Setiap hari
Begitu sukar dilalui
Jika difikirkan kembali
Terdapat ramai lagi
Yang hidup mereka kerap diuji
Ada yang sanggup menahan diri
Dari perut terisi
Ada pula bermandi darah di bumi sendiri
Kusyukuri akan semua nikmat diberi
Kerna ianya kurniaan Ilahi
Akan tetapi
Layakkah aku terus menerimanya lagi
Sedangkan masih ramai meratapi
Akan nasib diri
Sungguh begitu hina diri ini
Begitu malu diri ini
Setiap hari
Mengharap kasih tulus suci
Belas ihsan dari Rabbul Izzati
Kerna Dia sebaik-baik Pemberi rezeki
Memang ianya patut diyukuri
Tapi mengapa diri ini
Masih terasa kosong tidak terisi
Sunyi dan sepi sekali
Sedangkan para sahabat mengelilingi
Keluarga juga di sisi
Apa lagi yang dirintihkan hati
Sungguh manusia tidak tahu menghargai
Aku menyedari
Terlalu banyak hal yang kutangisi
Semuanya terlalu ringan untuk dibebani
Akibat hati tidak mampu menahan lagi
Akan kesakitan-kesakitan ini
Di atas tikar sejadah jualah tempat aku kembali
Menghadap Rabbi
Kepada-Nyalah air mataku pergi
Nota: Selagi aku mampu untuk bersabar dan bertahan atas jalan da'wah ini, akan kulakukan walau ia memamah kesihatan jasadku sendiri. Kupohon selalu pada Tuhan agar bisa memberiku kekuatan hati untuk terus menyumbang demi agamaku yang tercinta. Kadang-kala aku berfikir sendiri. Kalau aku berhenti di sini, siapakah saja yang akan meneruskan perjuangan suci ini? Kalau aku penuhi masa-masaku dengan istirehat, bagaimana pula dengan nasib saudara-saudaraku di negara ini, yang masih dahagakan ilmu-ilmu Islam dan yang masih terkapai-kapai mencari nur hidayah yang Allah sembunyikan? Kalau aku duduk bergoyang kaki, bagaimana pula dengan raungan-raungan tangisan saudara-saudaraku di bumi Siria, Palestin, Libya, Mesir, Afghanistan dan negara-negara Arab yang lain yang masih bermandi darah dan darah mereka setiap hari disedut oleh Israel laknatullah? Sejujurnya, aku benar-benar rasa bersalah kerana semalam tidak dapat menghadiri perhimpunan aman Siria bertempat di Masjid Tabung Haji atas urusan tertentu. Dan esok juga, Grand Flashmob Palestin juga aku tidak turut menyertai disebabkan kesihatan badanku yang menyusut. Aku benar-benar kesal. Kenapa setiap kali peluang datang menjemput aku menjadi pewaris perjuangan Nabi s.a.w. dan para sahabat, ada perkara lain yang tidak kurang pentingnya juga datang menghalang langkahku untuk turun berjihad di sana? Mulutku terkunci tidak tahu mahu berkata apa-apa lagi tapi hatiku terus bertanya. Adakah aku masih belum layak untuk bergelar mujahidah Islam seperti sahabat-sahabatku yang lain? Adakah Allah masih belum memanggilku untuk meneruskan misi da'wah ini atau aku sendiri yang sering mencipta-ciptakan alasan kerana masih belum bersedia sebenarnya? Entahlah. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini. Walau bagaimanapun, mereka tidak akan terus berhenti dari mengajakku bersama-sama mereka menggapai misi utama kami dalam perjuangan ini, iaitu mati syahid. Hidup di dunia ini terasa kosong sekali bagiku. Tiba-tiba pula terasa ingin menjadi seperti Khalid al-Walid yang begitu merindui mati syahid. Tapi aku bertanya lagi. Layakkah mendapatkan title emas ini, ya Allah? Hanya Engkau Maha Mengetahui.
No comments:
Post a Comment