah lebih tahu mana yang baik dan mana yang buruk untuk hamba-hamba-Nya?
Hmm... fikirkan sejenak. Okey-okey, tak apa. Kita habiskan dulu cerita Jaja dan Jiji ini. Lepas tu kita diskusi balik ya.
Beberapa tahun pun telah berlalu dengan pantasnya. Tengok, betapa pantasnya masa memotong kita. Akhirnya, datanglah sekumpulam pembalak. Setelah ditinjau satu hutan tu, mereka telah memilih Jaja dan Jiji untuk ditebang dan dijadikan kayu.
Jaja dan Jiji apa lagi. Bukan main seronok lagi mereka ni, sebab dah tak sabar-sabar nak tunggu cita-cita mereka dipenuhi. Namun, apa yang terjadi terbalik pula dengan apa yang mereka impikan. Sampai saja di tempat tukang kayu, Jaja dipotong dan digergaji untuk dijadikan sebuah kotak kayu biasa. Kegunaannya adalah untuk dijadikan bekas makanan untuk haiwan ternakan. Jadi, ia diletakkan dalam sebuah bangsal. Manakala si Jiji pula sampai ke limbungan kapal. Di sana, dia dipotong dan dijadikan sebuah bot kecil bagi kegunaan nelayan menangkap ikan.
Aduh, hancur berkecai harapan Jaja dan Jiji ni. Betapa kecewanya mereka ni. Tapi dah takdirnya begitu, mereka turutkan sajalah.
Nak dijadikan ceritanya, tiga tahun pun berlalu. Jaja dan Jiji makin lupa pada cita-cita dan angan-angan mereka sebelumnya. Mereka hanya terus menjalankan hidup sebagai benda yang baru dan berkhidmat untuk manusia.
Pada suatu hari, adalah sepasang suami isteri yang entah dari mana tiba di bangsal, tempat kotak kayu (Jaja) duduk. Dekat bangsal tu, si isteri melahirkan seorang bayi yang sangat comel macam Heliza. Tapi dekat situ pula tak ada tempat yang sesuai bagi si ibu untuk meletakkan anaknya yang baru lahir dan sedang merengek-rengek itu. Bila terlihatkan sebuah kotak kayu (Jaja) yang kosong berdekatan dengan mereka, si ibu lalu meletakkan bayinya di dalamnya. Hanya kotak itu sajalah yang dapat beri keselesaan pada si kecil itu. Jaja rasa terharu sangat sebab dirinya sangat diperlukan manusia ketika itu.
Sekarang barulah Jaja sedar yang walaupun dia tak dapat dijadikan peti simpanan harta dengan kilauan emas dan permata, namun dia sedang memegang sebuah "harta" yang lebih bernilai, iaitu seorang anak kecil yang belum mengerti apa-apa namun bila dia besar dia akan berbakti kepada kedua orang tuanya. Jaja terharu dan bersyukur dengan apa yang Tuhan telah jadikan dia sekarang.
Macam mana pula dengan jiji? Apa jadi dengan hidup dia sekarang?
Haa, Jiji pula telah digunakan oleh sekumpulan nelayan. Suatu hari, mereka telah pergi ke tengah samudera untuk menangkap ikan. Tiba-tiba, mereka dilanda ribut yang maha hebat. Lautan yang dari tadi kelihatan tenang semakin mengganas. Jiji yang hanya merupakan sebuah bot kecil terumbang-ambing atas lautan itu dihempas badai. Jiji rasa dirinya semakin lemah dan tak mampu nak menyelamatkan para nelayan yang berada di atasnya. Kesian kan Jiji? Tapi walau macam manapun, Jiji terus kuat dan bertahan sedaya yang boleh. Apa yang mendorong Jiji untuk terus kuat adalah kesungguhan salah seorang nelayan mengawal kemudi sambil berteriak memberi arahan kepada kawan-kawan nelayan yang lain untuk terus bertahan menentang gelombang.
Dengan izin Allah, ribut yang kuat tadi pun akhirnya reda juga. Suasana kembali tenang seperti biasa. Alhamdulillah. Sambil tersenyum, nelayan tu pun berkata, "Alhamdulillah, kita semua selamat." Jiji yang menghadapi pahit getir peristiwa itu bersama-sama mereka berasa amat bangga dan gembira sebab walaupun dia tak dapat jadi sebuah bahtera yang besar, tapi hanya sebuah bot yang kecil, ternyata di dalamnya berdiri seorang "raja" yang lebih gagah dan berjasa daripada raja yang dia fikirkan sebelumnya.
Picture taken from: http://popoks.deviantart.com/gallery/?offset=24#/d4csa02 |
Ulasan kisah
Amacam? Nampak tak mesej yang disampaikan dalam kisah Jaja dan Jiji ni?
Jom kita berbalik kepada persoalan di atas; adakah semua yang kita hajatkan itu akan menjadi kenyataan? Okey. Aku jawab sekarang.
Jawapannya, ya dan tidak.
Aku rasa ada je sekelompok manusia yang beruntung atas muka bumi ni. Maksudku, beruntung dari segi apa saja yang mereka hajatkan akan diperkenankan Allah. Dan dalam masa yang sama, ada juga manusia yang Allah jadikan mempunyai nasib yang berbeza dengan sekelompok manusia tadi. Apa yang mereka hajatkan, Allah tak kasi.
Tapi, cuba kita fikirkan sejenak. Dalam dunia ni, Allah hanya beri kita dua pilihan dan terserah kepada kita untuk memilih yang mana kita rasakan bersesuaian dengan diri kita dan akan membuat kita bahagia sekalian dapat bantu kita untuk mencapai redha-Nya.
Pilihan pertama: Kita mengimpikan banyak benda dalam hidup ni dan kita harap Allah akan perkenankan, walau tak semua tapi sekurang-kurangnya separuh daripada impian kita tu jadi kenyataan. Sebab kiranya tu pun dah kira cukuplah untuk kita. Dengan izin Allah, semua yang kita hajatkan tu Allah perkenankan juga. Tapi, ada dua kemungkinan yang bakal kita hadapi. Satu, ia mungkin akan memudaratkan diri kita sepanjang kita masih hidup atas dunia ni. Dua, kita tak akan berkesempatan dapat yang lebih baik di akhirat sebab Allah dah kasi awal-awal kat dunia.
Pilihan kedua: Kita mengimpikan banyak benda dalam hidup ni dan kita harap Allah akan perkenankan, walau tak semua tapi sekurang-kurangnya separuh daripada impian kita tu jadi kenyataan (sama macam ayat di atas ya). Tapi, atas kehendak Allah, kita tak dapat apa yang kita hajatkan. Fuh, kita pun frustlah menonggeng sebab kecewalah tak dapat apa yang kita nak. Tapi, dalam pilihan kedua ni juga, ada dua kemungkinan yang kita akan hadapi. Satu, Allah akan gantikan dengan sesuatu yang lain tapi masih berkaitan dengan apa yang kita hajatkan. Dua, Allah akan berikan sesuatu yang jauh lebih baik lagi di akhirat atas kesabaran kita tak dapat di dunia. Fulamak, syoknya!
Cuba kita renungkan pula firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 216, maksudnya:
"... boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal ia baik bagimu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia tidak baik bagimu. Sesungguhnya Allah Mengetahui sedang kamu tidak ketahui."
Ulasannya, mungkin kita akan rasa sedih sangat sebab kita tak mampu nak dapatkan apa yang kita nak. Yalah, siapa yang tak sedih kan. Kadang-kadang aku pun frust kot bila tahu semua yang aku hajatkan Allah tak bagi. Tapi, bila teringatkan firman Allah ni, aku jadi terfikir sendiri. Allah yang ciptakan kita semua. Jadi, Dia lebih tahu sebenarnya apa yang baik untuk kita dan apa yang buruk untuk kita sebab mungkin kita masih belum mengenali diri kita dengan sebenar-benarnya, tapi Allah itu lebih kenal kita. Pasal, dia menjadikan kita daripada tiada kepada ada, betul tak?
Aku pernah terbaca dalam sebuah buku yang ditulis oleh Burhan Sodiq. Dalam salah satu bab dalam buku tersebut, beliau ada mengatakan bahawa Allah akan berikan sesuatu kepada manusia bersesuaian dengan fitrahnya. Atau dengan erti kata lain, Allah akan berikan sesuatu kepada manusia berdasarkan apa yang dia hajatkan dan apa yang dia inginkan selagi mana ia tidak bertentangan dengan fitrahnya sebagai seorang manusia dan tidak lari dari batas agama. Apa yang aku nak kata di sini ialah Allah jugalah yang hadirkan rasa keinginan terhadap sesuatu ke dalam hati kita semua. Percaya tak? Tak percaya, sedeyh. Kiranya ini adalah hubung kait tentang hubungan Pencipta dan yang dicipta. Nampak kan yang kita ni ada hubungan atau bond yang sangat rapat dengan Pencipta kita sendiri, iaitu Allah s.w.t. Subhanallah.
Jadi, berdasarkan dua pilihan di atas, agak-agaknya, yang manakah jadi pilihan kita semua? Pilihan aku... biarlah rahsia. Ha ha ha.
Tapi apapun, nasihat aku, kita janganlah terlalu kecewa jika tak dapat sesuatu di dunia ni. Tak salah kalau hajatkan sesuatu tapi dengan syarat kita sendiri perlu sentiasa berlapang dada dengan takdir Allah kepada kita. Kalau kita tak berlapang dada, tak ada apa yang kita bisa dapatkan selain kekecewaan dan kesedihan saja dan ini sebenarnya lebih bahaya. Takut kalau kita semakin menjauhkan diri dari Allah sebab makan hati dengan-Nya sebab tak beri apa yang kita nak. Sebaik-baiknya, macam nilah. Kita terus hajatkan apa saja yang kita nak tapi latih diri untuk sentiasa redha dengan apa saja pemberian-Nya kelak. Insya-Allah, bukan kecewa tapi syukur yang kita akan dapatkan. Boleh?
Akhir kalam, kalau tiba-tiba kamu hadapi situasi macam Jaja dan Jiji macam dalam kisah tu, cubalah berbalik semula kepada ayat al-Qur'an di atas. Baca dengan penuh penghayatan. Bila kita betul-betul menghayati ayat yang ringkas ni, kita akan dapat rasakan dalam hati yang pada saat itu Allah sedang memujuk kita dengan ayat-ayat cinta-Nya.
Wallahua'lam.
^__^
No comments:
Post a Comment