Kadang-kadang kita tidak menyedari bahawa Allah sangat hampir dengan kita |
Seharian aku berjalan
Mencari jalan pulang
Dengan memandang ke hadapan
Menanti dugaan yang datang
Dalam pengembaraanku
Bermacam jenis orang
Bermacam jenis ragam
Kulihat tiada jemu
Dugaan semakin mampir
Semak-samun menghalang pandangan
Tiupan angin kencang mengigit
Bahang matahari mencengkam tubuh
Kuredah dengan sekeping hati tegar
Melalui tiap arus rintangan
Dari kejauhan sudah terlihat
Sebuah cahaya melambai-lambai
Namaku bagai dibisik perlahan
Itu Dia
Dia yang kucari
Selepas melalui tiap satu ujian diberi
Kini kuberada dalam dakapan-Nya
Kembali, pulang ke sisi-Nya
Saat ku berada di sisi-Nya
Ku terdengar sebuah mantera cinta
Bergetar di sudut hati, mengulangi
Aku dekat, Kau dekat
Ya
Kembaraku mencari cinta
Cinta itu
Dan kini telah kutemukan
Cinta sejati, dambaan hati
Semakin Dia kudekati
Semakin aku Dia hampiri
Aku bahagia
Sebelum malam menutupi siang
Sebelum roh terbang dari jasad
Kuputar kembali mantera cintaku
Aku dekat, Kau dekat
Nota: Kata orang mencari cinta memakan masa yang agak lama sekali. Kalau masih belum kenal apa itu cinta, jangan haraplah kita akan jumpa cinta sebenar dengan mudah. Perjalanan aku mencari cinta memakan masa beberapa tahun jugalah. Ya, kerana ketika itu aku masih buta akan cinta manusia dan masih belum bisa mendalami erti kata cinta yang sebenarnya. Tapi tidak pula kukatakan bahawa kini aku sudah pakar dalam percintaan. Tapi apa yang ingin aku kongsikan di sini ialah betapa nikmatnya bercinta dengan Sang Kekasih yang sebenarnya. Apabila kalian sudah menemukan cinta sepertiku, sudilah berkongsi dengan ku pula tentang kisah pertemuan dan percintaan kalian dengan Dia. Sebab kisah cinta kita berbeza-beza. Mengikut aturan-Nya. Marilah sama-sama kita bersaing memburu cinta-Nya yang hakiki. Aku dekat, Kau dekat.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment