Beri ini khas buat kamu rakan pembaca :) |
Salam.
Salam ramadan yang penuh keberkatan. Semoga di malam Jumaat yang tenang ini, kita semua dilimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya sepanjang masa. Insya-Allah.
Apa khabar kalian, pembaca laman sesawangku? Diharapnya semua masih dalam keadaan sihat dan diberi kekuatan yang berlipat kali ganda, setelah baru lima hari kita menahan perut daripada berlapar, menahan tekak daripada dahaga, dan menahan setiap panca indera daripada bermaksiat kepada-Nya.
Indahnya beribadah di bulan ramadan. Walau perut kosong di siang hari, namun hati tetap kenyang dengan makanan rohani yang lazat-lazat.
Hidangan zikrullah, tilawah al-Quran, solat sunat, bersedekah, zakat, berinfak serta pencuci-pencuci hati yang lain sudah cukup mengenyangkan. Menyuburkan semula jiwa yang sudah sekian lama ditinggalkan, kontang oleh ayat-ayat cinta daripada Sang Kekasih.
Alhamdulillah, aku masih berpeluang untuk terus menukilkan kata-kata di sini. Berjuang dengan mata pena sudah cukup memadai bagi diriku yang serba dhaif ini, kerana tiada kemampuan dan kesempatan untuk berjuang di medan pertempuran yang sebenar.
Bagaimanapun jua, ia masih lagi sebuah jihad. Selagi kita niatkan ikhlas kerana-Nya, ganjarannya malah tetap sama dengan berjuang di medan perang.
Jikalau saudara-saudara Palestin yang kurindui berjuang dengan senjata-senjata batu, tiada putus asa mengalahkan Israel laknatullah, aku di sini akan turut serta memperjuangkan kalimah suci yang sama; la ilaha illallah muhammadurrasulullah, tiada hentinya. Di sana, di atas tanah mereka berdiri gagah, dengan beratapkan langit dan segala penghuni bumi menjadi saksi perjuangan mereka, aku pula di sini masih lagi berjuang di atas lembaran kertas, beralaskan tanah di balik kulit gersangku dengan bersaksikan malaikat di kiri dan kanan, serta malaikat-malaikat utusan Ilahi dari langit.
Cetusan hatiku di bulan suci kini bermula.
Sudah lama aku perhatikan, sebuah keadaan yang tidak terlihat dek mata manusia. Maklum sajalah, di zaman milenium seperti sekarang ini, semuanya bisa melalaikan. Menutup pintu-pintu hati daripada memandang kebenaran. Yang hak dinafikan, yang batil pula mendapat kemenangan.
Saat ramadan hadir mendakap erat setiap hamba Tuhan, ramai manusia berlumba-lumba mengejar kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Sungguh, ia merupakan satu usaha yang sangat mulia. Tiada siapa yang dapat menafikan.
Namun, alangkah baiknya jika diri mampu beristiqamah dengan setiap kelakuan. Jangan hanya di bulan ramadan, kita ingin merebut kasih Tuhan, tapi di bulan-bulan lain kita berpaling daripada-Nya. Apakah ini adil? Sedangkan, di dalam bulan lain juga terdapat seribu satu keberkatan yang bakal Tuhan anugerahkan jika kita beramal kerana-Nya.
Di bulan ramadan, kita melekat di rumah Tuhan, tapi di bulan-bulan lain bermacam jenis tempat menjadi persinggahan. Pada ketika itu rumah-Nya belum tentu menjadi sebuah perhentian daripada kesesakan hidup yang acap kali melawan.
Benar, bulan ramadan bulan keberkatan. Setiap amalan diganjarkan Tuhan pahala yang berlipat kali ganda. Tapi cuba fikirkan kembali, apakah kita beramal untuk mendapatkan sebuah ganjaran bagi setiap amalan? Bagaimana pula dengan keredhaan Tuhan yang sepatutnya menjadi dambaan? Sewenang-wenangnya kita lupakan, misi utama dalam beramal kebaikan.
Berehat sejenak... mari ikuti aku. Berfikir tentang sesuatu.
Bayangkan sekiranya ramadan ialah sejenis makhluk Tuhan, yang dikurniakan perasaan. Bulan-bulan Islam yang lain pula merupakan sahabat-sahabat dekat yang amat dicintainya. Apakah agaknya perasaan ramadan saat dia hadir mendekati manusia, mereka bersorak, mengalu-alukan kedatangannya. Kesemua mereka bersaing sesama sendiri dalam berbuat kebajikan, namun tika bulan-bulan lain datang menemui, tiada pula yang menghiraukan. Maksiat kembali berleluasa. Nafsu kian bermaharajalela. Adakah ramadan akan bergembira dengan kelakuan manusia seperti ini?
Tidak! Ia pasti akan berasa sedih kerana manusia terlalu mengagungkan dirinya sehingga melupakan sahabat-sahabatnya yang lain (bulan-bulan Islam yang lain). Mereka diketepikan begitu saja. Jika mereka makhluk berperasaan seperti kukatakan tadi, tentu bumi ini sudah dibanjiri air mata kesedihan mereka.
Sekali lagi kukatakan, tidak salah merebut pahala selagi ramadan masih bersama kita, tapi alangkah lebih baik sekiranya kita meriahkan juga pesta-pesta ibadah di bulan-bulan berikutnya. Tidakkah kalian sependapat denganku?
Para pembaca setiaku yang dirahmati Allah sekalian,
Maaf andai mulut ini begitu lancang dalam menasihati. Tapi niat di hati sekadar ingin kita sama-sama memuhasabah diri. Kerana diri ini juga masih punya banyak ruang yang perlu diisi. Andai kalian punya teguran yang ingin dikongsikan, ketahuilah bahawa aku sentiasa berlapang dada menerimanya. Aku bukan nabi, jauh lagi seorang rasul. Aku hanya seorang manusia biasa yang terkandung banyak kelemahan di dalam dirinya. Namun, aku masih lagi seorang khalifah. Sampai kapan pun, gelaran itu tidak akan berpisah dari diriku hinggalah rohku kembali kepada Pemiliknya. Jadi, sudah menjadi tanggung jawabku menyampaikan apa yang sudah kupelajari sepanjang diri bergelar manusia, penghuni bumi, pengikut nabi, dan seorang hamba abdi kepada Tuhannya.
Sebagai penutup kalam, aku ingin kita sama-sama memikirkan tiga persoalan yang aku utarakan ini, sekadar mengintropreksi diri.
Untuk apa sebenarnya kita beribadah?
Kepada siapa sebenarnya peribadatan ini ditujukan?
Atas sebab apa kita mengabdikan diri kepada-Nya?
Jika soalan-soalan ini tidak diajukan, bilakah manusia akan sedar daripada lamunannya yang begitu panjang? Sampai bilakah kita akan terus bermimpi indah, yang entahkan bila akan menjadi sebuah kenyataan?
Wallahua'lam.
Nota: Berpuasalah bersungguh-sungguh, sebagaimana kita bersungguh-sungguh melaksanakan tuntutan fardhu yang lain. Semoga Allah memberkati usaha kita semua. Amin.
No comments:
Post a Comment