Salam.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila bulan Ramadan tiba, pintu-pintu syurga dibuka, sedangkan pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan pun dibelenggu."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Nota 1: Menurut cikguku, maksud pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup ialah terbukanya peluang untuk kita membuat kebaikan dan tertutupnya peluang untuk kita buat kejahatan. Dengan kesempatan ini, marilah kita sama-sama rebut peluang ni untuk beribadah kepada Allah dengan penuh keikhlasan dan istiqamah. Beribadah hanyalah untuk mendapatkan redha Allah dan keberkatan bulan Ramadan. Banyakkan amalan seperti tadarus dan tadabbur al-Quran, zikir, solat sunat, bersedekah, dan sebagainya.
Nota 2: Ramai orang sering mempersoalkan, "Kalau betul syaitan dah dirantai atau diikat, kenapa masih ramai yang buat maksiat dalam bulan mulia ni?" Sebenarnya ramai orang salah faham tentang kenyataan ini. Mereka menyangka bahawa kalau syaitan sudah diikat, terus tak ada langsung kemaksiatan yang berlaku di sekeliling kita. Salah tanggapan sebegini. Adakah kita lupa bahawa selain akal, kita dikurniakan satu lagi anugerah yang Allah tidak berikan kepada malaikat, iaitu nafsu. Selama 11 bulan sebelum kedatangan bulan Ramadan lagi, syaitan bertungkus-lumus menyesatkan manusia. Sebab dia tahu pada bulan Ramadan, dia akan direhatkan dan tidak diizinkan Allah untuk mengganggu manusia beribadah. Jadi, syaitan menggunakan masa 11 bulan itulah untuk mendidik nafsu manusia supaya mendengar kata-katanya. Sebab itulah jika diperhatikan kemungkaran masih berleluasa walapun pada bulan Ramadan. Tanpa disedari, nafsu manusia sudah terdidik dengan setiap godaan syaitan. Jangan kita ingat syaitan akan 'mencuci tangan' daripada menggoda anak-anak Adam ni. Takkan sesekali! Jadi, kita harus mendidik semula nafsu kita dengan acuan Islam. Insya-Allah, nafsu kita akan lebih mendengar kata tuannya, jika kita berusaha. Dan yang paling penting, disiplin dan istiqamah dalam beribadah.
Nota 3: Selamat meneruskan ibadah berpuasa dan mari meriahkan pesta ibadah kita!
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment