About Me

My photo
i know what's right and what's wrong. i am cheerful and out going. it's hard for me to find the one that i want, but once i find the right person, i won't be able to fall in love again for a long time.

DO WHAT YOU LOVE

"Do what you love and you'll be good at it. Sounds simple enough. But what if you love reading comics, playing video games and watching korean dramas until your eyes pop out? Is it possible to make a career out of such things? What's the alternative? Spend all your time wishing you were brave enough to take that leap? Don't let fear stop you from doing what you love. Because ultimately, it's about being true to yourself."

Followers

Friday 15 June 2012

Warkah cinta buat adinda-adindaku: "Tidak mustahil untuk berubah"




Dengan lafaz bismillah pembuka bicara.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Rasul tercinta, Muhammad SAW.

Assalamualaikum buat adinda-adindaku yang kukasihi hanya kerana Allah.
Semoga adinda-adindaku berada dalam keadaan sihat diiringi dengan rahmat dan redha Allah.

Bagaimana dengan pelajaran kalian? Baikkah semuanya?
Tertekan? Letih? Bosan? Malas?

Ah, kukira itu semua perkara biasa bagi seorang pelajar yang sebenarnya dahagakan ilmu seperti kalian. Ingatlah pesanku, bahawasanya tidak ada istilah "senang" atau "mudah" dalam menimba ilmu Allah. Terlalu banyak rintangan dan cabaran yang kalian harus tempuhi kerana ilmu itu ibaratnya seperti sebutir mutiara di dasar lautan. Bernilainya ia hinggakan tidak semua orang mampu untuk mendapatkannya. Ia hanyalah rezeki yang Allah sediakan bagi mereka yang sanggup membanting tulang, berusaha untuk menggarapnya.

Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.

Wahai adinda-adindaku,
Tahukah kalian betapa bernilainya diri kalian pada Islam, juga di mata Allah? Walaupun manusia memandang kalian hina, namun mereka tidak tahu bahawa hati kalian bersih dan lebih mulia dari mereka. Jika merek terus-menerus menghina atau merendah-rendahkan kalian, mungkin mereka lupa akan firman Allah dalam Surah Al-Hujurat (49:11):

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olok)..."

Walau manusia memperolok-olokkan kalian hatta memulaukan kalian sekalipun, ingatlah bahawa Allah tidak akan pernah lakukan hal sebegitu kepada kalian. Kasih dan cinta-Nya sentiasa tertumpah pada kalian tidak seperti kasih manusia yang saban hari kian memudar. Janganlah sesekali kalian terfikir untuk berputus asa dari rahmat Allah. Ingatlah janji Allah dalam Surah al-Rahman (55:31-32), pabila Allah mengatakan:

"Kami akan memberi perhatian sepenuhnya kepadamu wahai (golongan) manusia dan jin. Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan."

Bahkan, jika kamu menghadapi masalah atau dugaan seberat mana sekalipun, Allah tidak akan pernah membiarkanmu terkapai-kapai menanggung beban masalah itu sendirian. Sebaliknya Dia masih tetap di sisi kalian, setia menemani dan memberi sokongan malah pertolongan kepada kalian bagi menghadapi hari-hari sukar. Andai saja kalian terus-menerus melakukan kesilapan dalam hidup kalian, Dia dengan sifat-Nya yang Maha Penyayang dan Maha Pengampun akan sentiasa memaafkan kalian, setiap minit dan setiap saat. Tambahan pula, kecintaan-Nya kepada kalian tetap juga sama seperti selalu walaupun kalian terkadang lalai daripada mengingati-Nya.

Ini bisa dibuktikan oleh kata-kata-Nya dalam Surah Ad-Duha (93:2-3):

"dan demi malam apabila telah sunyi, Tuhanmu tidak meninggalkan engkau (Muhammad) dan tidak (pula) membencimu,"

Tetapi, kalau kalian telah melakukan sebarang kesilapan, cepat-cepatlah memohon ampun daripada-Nya. Percayalah, pengampunan Allah sentiasa terbuka luas bagi hamba-hamba-Nya yang ikhlas bertaubat. Sebagaimana Allah menjelaskan dalam Surah Al-Ma'idah (5:39):

"Tetapi barang siapa yang bertaubat setelah melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sungguh Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."

Jika kalian sentiasa menemukan kegagalan, janganlah menyangka bahawa tidak akan ada sinar cahaya di penghujung usaha kalian itu. Percayalah, yakinlah bahawa cerita kehidupan kalian akan berkahir dengan sebuah kecemerlangan. Seorang Muslim sepatutnya tidak boleh membiarkan dirinya terjatuh dalam lubang yang sama. Itu pesan Nabi kita. Akan tetapi manusia akan belajar daripada kesilapan yang dilakukannya berulang-ulang kali sebab dengan itu, barulah kita bisa mengingat pengajarannya dari kesilapan itu buat selama-lamanya.

Sekiranya manusia memandang rendah pada keupayaan kalian akan sesuatu, sebagai contoh, ada dalam kalangan mereka yang tidak yakin bahawa kalian mampu sampai ke puncak menara gading dan menjadi orang yang berjaya, ingatlah bahawa aku sentiasa percaya bahawa kalian bisa melakukannya lebih daripada sangkaan mereka semua kepada kalian. Kerana kutahu kalian semuanya mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri yang mungkin sekali belum sampai masanya keistimewaan kalian itu ditonjolkan di depan khalayak. Sungguhpun mereka mengejek-ngejek kalian atau meremeh-remehkan kebolehan kalian itu, sentiasa ingatlah akan pesanan Kekasih kalian yang Maha Penyayang, dalam Surah Ali Imran (3:200):

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap-siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung)."

Adinda-adindaku yang kucintai,
Luangkanlah masa kalian sebaik-baiknya. Isi masa kalian hanya dengan perkara-perkara yang bermanfaat yang akan mengisi penuh kantung pahala kalian dan membiarkan kosong peti dosa kalian. Masa itu umpama pantasnya kilat. Kita hendaklah tangkas memotongnya sebelum ia memotong kita. Ada tiga hal yang apabila ianya berlalu, maka tidak mungkin kita bisa mendapatkannya kembali:

Pertama, kata yang telah diucapkan.
Kedua, masa yang telah berlalu.
Ketiga, peluang yang diabaikan.

Ingatlah ketiga-tiga hal ini. Sematkan di dadamu. Simpan di dalam kotak memorimu. Masa dan kesihatan adalah antara nikmat yang paling berharga, anugerah Allah buat kita semua, ciptaann-Nya yang agung berbanding dengan ciptaan-ciptaan-Nya yang lain. Beruntunglah kalian, bersyukurlah kalian kerana lahir sebagai manusia dan sebagai seorang Muslim. Jangan sesekali kalian perisa-siakan nikmat Allah ini.

Kukira terlalu banyak yang inginku sampaikan dalam pesananku buat semua adindaku yang kuingati ini. Namun, seperti yang kukatakan tadi, masa dengan lajunya telah memotongku dan mengehadkan peluangku untuk terus menukilkan kata-kata di sini.

Namun begitu, wahai para adindaku, sebelum kuakhiri warkahku pada kalian kali ini, suka untukku berkongsi dengan kalian tentang sebuah kisah seorang anak muda seperti kalian yang dahulunya seorang pelajar yang terkenal dengan kenakalannya akhirnya kini telah menjadi seorang yang berjaya. Kisah ini kupetik daripada ruangan Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamada dalam majalah Anis keluaran Jun 2012. Marilah bersama-sama denganku. Kita amati dan hayati kisah di bawah ini dengan seikhlasnya agar dengan itu kita bisa mengambil pengjaran dari kisah hidupnya yang mungkin ada sedikit persamaan dengan kisah hidup kalian.

Dalam bulan Februari lalu, bekas pelajar saya yang pernah ikuti program motivasi yang dijalankan pada tahun 2000 telah hadir di majlis penutup kursus. Beliau menceritakan bagaimana ketika itu dia dalam tingkatan tiha dan bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR). Keputusan peperiksaan percubaannya memang teruk iaitu 1B, 1C, 4D dan gagal subjek Matematik dan Sains. Bukan setakat itu sahaja, malah beliau seorang yang mempunyai masalah disiplin di sekolah, merempit, kaki gaduh, buli, ponteng kelas dan bermacam lagi. Kalau diikutkan memang mustahil baginya berjaya malah ibu yang memasukkan dia ke dalam program motivasi yang saya adakan itu juga tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi.

Namun, apa yang berlaku ialah selepas 42 hari menghadiri seminar motivasi, beliau mendapat 8A dalam PMR. Selepas itu, beliau ditawarkan ke sekolah MRSM dan mendapat 10 A dalam SPM. Beliau akhirnya melanjutkan pelajarannya ke UKM dan mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Terapi Cara Kerja dan mendapat Anugerah Pelajar Cemerlang bagi Fakulti Kesihatan dalam konvokesyen pada 2008. Beliau telah ditawarkan UKM untuk menjadi felo dan melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD. Namun, beliau akhirnya menolak tawaran tersebut kerana dalam masa yang sama turut mendapat tawaran sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD). Akhirnya, beliau memilih menjadi PTD hanya kerana sewaktu dalam program motivasi pada tahun 2000 dahulu beliau sudah tekad suatu hari mahu menjadi Perdana Menteri. Cita-citanya itu begitu menghantui fikiran dan tidak pernah padam. Dan kini setelah 12 tahun berlalu, pada usia 27 tahun beliau adalah PTD di Pejabat Perdana Menteri.

Hebat bukan, si dia seperti yang diceritakan oleh Dr. Tengku Asmadi ini?
Tidakkah kalian merasakan bahawa kalian juga bisa menjadi sepertinya, malah jauh lebih berjaya darinya?

Mungkin kalian masih belum lihat di mana letaknya keistimewaan kalian itu. Tapi yakinlah bahawa kalian tidak akan diciptakan oleh Allah di atas muka bumi ini dengan sia-sia. Setiap daripada kalian akan menjadi penyumbang utama kepada Islam. Setiap seorang daripada kalian akan menjadi peneraju kepada daulah Islamiah seperti yang telah diwariskan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat-sahabat khalifah baginda.

Dengan itu, adinda-adindaku sekalian, kuakhiri warkah ku ini dengan lafaz alhamdulillah.
Semoga kalian bisa mengutip butir-butir mutiara dalam ucapanku ini.

Aku di sini sentiasa mendoakan kalian dan tidak akan pernah berhenti berusaha untuk mebantu kalian, mempin tangan kalian mendaki gunung ujian yang berliku-liku ini demi sampai ke puncak menara gading itu. Aku akan usaha semampuku untuk memastikan bahawa kalianlah yang akan meneruskan tampuk pimpinan Islam suatu ketika nanti.

INGAT! TIDAK ADA KATA MUSTAHIL BAGI SESEORANG UNTUK MELAKUKAN PERUBAHAN KE ARAH YANG LEBIH BAIK!

Wallahua'lam.

Semoga kita semua diberkati Allah.
Salam kasih dan rindu, dari kakak kalian.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails