Kudongakkan kepala melihat langit biru, membumbungi bumi
Mataku terlihat satu persatu awan hitam berarak, mendung
Terbayang-bayang wajah manismu di fikiranku
Tanganmu melambai-lambai, kau tersenyum ke arahku
Tapi kenapa hati ini sering merasakan
Bahawa senyuman itu senyuman palsu
Yang dibuat-buat
Agar kuyakin kau memang sedang bahagia
Di sampingnya
Sebak hatiku tiap kali kita bertemu
Senyuman terukir di bibir tanda bahagia
Bisa bertemu dan berpelukan kasih denganmu lagi
Namun hati ini syahdu
Melepaskan beban rindu yang sekian lama dipendam
Dalam hitungan hari-hariku
Akhirnya dapat juga aku melihat wajah itu
Tersenyum lagi padaku
Ya Allah, sungguh aku rindu
Hati ini terus merintih dan merintih lagi
Saat diri ini terus mengenangkan setiap kenangan
Yang kita bina bersama
Walau aku ikhlas dengan pernikahan ini
Kenapa hatiku tetap saja berat
Ingin membiarkan kau di bawah jagaannya
Sehinggakan aku berfikir sendiri
Alangkah bahagianya jika aku dapat menjagamu
Hingga aku dijemput Tuhan bagi menghadap-Nya
Begitulah isitimewanya kau padaku
Tapi janganlah kau salah erti
Aku redha kau dipertemukan dengannya
Kerana Tuhan lebih mengetahui segala-galanya
Inilah yang terbaik untukmu
Namun hati ini tetap saja sunyi
Bila kau sudah tidak menemani
Ingin menghubungi, hati teragak-agak
Khuatir andai aku mengganggu masa kalian
Tapi tidak mampu berdiam diri
Tanpa mendengar sekurang-kurangnya sedikit berita
Mengenai perkembangan hidupmu di sana
Ketika kita berutus SMS
Hatiku menjadi sebak lagi
Saat membaca tulisanmu
Kau berkata,
"... aku sangat rindukan masa dulu
yang mana aku sering berkongsi masalah denganmu..."
Sahabatku
Ternyata bukan kau seorang yang rasakan begitu
Hati ini bagai dirobek-robek
Bengkak kesedihan masih belum terubat
Aku terus merintih lagi
Membiarkan saja mutiara-mutiara putih
Jatuh membasahi pipi
Jika kau rindu, percayalah
Aku adalah orang yang lebih lagi merindukan
Momen-momen kita bersama dulu
Andai aku punya kuasa
Akanku putar semula masa
Agar kita kembali ke saat itu
Hanya kita berdua
Kini tanpa kusedar
Sudah genap empat bulan kau bergelar isteri orang
Kutahu kau bukan lagi milikku untuk dijaga
Ada insan yang lebih layak menggalas tugas itu
Berbanding diriku
Tapi mengapa hati ini tidak dapat berhenti
Daripada terus memikirkan dirimu
Firasat hati selalu tidak baik
Saat tangan kita bersalaman
Tubuh kita saling mendakap
Kutahu ada sesuatu yang kau sembunyikan
Daripada pengetahuanku
Aduh, jangan begitu, sahabatku!
Walau kini dirimu sudah dipunyai
Tapi ketahuilah aku masih tetap di sini
Sedia mendengar setiap luahanmu
Aku bagai bintang Polaris
Yang akan tetap di tempatnya
Walau musim silih berganti
Jika memang benar kita akan bertemu lagi
Aku memang ternanti detik itu
Tika kau mula bersuara
Mencurahkan segala rasa hati
Yang sekian lama disimpan rapi
Izinkan aku mengesat air matamu itu
Izinkan aku mendakapmu, menghalau pergi
Setiap kesedihan yang mengganggumu
Kerana kau sahabatku
Jika kau berduka
Aku akan turut berduka
Kerana kesedihanmu, kesedihanku juga
Kerana kebahagiaanmu, kebahagiaanku jua
Nota: Apa-apapun, aku tetap mendoakan agar bahagia saja yang mengiringimu. Andai kau berhadapan dengan sebarang bentuk ujian atau dugaan hidup sekalipun, percayalah bahawa tetap akan ada kebahagiaan yang Allah sediakan di setiap pengakhiran dugaan itu. Yang penting, hati ini tidak akan lelah untuk terus mendoakan dirimu dan keluargamu. Kau tetap sahabatku sehingga ke akhirnya andai masa terus mencemburui kita. Aku pasti, akan datang hari istimewa yang Allah tetapkan untuk kita bertemu lagi. Kerana bagiku ukhuwah kerana Allah tiada penghujungnya.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment