Selama ini aku menghitung hari
Akhirnya hari yang dinanti hadir kembali
Ku menunggu
Sambil menghitung-hitung detik waktu yang berlalu
Dari jauh kulihat
Seorang gadis ayu melangkah satu persatu
Dalam sepasang persalinan kuning
Sudah kuketahui bahawa itu adalah kamu
Gembira dirasakan menyelubungi diri
Saat mata bertatap mata
Hati bertemu hati
Tak kusangka detik itu kau di sisiku lagi
Setelah sekian lama kita jauh terpisah
Dek masa yang mencemburui
Suka
Gembira
Bahagia
Bila bersalaman berdakapan denganmu
Terasa hangatnya pipi kita berlaga
Bercium kasih rindu
Hingga tanpa kusedari
Ada beberapa titisan rindu yang bertakung
Di mata sepetku
Aduhai
Betapa lama rindu ini terpendam
Baru hari itu ia bisa terungkap
Sekian lama kau menyepikan diri
Kini baru kutahu betapa sibuknya dirimu
Setelah bergelar graduan universiti
Namun
Masa yang dijanjikan Tuhan
Datang lagi
Siapa sangka kita akan bertemu kembali
Sungguh cantik perancangan Ilahi
Dihilangkan-Nya saat kita memerlukan
Diadakan-Nya saat kita benar-benar mengharapkan
Sungguh
Allah Maha Mendengar
Doa hamba-Nya
Walau sehari
Bila bersamamu
Kurasakan berhari-hari
Setiap saat yang kita luangkan bersama
Begitu bernilai bagiku
Bertukar cerita
Berkongsi rahsia
Seperti selalu
Sudah kuduga berita gembira bakal aku dengar
Dari mulutmu
Sungguh aku bahagia
Mendengar semua cerita menarik
Tentang perkembangan dirimu
Kini tiada lagi kerisauan yang datang mengganggu
Kau sudah bertemu kebahagiaanmu
Insya-Allah
Akan kudoakan selalu
Pertemuan itu bukanlah pertemuan akhir kita
Kuyakini akan ada satu waktu
Kita bakal dipertemukan lagi
Hari konvokesyenmu
Akan kuhadiahkan sesuatu
Yang bisa memberi makna dalam hidupmu
Tentang persahabatan kita
Juga tanda penghargaanku atas
Kejayaanmu meraih segulung ijazah itu
Biar rindu ini terus bercambah dalam hati
Kerna itulah tandanya
Berkembangnya rasa kasih antara kita
Ukhuwah fillah
Salam.
Dua hari lepas, aku bertemu dengan Kak Nadhu, sahabat lamaku. Sahabat yang pertama kali aku kenali semasa kami sama-sama mengambil subjek Sciences of Hadis. Bila diingat kembali detik-detik pertemuan kami, rasa lucu pula. Aku teringat betapa pemalunya Kak Nadhu masa tu. Tapi tak sangka, aku yang pemalu ni pun tiba-tiba boleh memberanikan diri untuk menyapanya dahulu. Sungguh manis pertemuan kami sebenarnya. Mana taknya. Semuanya telah diatus dan dirancang oleh-Nya. Dia yang berkehendakkan kami bersahabat dan berukhuwah di atas redha-Nya. Sungguh aku merasakan sangat bahagia dengan pertemuan ini.
Kembali kepada ceritaku. Pada hari pertemuan semula antara aku dan Kak Nadhu, kami bertemu di HS kafe pada mulanya. Sambil menunggunya, aku makan buah mangga dan tembikai. Beberapa minit kemudian, nampaklah kelibat Kak Nadhu berjalan ke arahku. Dia berbaju kurung coklat, dipadankan dengan tudung kuning. Ayunya! Semakin dia mendekati, entah kenapa hatiku terasa semakin sebak. Bila dia sampai saja di meja tempat aku duduk, dengan tidak semena-mena mataku sudah mula bertakung. Tunggu masa saja untuk air mata itu jatuh membasahi pipiku. Namun, seboleh-bolehnya aku menahan air mata itu daripada menitis. Aku bahagia sebenarnya dapat bertemu lagi dengan Kak Nadhu dan aku menangis tanda bahagianya aku kerana saat itu akhirnya rinduku pada Kak Nadhu selama ini terubat bila dapat melihat wajah manisnya lagi. Allah saja yang tahu bagaimana bahagianya aku dengan pertemuan itu.
Mana tidaknya. Cuba bayangkan. Semasa Kak Nadhu dalam semester akhirnya di UIA, kami sudah agak jarang berhubung antara satu sama lain. Tidak tahu perkembangan diri masing-masing. Yalah, aku pun tak mahu mengganggunya memandangkan itu adalah semester akhirnya di sini. Mesti terlalu banyak hal yang perlu diuruskannya. Tapi setiap hari aku akau terfikirkan dirinya terus. Aku akan terus tertanya-tanya, "Kak Nadhu tidak merindui diriku, kah?" Bila aku kirimkan SMS, tiada satu balasan pun yang aku terima daripadanya. Masa tu aku terus membuat andaian sendiri, "Memang sahlah Kak Nadhu ni sibuk!"
Hari berganti hari, semester baru pun mula. Masa tu lagi jarang berhubung dengan Kak Nadhu sebab tanpa aku sedar, Kak Nadhu sudahpun bergelar graduan UIA. Alhamdulillah. Aku bersyukur sangat sebab Kak Nadhu berjaya menyempurnakan pelajarannya di sini dengan sempurna. Tapi dalam masa itu, aku turut berasa kecewa. Mengapa? Kerana kiriman-kiriman SMS ku kepadanya seperti biasa tidak mendatangkan sebarang respon daripadanya. Haa, masa tu, mulalah minda ni buat bermacam-macam andaian lagi. "Kak Nadhu ni, marahkan aku kah?" "Kak Nadhu dah tak nak kawan dengan aku kah?" "Aku ada buat salah apa-apakah pada Kak Nadhu?" Macam-macam sangkaan buruk datang menyelinap masuk dalam fikiran. Astaghfirullah, berdosanya aku rasakan bila teringat balik semua sangkaan-sangkaan ni.
Tapi pada pertemuan kami yang telah dirancang baik oleh Allah kelmarin, akhirnya semua sangkaanku terjawab dengan penjelasan yang diberikan oleh Kak Nadhu.
"Maaflah, Zimah. Lepas je kita habis, kita memang tak sempat nak contact siapa-siapa. Terlalu banyak hal yang nak diuruskan. Maaflah kalau Zimah terasa dengan perbuatan kita."
Terharu sangat mendengar pengakuan Kak Nadhu. Sejujurnya, aku tak marah jauh sekali berang bila tidak menerima sebarang balasan SMS daripada Kak Nadhu sebelum ni. Sebab Kak Nadhu bukannya tak balas langsung semua SMS ku padanya. Cuma ada beberapa SMS ku saja yang sempat dibalasnya. Tapi mungkin silapnya ada pada diriku. Aku yang susah memahami kesibukannya. Tapi bila Kak Nadhu dah jelaskan semuanya, hatiku kembali reda. Alhamdulillah, rasa bahagia sangat sebab dapat hilangkan semua syak wasangka yang menyelubungi diri terhadap Kak Nadhu. Kini baru aku faham. Tak semestinya bila kita sudah tamat pengajian, dah selesai semua urusan kita. Buktinya, tengok sajalah Kak Nadhu. Walaupun dah graduate tapi masih lagi terkejar-kejar dengan urusan yang tak setel-setel sana sini. Semoga Allah permudahkan semuanya pada Kak Nadhu.
Kami sambung perbualan kami di bilikku, di Mahallah Halimah. Sambil berborak, Kak Nadhu bertanya soalan cepumas kepadaku.
"Zimah, Zimah tak ada siapa-siapa lagi kah?"
Erk, terkedu sebentar! Aku mula menggelabah. Macam manalah aku nak jelaskan pada Kak Nadhu tentang soal hati dan perasaan ini. Tapi aku susah nak berahsia dengan Kak Nadhu sebab kami banyak berkongsi hal-hal yang berkaitan dengan cinta dan hati ni bersama-sama. Jadi, demi menghormati rasa prihatinnya kepadaku aku pun jelaskanlah keadaannku sekarang kepadanya. Sebab kadang-kadang aku rasa perlu juga aku ceritakan padanya. Kak Nadhu banyak bagi nasihat dan kata-kata semangat kepadaku tentang masalah ni. Dan alhamdulillah semua nasihatnya sangat membantu. Sebab tulah aku tak pernah rasa kekok ingin bercerita dengannya tentang semua ni.
Tapi masa berlalu begitu pantas. Petang itu, selepas kelas, aku dan Kak Nadhu makan bersama di kafe HS. Masa tu kami sambung berborak lagi. Sampailah azan Asar berkumandang, nak tak nak, aku terpaksa meminta izin untuk meminta diri. Rasa berat sangat hati ni nak berpisah dengan Kak Nadhu. Rasa seperti masa benar-benar cemburu pada kami. Namun, apakan daya, itu kehendak-Nya. Kami terpaksa akur. Semasa bersalaman dengan Kak Nadhu, aku dah mula rasa sebak kembali. Kak Nadhu berbisik kepadaku, "Alahh Zimah. Nanti kita turun KL lagi..." Hmm... lambatnya nak menanti detik tu.
Tapi aku tabahkan hati dan yakinkan diri bahawa sebaik manapun kita merancang perancangan Allah jualah tetap yang terbaik. Walaupun sukar menerima perpisahan ini, tapi aku paksa hatiku untuk redha. Sebab aku yakin ini bukan pertemuan akhir kami. Andai persahabatan ini kerana-Nya, insya-Allah ia tidak akan berpenghujung. Sebaliknya kekal hingga ke syurga.
Terima kasih Kak Nadhu.
Jumpa akak lagi nanti.
:')
No comments:
Post a Comment