Salam.
Dengan menyebut nama Allah, yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Apa khabar saudara pembaca? Semoga anda masih kuat meneruskan ibadah puasa. Alhamdulillah, sudah 16 hari kita berpuasa, kan? Semoga Allah kuatkan hati kita untuk meneruskan ibadah mulia di bulan mulia ini.
Banyakkan fadhilat yang kita akan dapat kalau kita bersabar ketika berpuasa? Dan sememangnya ibadah puasa mencegah kita daripada melakukan apa jenis maksiat sekalipun. Bersyukurlah dengan kehadiran Ramadan, kerana di bulan-bulan lain, belum tentu kita bisa mampu beristiqamah seperti sekarang. Tapi, apa pun, aku tetap ingin menyarankan agar kita semua tetap istiqamah beribadah kepada Allah, walaupun kita tahu Ramadan bakal meninggalkan kita tak lama lagi. Insya-Allah.
Hmm, apa agaknya yang aku ingin kongsikan di sini.
Insya-Allah, sekadar ingin berkongsi tazkirah pendek. Tak mengapa, kan? Biar pendek, asalkan input di dalamnya mampu memberikan manfaat kepada saudara pembaca. Semoga apa yang aku sebarkan di sini akan menjadi saksiku di akhirat bahawa aku telah menjalankan salah satu daripada perintah Tuhanku dan sunnah nabiku, iaitu menyuruh kepada ma'ruf dan mencegah daripada munkar.
Sebenarnya, tazkirah ini bukanlah hasil buah fikiranku sendiri. Tapi aku petik daripada majalah Solusi isu 34. Aku yakin, tentu tidak ramai yang membeli majalah lagi. Mungkin ada yang kurang mampu, tak berkesempatan atau lupa. Tapi, tak mengapa. Bak kata Nabi s.a.w. dalam salah satu hadis baginda mafhumnya, sebarkanlah walau sepotong ayat. Jadi, hari ini, aku akan sebarkan.
Pernah dengar tak ungkapan orang yang berbuka puasa sebelum waktunya akan mendapat azab yang pedih daripada Allah s.w.t.?
Al-kisahnya begini...
Abu Umamah al-Bahili meriwayatkan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bahawa dia mendengar Rasulullah s.a.w. menceritakan pengalaman baginda ketika di bawa oleh dua orang lelaki (mungkin malaikat yang menyamar sebagai manusia) mendaki sebuah gunung.
Kedua-dua belah lengan baginda dipegang oleh dua orang lelaki tersebut dan mereka membawa baginda ke sebuah gunung berbatu. Mereka menyuruh baginda mendaki gunung tersebut, tetapi baginda Rasul memberitahu bahawa baginda tidak bisa melakukannya. Namun, mereka meyakinkan baginda Rasul bahawa mereka akan membantu untuk memudahkan baginda mendaki.
Sampai sahaja mereka bertiga di atas puncak gunung, tiba-tiba Rasulullah s.a.w. terdengar suatu suara yang sangat kuat. Baginda bertanya kepada dua orang lelaki tadi suara apakah itu. Mereka mengatakan bahawa itulah jeritan para penghuni neraka.
Mereka berdua membawa baginda Rasul ke tempat di mana jeritan itu datang. Di sana, baginda melihat orang yang digantung pada buku lalinya, mulutnya terkoyak dan darah mengalir darinya. Rasulullah s.a.w. kemudian bertanya lagi kepada dua orang lelaki itu siapakah orang-orang yang digantung itu. Kemudian mereka mengatakan bahawa mereka itu ialah orang-orang yang berbuka puasa sebelum masa yang sepatutnya.
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi.
Ngeri, bukan? Azab yang diberikan Allah s.w.t. kepada orang-orang yang berbuka puasa sebelum waktunya? Na'udhubillah. Sebelum berbuka, pastikan kita mendengar betul-betul azan yang dikumandangkan. Kalau sekadar tengok pada jam, ditakuti waktu yang terdapat di jam kita salah. Mungkin cepat beberapa minit atau lambat beberapa minit. Sebaiknya, buka pintu atau tingkap rumah, dan dengar sendiri bilal masjid atau surau yang berdekatan dengan rumah melaungkan azan ya.
Bagi mereka yang sengaja berbuka puasa awal (sebelum waktu yang ditetapkan), harapnya dapat menahan diri hingga waktu berbuka. Cubalah bersabar. Berpuasa memang memerlukan kesabaran yang tinggi, lebih-lebih lagi ketika menahan perut daripada berlapar. Jangan khuatir. Besar ganjarannya kita akan dapat sekiranya kita berjaya mengawal diri dari makan atau minum ni. Jadi, jangan putus asa, ya.
Tapi kan, bila baca balik kisah ni, tiba-tiba aku terfikirkan sesuatu.
Kalaulah orang yang berbuka puasa sebelum waktu pun azabnya dah sepedih ini, inikan pula orang yang tidak berpuasa. Pasti lebih berat, kan? Allahuakbar! Allah itu Maha Adil. Setiap perbuatan yang kita lakukan, ada natijahnya. Sekecil-kecil amal kebaikan, ada ganjarannya dan sekecil-kecil kejahatan akan ada juga balasannya. Semuanya tidak akan dapat lari daripada pengetahuan dan penilaian Allah s.w.t.
Mari kita bermuhasabah diri.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment