Salam.
Tadi bukak-bukak saja menyinggah ke laman langitilahi.com, sebab sudah agak lama jugak tidak menjengah ke situ. Wahh, sekarang Langit Ilahi sudah berwajah baru! Eh, bukan berwajah baru, tapi dah semakin maju! Ada dua jenis. Satu yang persendirian, milik Akhi Hilal sendiri dan lagi satu nampak macam terbuka kepada umum. Subhanallah, dah semakin maju Akhi Hilal sekarang! Alhamdulillah.
Kadang-kadang selalu jugak bertandang di profile Facebook Akhi Hilal. Baca status akhi di dindingnya. Sebab dah lama tak mengikuti perkembangan akhi sejak akhi pulang ke Jordan. Bila bukak blog akhi, tengoklah pula video dan blog baru akhi. Sungguh, saya sangat cemburukan Akhi Hilal. Akhi, saya perhatikan, sudah agak kehadapan sekarang dan saya perasan dia sentiasa memandang ke hadapan. Maksudnya, ada saja perkara-perkara terbaru yang akhi cuba lakukan. Dan semua ini terhasil daripada idea kreatif akhi dan para sahabat terdekat dan subhanallah, Langit Ilahi sekarang sudah terbit dan terkenal dalam kalangan masyarakat bukan saja melalui blog, tetapi melalui majalah, buku, novel dan website terbarunya!
Sungguh saya amat mengagumi kebolehannya!
Kagum, kagum jugak. Tapi dari sudut lain, saya sangat mencemburui Akhi Hilal. Bukan cemburu dengki, tetapi cemburu yang dibenarkan. Cemburu yang membuatkan saya rasa ingin menjadi lebih hebat daripadanya. Bukanlah juga bermaksud saya ingin merendah-rendahkannya suatu hari nanti. Tidak sama sekali! Cuma, sejak pertama kali mengenal akhi melalui blog, buku, dan novel akhi, saya sudah memasang cita-cita malah berzam ingin menjadi sepertinya. Boleh jugak dikatakan yang minat saya untuk menulis juga datang selepas saya membaca karya-karya akhi yang kebanyakannya saya beli dengan wang saya sendiri.
Cita-cita saya memang besar. Saya ingin juga mencipta atau mewujudkan perkara-perkara yang menarik seperti yang telah dilaksanakan oleh Akhi Hilal, terutamanya ingin menubuhkan syarikat penerbitan buku sendiri, seperti yang berjaya dilakukan oleh Norhayati Berahim dan Siti Rosmizah (antara penulis kegemaran saya). Namun, saya berdepan dengan tiga masalah. Pertama, mampukah saya? Kedua, mungkinkah ia terjadi? Ketiga, adakah saya punya kelebihan seperti akhi?
Nilah persoalan-persoalan yang sering berlegar-legar di ruang fikiran. Bila saya amati kembali, saya sedar siapa saya yang sebenarnya. Saya hanyalah seperti Mat Jenin yang hanya mampu berangan-angan di atas pokok. mengharapkan sesuatu yang mustahil untuk terjadi. Kenapa saya cakap macam ni? Sebab utamanya ada satu saja, iaitu saya tidak punya apa-apa kelebihan.
Ya, saya tiada kelebihan seperti yang Allah anugerahkan kepada Akhi Hilal. Saya tidak pandai menulis mahupun mencipta apa-apa karya yang puitis. Saya juga tak pandai menulis artikel berbentuk ilmiah mahupun intelektual. Kadang-kadang rasa malu sangat dengan rakan-rakan yang pandai menulis dan bermain dengan kata-kata dan lebih merasa rendah diri bila dibandingkan diri ini dengan beberapa orang penulis buku yang saya kenal.
Siapakah saya untuk memasang cita-cita setinggi ini? Sedangkan saya tiada kelebihan langsung dalam bidang ini.
Tapi, apakah kelebihan saya yang sebenarnya?
Saya perhatikan lagi kawan-kawan sekampus dengan saya. Masing-masing punya kelebihan yang unik. Ada yang sangat pandai melukis kartun dan kini dia sedang merancang untuk menerbitkan karyanya di website tertentu. Ada yang pandai berlakon dan kini sedang mengasah-ngasah bakatnya lakonannya dengan menyertai beberapa buah teater atau drama. Tidak kurang juga ada yang pandai dalam berpidato dan kini sedang semakin mantap dengan kepetahannya dalam berdebat. Dan ramai lagi. Kesemua mereka sudah menemukan bakat dan kelabihan masing-masing. Tapi saya? Masih tercari-cari di manakah letaknya kelebihan saya yang sebenarnya?
Tapi yang penting, salah satu sebab mengapa saya ingin menjadi seperti Akhi Hilal ialah kerana setakat ni dia adalah pemuda pertama yang saya temui yang punya wawasan yang tinggi. Dia sentiasa memperbaharui kelebihannya. Daripada blog biasa, berkembang kepada novel, buku motivasi, rancangan tv (belum diuwar-uwarkan lagi) dan sekarang laman sesawang terbarunya beserta para penulis yang lain. Saya doakan agar cita-cita akhi untuk menubuhkan syarikat penerbitan sendiri juga tercapai pada masa akan datang. Insya-Allah.
Tak apalah. Apa-apapun saya tahu perkara yang perlu saya lakukan sekarang ialah mencari di manakah letaknya kelebihan saya. Jika kelebihan saya di bidang penulisan, maka saya akan teruskan dengan penulisan novel saya (Semanis Kurma Cinta), jika tidak, terpaksalah saya mengorek-ngorek lagi diri ni untuk mencari kelebihan saya.
Semoga saya cepat menemukan kelebihan original saya tu.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment