~Bismillah~
Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh !
PERUTUSAN KHAS SEMPENA HARI LAHIR PUTERIKU : WAN HAZIMAH
Adik !
Guru adalah pelita ummah. Tanpa keringat dan pengorbanan guru, kita tidak mampu memiliki apa-apapun di dunia ini melainkan kejahilan. Maka kerana itu, hormati dan muliakanlah kesemua gurumu setiap waktu. Jadikanlah nafasmu, nafas kasih sayang buat mereka dan jangan sakiti mereka, nanti ilmu, rezeki dan hidupmu tiada perolehi keberkatan. Bilamana kamu menyayangi gurumu tanpa syarat, kamu juga akan dikasihi oleh muridmu sepanjang hayat.
Murid pula adalah bunga bangsa penerus zaman. Jatuh bangun sebuah tamadun bangsa berada di bahu mereka. Tugasanmu sebagai guru terlalu berat untuk mengajar dan mendidik mereka dengan kesabaran dan kesungguhan. Justeru, terimalah setiap mereka seperti anak-anakmu sendiri dan jangan sekali-kali ada rasa jemu serta benci kalaupun kerenah mereka menyulitkan segala kerjamu, kerana itulah sifat semula jadi seorang anak.
Sebagai puteri ketiga, kamu mempunyai peranan membantu Kaklong dan Kak Uda memperkukuhkan hubungan antara adik beradik. Jangan sekali-kali bertentangan dengan mereka termasuk kedua-dua abangmu; Angah dan Abang Nuar . Disebaliknya hormatilah mereka sebagai payung dan benteng pertahanan memperteguhkan institusi anak-anak emak ayah. Juga jangan lupa untuk menjaga dan memberi kasih sayangmu kepada kedua-dua adik lelakimu; Hafiz dan Zaim. Ingatlah, mereka semua adalah sandaran utama mu di kala suka dan duka.
Ayah berbangga dengan keberanianmu mengutara pandangan balas terhadap ayah yang tidak secucuk dengan jiwamu. Walaupun telatah dan kata-katamu yang becok ada ketikanya menyinggung hati, namun itulah yang membuatkan ayah terkenang dan rindu pada mu. Sifat mulia mu terhadap haiwan emak ayah sanjung tinggi. Lebih dari itu, jangan lalai dan alpa untuk memberi perhatian dengan penuh kasih sayang pada emak ayah, kerana bila mana kami terhibur maka dari situlah jelmanya Redha Allah terhadap mu.
Sempena hari lahirmu pada hari ini, emak ayah ingin mengambil kesempatan mengucapkan TAHNIAH diatas semua kejayaan mu yang cemerlang dalam tempuh dua puluh tiga (23) tahun yang lalu. Tinggi harapan emak ayah semoga kamu mendapat pasangan yang secucuk dengan jiwamu.
Lanjutan dari itu emak ayah juga akan terus memanjatkan doa memohon restu dari Allah SWT agar hidupmu dalam sejahtera dan berbahagia di sepanjang perjalanan selanjutnya… dan yang lebih penting sentiasa berada dalam Rahmat-Nya….AMEEN, YA RABBAL AALAMIN !
SELAMAT MENYAMBUT HARI LAHIR YANG KE – 23 TAHUN.
Wassalam.
Salam hormat dan kasih sayang yang tiada tepian dari emak ayah,
WAN IBRAHIM WAN AHMAD & ZAILA ABDUL KADIR.
19 November 2013
No comments:
Post a Comment