About Me

My photo
i know what's right and what's wrong. i am cheerful and out going. it's hard for me to find the one that i want, but once i find the right person, i won't be able to fall in love again for a long time.

DO WHAT YOU LOVE

"Do what you love and you'll be good at it. Sounds simple enough. But what if you love reading comics, playing video games and watching korean dramas until your eyes pop out? Is it possible to make a career out of such things? What's the alternative? Spend all your time wishing you were brave enough to take that leap? Don't let fear stop you from doing what you love. Because ultimately, it's about being true to yourself."

Followers

Monday, 30 May 2011

Puisi: Ku Menanti


Penantian tanda terujinya kesabaran


Keramat zikrullah mengisi kekosongan
Hati yang kian semakin sepi
Berduaan dengan-Nya
Hati tenang jiwa aman

Kuhadapkan wajahku ke arah-Nya
Terasa Dia dekat
Helaan nafas dihembus perlahan
Terlafaz sebuah pengharapan

Daripada-Nya aku datang
Kepada-Nya aku kembali
Dia tempat aku mengadu kasih
Dialah mata hatiku

Persinggahan demi persinggahan
Kulalui dengan penuh ketabahan
Tiada putus asa dalam diri
Berdoa malam dan siang hari

Selama mana aku hidup
Selagi itulah kukan terus menanti
Sebuah jawapan muktamad
Takdir-Nyalah yang menentukan segalanya

Insya-Allah

Thursday, 26 May 2011

Lagu: Hamba-Mu


Imam Muda 2011

Ke arah satu perjalanan
Dalam sebuah kehidupan
Demi untuk mengecapi
Hasrat murni di dalam hati

Usaha dengan doa
Masanya akan tiba
Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui

Suluhkan cahaya di hati terang (Allah)
Tunjukkan jalan seandainya hilang (Allah)
Tegakkan perjalanan yang bakal ditempuh
Tegakkan semangat bila runtuh
Setibanya di sisiMu ku berserah
Terimalahku hambaMu Allah
HambaMu Allah

Sekiranya takdir menguji
Cekalkanlah hasrat di hati
Semoga kesusahan bisa
Mengajar erti terus asa

Usaha dengan doa
Masanya akan tiba
Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui

Suluhkan cahaya di hati terang (Allah)
Tunjukkan jalan seandainya hilang (Allah)
Tegakkan perjalanan yang bakal ditempuh
Tegakkan semangat bila runtuh
Setibanya di sisiMu ku berserah
Terimalahku hambaMu Allah

Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui

Suluhkan cahaya di hati terang (Allah)
Tunjukkan jalan seandainya hilang (Allah)
Tegakkan perjalanan yang bakal ditempuh
Tegakkan semangat bila runtuh
Setibanya di sisiMu ku berserah
Terimalahku hambaMu Allah
HambaMu Allah

HambaMu Allah


Nota: Subhanallah, hebat makna lirik lagu ini. Mari sama-sama menjadi hamba yang dicintai-Nya.
Insya-Allah.

Wednesday, 25 May 2011

Kahwin 3: Lambat update!


 
Aku dan pengantin. Ayu lagi manis gitu. He he he.

Bakal-bakal pengantin masa hadapan. Kih kih kih
Barisan g-13th yang setia dengan kalimah 'ukhuwwah never die'


 
Kini, sedang menanti berita gembira seterusnya.
Pasti ada.

^__^

Chiow~

Jaulah: Sabah, them and me


Salam.


No mood to write a story here. Just wanna share some photos that we took together
during our vacation at Sabah. Actually, there are more,
but I think I am merely able to show you
only some of them.

Lets's take a look at them one by one.
Hope you'll enjoy it ^_^


Kota Kinabalu: Just arrived from the four islands. Tired but we enjoyed our trip very much.
Tanjung Aru 1: The same pose at the beach. Lol.
Tanjung Aru 2: It's time to make free styles, girls!
Likas: With our new (IKRAM) sisters in Sabah.
UMS: At the beach. So peaceful there.
Kundasang 1: Continued our halaqah-my turn to give tazkirah. Sitting with the cold night.
Kundasang 2: Walked down the hill with the cold morning wind.
Papar: Kak Maya's grandparents' house.






Kak Maya, Kak Shita, Iman, Mardy, Busyra, Aishah, Alang, Mun, Zimah

 Before we flew to Sabah, I felt that our bond wasn't as closed as we felt
after we came back. I don't know whether is it just me or we truly think that now we are already
like sisters to one another. 

As I told Busyra, before we went there, 
Busyra and I rarely talk to one another. I've no idea why. Maybe it was because we had
no topic to discuss and we didn't know how to approach one another.
But, in Sabah, we acted like we were closed friends. Weird, isn't it? But I could tell, it's the fact.
Now, Busyra and I are really like close kins. Busyra thought so.

I'm glad that everybody feels what I feel.
Now, we sense the presence of others. We realize that we are actually
a part of each others' life.  If we barely meet, I may feel strange.
It's like I'm losing one of my precious things.

That's how I feel about them.

Hope we can continue our jaulah to some other places pulak nanti.

Insya-Allah.


Sunday, 22 May 2011

Novel SKC: Bab 18

Cinta adalah kekuatan
Yang mampu
Mengubah duri jadi mawar
Mengubah sedih jadi riang
Mengubah amarah jadi ramah
Mengubah musibah jadi muhibbah
Itulah cinta

Cinta sendirilah yang menerangkan
Cinta dan percintaan

“Cinta ni begitu unik. Bagi akak, tiada makna yang tepat bagi kalimah cinta,” ujar Zarina sambil tersenyum. Betapa dia amat memahami apa yang sedang berlegar-legar di fikiran kedua-dua adik angkatnya itu, Nurul dan Soleha. Dalam usia remaja meningkat dewasa, perihal cinta sudah menjadi fitrah bagi mereka untuk memikirkannya.

“Kalau begitu, cinta tu sebenarnya apa Kak Rina? Maksud Leha, macam mana kita nak pastikan kalau perasaan kita ni cinta atau pun tak?” Soleha sudah semakin tidak sabar ingin mendengar penjelasan Zarina yang seterusnya.

“Ketahuilah bahawa setiap orang punya tafsiran cinta yang berbeza-beza. Dan hanya orang-orang yang pernah merasai cinta atau mengalami perasaan cinta itu sendiri yang akan lebih memahami apa sebenarnya cinta. Kadang-kadang makna cinta tergantung kepada kisah hidup yang dialami sehari-hari dalam hidup kita. Ada juga yang mentafsirkan cinta hanya dengan pemerhatian dan pengamatan kisah hidup orang lain. Sebab tulah akak kata cinta itu sangat unik.”

Mendengar ucapan Zarina, Nurul dan Soleha menjadi semakin tidak mengerti. Mereka mengharapkan sebuah jawapan daripada Zarina, akan tetapi jawapan yang diberikan oleh Zarina itu menjadikan mereka semakin tertanya-tanya akan definisi cinta yang mereka cari selama ini.

Zarina hanya mendiamkan diri buat beberapa minit. Dia sengaja melakukan hal itu atas sebab ingin membiarkan Nurul dan Soleha memikirkan sendiri maksud cinta menurut pemahaman mereka. Nurul dan Soleha saling berpandangan. Setelah itu, Nurul mula bersuara.

“Kak Rina, Nurul pernah terbaca dalam novel srikandi Rabiatul Adawiyah. Dalam novel tu ada terselit banyak kata-kata tentang cinta menurut Rabiatul Adawiyah.”

“Cuba Nurul kongsi sikit dengan kami. Kebetulan, akak pun tak pernah baca lagi buku tentang Rabiatul Adawiyah ni,” Zarina bagai tertarik ingin mendengar pandangan srikandi Islam itu mengenai cinta. Soleha turut mendengar dengan tekun.

“Tak semua Nurul ingat, kak. Tapi yang paling meresap ke dalam hati Nurul ialah kata-kata Rabiah yang berbunyi, cinta itu berbicara dengan kerinduan dan perasaan. Hanya mereka yang mencintai yang dapat merasakan erti cinta yang sesungguhnya. Cinta tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata. Tidak mungkin seseorang dapat menjelaskan sesuatu yang belum dikenalnya atau mengenali sesuatu yang ia belum pernah bergaul dengannya. Cinta tidak mungkin dikenal melalui hawa nafsu, terlebih lagi apabila tuntutan cinta itu diabaikan. Cinta dapat membuat manusia menjadi bingung, sehingga akan menutup apapun untuk menyatakan sesuatu. Cinta itu mampu menguasai hati."

Zarina mengangguk-angguk. Rasa kagum terus menyelinap masuk ke dalam hati tatkala mendengar ungkapan indah srikandi Rabiatul Adawiyah tentang erti kata cinta yang sebenarnya.

“Jadi, sudah fahamkan apa itu cinta?” Tanya Zarina.

“Faham, tapi tak berapa fahamlah, kak. Ayat dia semacam berbunga. Terlalu berkias. Susah rasanya nak tafsirkan,” Soleha menggaru-garu kepala. Dia berharap agar Zarina akan memberikan tafsiran cinta yang lebih mudah untuk dia fahami.

Zarina menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum menerangkan semula.

“Macam ni. Cinta itu ialah suatu perasaan yang wujud dalam diri kita yang membuatkan kita ingin melakukan apa saja kepada yang dicintai. Hal ini boleh kita maksudkan dengan cinta kepada Allah, Pencipta kita, cinta kepada makhluk Allah seperti binatang-binatang dan tumbuh-tumbuhan mahupun cinta kepada manusia lainnya. Contohnya, bila kita sayangkan ibu kita, dah tentu kita akan mendengar setiap kata-katanya dan buat semua yang diperintahkannya. Sama juga macam kalau kita cintakan Allah. Atas rasa cinta itulah, kita akan sentiasa berusaha untuk laksanakan perintah-Nya dan berjuang meninggalkan larangan-Nya,” jelas Zarina panjang lebar.

Dia menyambung hujahnya kembali. “Tapi, dalam kes Leha, akak kurang pasti apakah perasaan Aziz pada Leha itu ialah cinta atau sebaliknya. Dengar saja Leha kata Aziz meluahkan terus rasa cinta dia pada Leha cukup buat akak ragu-ragu dengan keikhlasannya. Tapi, tak boleh juga kalau akak fikir macam tu. Sebab soal ikhlas atau tak, hanya Allah dan pemilik hati itu saja yang tahu.”

“Kenapa akak ragu-ragu pula dengan perasaan Aziz pada Leha? Bagi Leha, sepanjang Leha kenal Aziz, dia seorang lelaki yang baik. Kawan-kawan rapatnya juga bagitahu Leha yang dia jenis orang yang setia pada yang satu.”

“Mungkin betul kata kawan-kawan Aziz tu. Tapi, akak ragu adakah Aziz suka pada Leha atas dasar cinta semata-mata atau ada hasrat nak jadikan Leha yang halal untuknya. Dua-dua perkara ni, berbeza adikku,” Zarina berusaha memahamkan Leha akan situasi yang dialaminya saat itu.

“Kalau Leha tak kisah, boleh tak Leha tunjuk kat akak mesej yang Aziz hantar pada Leha? Dari situ, mungkin akak boleh tolong sesuatu,” pinta Zarina. Pada mulanya Soleha agak segan ingin menunjukkan mesej yang dihantar Aziz kepadanya untuk dibaca Zarina. Tapi, demi menguraikan segala ketidakfahaman mengenai isu ini, dia memaksakan juga diri untuk menunjukkannya. Dia tahu yang niat Zarina ikhlas ingin menolongnya.

“Sekejap ya kak. Leha ambil hand phone Leha kat sebelah.”

“Ok.” Zarina memandang semula kepada Nurul.

“Nurul kenal ke dengan Aziz tu?”

“Sejujurnya, Nurul tak berapa kenal dengan Aziz, Kak Rina. Nurul pernahlah dengar orang-orang dok sebut-sebut nama dia. Dia agak famous dalam Kelab Fasilitator Mahasiswa. Dia Timbalan Presiden dalam kelab tu. Kebetulan program yang Leha terlibat kali ni Azizlah Pengarah Programnya.”

“Oh, begitu.”

Soleha datang semula ke compartment Zarina lalu menghulurkan telefon bimbitnya kepada Zarina. Zarina mencapai telefon bimbit Soleha dan terus membaca mesej Aziz yang terpampang di skrin.

 Kepada: Soleha
Daripada: Aziz KFM

Salam, Leha. Saya nak bagitau awak sesuatu. Tapi saya harap awak tak marah pada saya. Sebenarnya, sejak saya mula bekerjasama dengan awak dalam program KFM ni, saya mula jatuh cinta pada awak. Saya harap awak boleh terima cinta saya ni.

            Zarina tersentak apabila membaca mesej yang dikirimkan Aziz kepada Soleha. Dia memandang Soleha yang air mukanya mendadak berubah. Berderau darah di muka Soleha apabila direnung sebegitu oleh Zarina. Kak Rina marah kat aku ke bila Aziz hantar mesej macam tu?

            “Leha…”

            “Kak Rina, janganlah marah Leha. Nurul pun rasa yang Aziz pun terlalu terburu-buru. Mungkin dia sendiri tak pasti dengan perasaan dia pada Leha,” Nurul cuba menenangkan keadaan yang dirasakannya agak tegang.

            Leha hanya menundukkan wajahnya. Takut bertentangan mata dengan Zarina. Zarina kembali senyum.

            “Kenapa? Kamu berdua rasa akak marah ke? Lah, akak tak marahlah. Akak cuma terkejut kenapa lelaki sebaik Aziz boleh hantar mesej macam ni.”

            “Bagi Kak Rina, salah ke perbuatan Aziz tu?” Nurul bertanya.

            “Susah sebenarnya kalau akak nak jelaskan, sebab setiap orang punya prinsip hidup masing-masing. Prinsip hidup yang akak pegang pula memang lain daripada orang lain.”

            “Prinsip akak macam mana pula?” Soleha menyampuk.

            “Sebenarnya tak salah kalau kita confess perasaan kita pada orang yang kita suka. Mungkin dengan cara itu boleh mengurangkan salah faham dan membuat semua hal menjadi jelas antara dua pihak. Tapi, dalam isu cinta macam ni, orang tua akak didik akak supaya menggunakan perantaraan orang tengah seperti wali atau mahram untuk menyampaikan hasrat hati. Dengan cara ini, maruah kita akan lebih terjaga dan ia juga sebagai tanda rasa hormat kita pada orang yang kita sukai itu serta seisi keluarganya.”

            Nurul dan Soleha kini mengerti. Rupa-rupanya terlalu banyak hal tentang cinta yang masih belum mereka ketahui. Mereka fikir cinta itu hanya sekadar I love you dan You love me saja, bahkan ia lebih daripada itu. Ramai orang menyalah tafsirkan cinta dalam kehidupan berumah tangga. Malah pernikahan yang dilangsungkan atas dasar cinta semata-mata tidak akan kekal selamanya, kerana pernikahan itu lebih menekankan soal tanggung jawab, bukan cinta.

              “Jadi Kak Rina, berbalik pada soalan Leha awal tadi. Apa tanda-tanda kita jatuh cinta?”

            “Nabi SAW ada bersabda dalam dua hadis baginda yang bermaksud: Barang siapa yang mencintai sesuatu akan kerap menyebut tentang yang dicintainya dan barang siapa yang mencintai sesuatu akan menjadi hamba kepada yang dicintainya. Banyak orang pada zaman ni yang sering tunduk dengan cinta mereka. Mereka sanggup melakukan apa saja atas nama cinta. Hingga ada yang sanggup menggadaikan maruah sendiri kerana tidak tega kehilangan cinta hati. Sebab tulah Allah SWT berpesan pada kita semua agar mencintai sesuatu biar berpada-pada kerana kelak yang dicintai itu akan berubah menjadi kebencian dan membenci sesuatu juga biar berpada-pada kerana kelak yang dibenci akan berubah menjadi kecintaan.”

            “Tentang Aziz pula, akak nasihatkan Leha biarkan dia untuk beberapa hari. Kalau dia hantar apa-apa mesej yang melibatkan hal-hal selain kerja, Leha jangan balas apa-apa. Anggap saja ini jihad perasaan yang Leha kena lalui. Kalau dia benar-benar ikhlas dengan Leha, dia sepatutnya kena hormat Leha sebagai seorang wanita yang menjaga maruah diri,” kata Zarina dengan nada yang tegas.

            Nurul dan Soleha mengangguk-angguk.

            “Kalau nak berbahas tentang cinta, akak rasa dah tentu tak akan boleh habis sampai pagi esok. Sebab isu cinta ni nampak je mudah tapi sebenarnya rumit dan akan bertambah rumit lagi jika kita tidak bijaksana dalam menangani masalah yang melibatkan cinta. Tapi, ada satu hal lagi yang akak nak kongsi dengan kamu berdua tentang cinta. Bagi akak, kamu berdua harus tahu tentang ni.”

            “Kami tak keberatan Kak Rina, malah berbesar hati kalau akak nak kongsi ilmu akak sebanyak yang mungkin dengan kami. Maklumlah, kami ni kan 3 ‘B’,” Soleha tersengih.

            Wajah Zarina penuh dengan tanda tanya. “3 ‘B’? Apa tu?”

            Nurul membalas, “Budak Baru Belajarlah, kak.”

            Zarina tergelak kecil. “Insya-Allah. Kan Nabi pesan supaya kita menyampaikan ajarannya walau sepotong ayat. Ok, berbalik pada isu cinta tadi. Kamu berdua tahu tak yang cinta ni ada banyak jenis?”

            “Ye ke, kak? Yang Nurul tahu cinta yang boyfriend girlfriend tu sajalah.”

            “Memang betul, tapi tu secara umumnya. Based on apa yang akak belajar sebelum ni, cinta tu ada tujuh jenis. Cinta al-Mawaddah, cinta ar-Rahmah dan cinta Kulfah termasuk dalam kategori cinta yang kudus, manakala cinta al-Mailu, cinta asy-Syaghaf, cinta Ra’fah dan cinta Shobwah tergolong dalam cinta bernoda.”

            “Makin pening kepala Leha ni, kak. Apa pulak cinta kudus dengan cinta bernoda tu?”

            “Cinta kudus ialah cinta yang bertepatan dengan syarak manakala cinta bernoda pula sebaliknya, bertentangan dengan syarak. Daripada tujuh jenis cinta ni, hanya tiga saja yang dibenarkan dan diterima oleh agama, iaitu cinta al-Mawaddah, ar-Rahmah dan Kulfah. Al-Mawaddah bererti penuh kasih membara. Ar-Rahmah pula cinta yang ditunjukkan dengan pengorbanan dan terakhir sekali cinta Kulfah, yakni cinta yang berunsur mendidik. Kalau Nurul dan Leha nak tahu dengan lebih terperinci tentang jenis-jenis cinta ni, akak boleh pinjamkan sebuah buku yang ada menerangkan tentang ni.” Zarina membuka laci meja belajarnya dan mengeluarkan sebuah buku nipis yang tertulis di atasnya tajuk “Kompas Cinta” karangan A. Ubaidillah Alias. Dia menghulurkan buku tersebut kepada salah seorang daripada mereka berdua. Akhirnya, Nurul yang menyambut huluran itu.

            “Buku ni sebenarnya panduan untuk remaja yang baru nak mengenal cinta. Haa, sesuai sangatlah dengan kamu berdua. Memang nipis, tapi kandungan subhanallah sangat bagus dan mantap. Baca bab 6 sebab dalam bab tu ada dia terangkan tentang ketujuh-tujuh jenis cinta ni. Nanti, barulah Nurul mahupun Leha bezakan mana cinta yang baik dan mana yang tidak.”

            Nurul dan Soleha sama-sama membelek-belek buku tersebut helaian demi helaian.

            “Awak baca dululah buku ni, Leha. Dah habis nanti awak boleh cerita dekat saya,” Nurul berkata.

            “Boleh saja. Terima kasih, Kak Rina,” Soleha mengenyit mata.

            “Terima kasih, Kak Rina,” Nurul ikut serta.

            “Sama-sama. Nanti kalau ada yang tak faham, tanya saja akak terus, ya? Seronok jugak cakap pasal cinta dengan kamu berdua ni. He he he,” Zarina bercanda.

            Nurul dan Soleha berpuas hati. Dalam masa satu hari saja terlalu banyak ilmu baru yang mereka dapat daripada Zarina. Mereke berharap agar selepas ini mereka bisa menemukan cinta kudus yang mereka nantikan selama ini.

Tuesday, 17 May 2011

Novel SKC: Bab 17


Gerimis turun perlahan
Wajah si dia membayang
Dalam daun-daun yang basah
Diriku resah
Menanti pertemuan yang tenang
Cinta kasih dan sayang
Tuhan
Tolong damaikan
Hatiku yang gamang


Puisi yang kupetik daripada novel bersiri kegemaranku, “Ketika Cinta Bertasbih 2” mengingatkan aku pada gadis itu. Kejadian pelanggaran antara dua gadis sehingga air tertumpah di kafe HS tempoh hari masih segar dalam ingatan. 

“Apa pandang-pandang? Dah tak ada kerja lain ke selain nak menyibuk hal orang lain? Balik bilik, buat hal sendirilah!”

Kata-katanya masih terngiang-ngiang di telinga.

Siapakah namanya? Ah, kenapa aku asyik teringat pada dia? 

Sejujurnya, selama hidupku belum pernah aku alami perasaan seperti ini.  Apakah ini yang dikatakan cinta pandang pertama? Masya-Allah, sejak bila aku mula percaya pada benda-benda karut macam ni? Tapi sejujurnya, aku sangat berharap agar dapat bertemu dengan gadis itu lagi. Entah mengapa, ada sesuatu pada dirinya yang membuatku begitu tertarik. Semakin aku mengingatinya, semakin aku ingin mengenali dirinya dengan lebih dekat lagi.

“Abang Hidayat berangan ea?” Iman menepuk kuat belakangku. Terkejut aku dibuatnya.

“Ya Allah, Iman ni! Kalau abang ada penyakit jantung, mesti dah almarhum abang kat sini.”

Iman ketawa kecil. Seronoklah tu dapat mengusik abangnya lagi. Aku senang melihat Iman kembali ceria. Sejak arwah ibu meninggal, Iman sentiasa murung dan lebih banyak diam daripada berkata-kata. Selalunya, dialah yang menceriakan suasana rumah. Namun aku faham, hatinya masih berat menerima kenyataan bahawa ibu sudah tiada di sisinya lagi.

Seronok dapat pulang ke kampong halaman semula. Hanya Allah SWT saja yang tahu betapa aku sangat merindukan suasana kampong setelah hampir sebulan aku menetap di bandar. Walau sebulan, tapi aku rasakan agak lama sekali. Kurindukan sawah padi yang menguning, lembu-lembu ternakan jiran-jiranku yang sering menjadi teman-temanku bermain, daun-daun pohon yang menghijau, udara segar di desa dan sudah tentunya bidadari hatiku saat ini, adikku Iman.  

“Alah, nak bergurau pun tak boleh ke? Abang Dayat ni lain macam je sejak masuk U ni. Haii, dah jumpa jodoh ke?” Iman menyakat.

Aku hanya diam seribu bahasa. Tidak tahu bagaimana ingin memulakan cerita.

 “Abang tengah dilamun cinta, ya?”

“Eh, ke situ pulak dia. Mana ada abang bercinta. Kebanyakan pelajar kat UIAM tu Iman, semuanya daripada keluarga yang berada. Setakat muka abang yang seposen ni, manalah dia orang nak pandang.”

Iman tersenyum mendengar kata-kataku. Apa yang menggelikan hatinya aku juga tidak tahu.

“Alah, abang yang selalu rendah diri sangat. Abang Iman ni hensem apa. Berpakaian kemas dan bersih. Penyayang lagi. Kalau dia orang tahu abang Iman ni orangnya baik hati dan soleh, comfirm  semua beratur nak isi boring jadi salah seorang calon isteri abang Dayat,” Iman ketawa kecil.

Tergelak aku mendengar celoteh adik perempuanku satu-satunya itu. 

“Cakaplah apa Iman nak cakap. Abang tak tahu nak cakap apa dah.”

“Alah, janganlah marah bang.”

“Taklah. Mana ada abang marah. Iman pun sendiri tahu kan, dalam Islam pun bercouple tukan haram. Takkanlah abang nak bercouple dengan anak dara orang tanpa ikatan pulak,” aku menjelaskan duduk cerita yang sebenarnya, supaya Iman faham.

“Tapi, Iman tak cakap pun abang bercouple. Yang Iman cakap tadi abang ni macam orang yang tengah dilamun cinta. Mencintai seseorang atau mengasihi seseorang yang bukan marah tu tak salah, kan?”

“Yelah, yelah. Abang yang salah faham. Sorry,” aku mengalah juga akhirnya. Aku tahu, jika aku berdebat dengan Iman, pasti aku yang harus mengalah.

Angin yang bertiup petang itu benar-benar mendamaikan hatiku. aku memandang wajah Iman dengan sekilas pandangan. Tiba-tiba terdetik di hati ingin berkongsi dengannya apa yang terpendam di dasar hati. Soal cinta atau perasaan ini memang menjadi kepakaran Iman sejak dia melangkah kea lam remaja.

“Iman, kalau kita terpandang seseorang dan kita asyik teringatkan dia, adakah itu yang dikatakan cinta?” Aku memberanikan diri bertanya padanya tentang apa yang sedang aku alami saat ini.
 
 “Hmm, mungkin ya mungkin juga tidak.”

“Yang mana satu? Keliru abanglah.”

“Bagi Iman, kadang-kadang boleh jugak kita nak cakap yang kita dah jatuh cinta dengan dia. Tapi perasaan manusia boleh berubah, bang.”

“Boleh berubah? Maksud Iman?” Aku semakin penasaran. Masih kurang jelas dengan jawapan yang diberikan oleh Iman.

“Mungkin masa tu je kita aka nada rasa yang istimewa dekat dia, sebab masa tu kita belum sepenuhnya mengenali dia. Tapi, bila kita dah makin rapat dengan dia, dan kenal dia orang yang macam mana, boleh jadi perasaan kita pada dia tu bertukar. Misalnya, daripada cinta sebagai insan istimewa kepada cinta sebagai kawan biasa saja.”

“Oh… “

Iman memandang tepat ke wajahku. Mesti dia sudah terhidu sesuatu yang tidak patut dia ketahui.

“Jadi, betullah ni abang dah terpikat dengan seseorang?”

“Hmm…”

“Siapa dia, bang? Cantik tak perempuan tu?” Iman semakin berminat ingin mengetahui ceritalu selanjutnya.

“Tak adalah cantik sangat. Kalau nak cakap cantik macam Anne Hathaway tu tipulah, kan. Tapi bukan rupanya yang buat abang jadi suka, tapi…”

“Tapi?” Mata Iman tidak berkelip memandang mukaku. Dia menongkat dagunya, memberikan perhatian kepada ceritaku.

“Abang pun tak tahu, Iman. Abang bukannya kenal sangat dengan perempuan tu. Tapi, bila abang tengok dia, macam ada sesuatu yang buat abang tertarik dengan dia. Yang peliknya, sampai sekarang abang asyik teringat kat dia.  Abang tak pernah kenal siapa dia tapi dalam masa yang sama, abang jugak tak dapat nak lupakan dia. Kadang-kadang abang terfikir jugak, mungkinkah doa abang selama ni sudah terjawab?”

“Abang doa apa?”

“Abang berdoa supaya Allah berikan abang jodoh yang terbaik. Tapi, bukanlah untuk masa sekarang. Sebab Iman pun tau sendiri keadaan ekonomi kita. Dari segi kewangan, abang memang belum cukup mampu nak sara hidup sendiri dan abang pun baru setahun bergelar pelajar UIAM. Mana mungkin abang kahwin sekarang, kan?”

“Alah, kalau dah memang jodoh, kita tak boleh menolak bang.”

Benar juga kata Iman. Tapi, entahlah. Makin bingung aku memikirkan hal remeh-temeh seperti ini.

“Takpelah. Abang buatlah istikharah. Minta petunjuk daripada Allah. Allah Maha Mengetahui. Tapi abang jangan terbawak-bawak sangatlah dengan perasaan tu. Iman takut kalau perasaan tu datang dari syaitan je,” Iman menyambung semula.

“Insya-Allah, dik. Abang akan buat istikharah. Terima kasih ya, dik.” Aku mengusap-usap kepala Iman yang dilitupi tudung berwarna biru lembut itu. Iman mengenyitkan matanya. Comel betul mukanya.

“Abang, jom kita main layang-layang. Angin kuat petang ni. Rugi kalau tak main. Lagipun, kita dah lama tak main permainan budak-budak kecik. He he he,” bersungguh mengajakku bermain layang-layang. Dia menarik-narik tanganku. Layang-layang yang sejak dari tadi dipegangnya diberikan padaku untuk aku setupkan untuknya.

“Yelah, yelah. Jom! Tapi, Iman kena kejar abang dulu!” Aku terus berlari meninggalkan Iman di belakang.

“Abang Dayat jahat! Siaplah Iman dapat abang nanti!” Iman memecut ingin mendapatkanku.

Bahagia.

**********

Anehnya, malam ini tidak seperti selalunya. Tidak dingin dan tiada kelihatan bintang-bintang yang menghiasi malam. Sang purnama juga tidak menunjukkan diri. Mungkin semuanya masih berkabung setelah peninggalan arwah ibu, agaknya. Lucu pula rasanya. Bagaimanalah aku boleh berfikir seperti itu.

Loket ibu di genggaman kuperhatikan sejak tadi. Kilauannya masih kekal seperti dulu. Ternyata benar kata ibu. Loket ini bukan sebarang loket. Ia ialah loket warisan keluarga. Namun, aku masih tidak mengerti, rahsia yang terdapat di sebalik loket warisan itu dan sebab ibu mewasiatkan agar aku memberikan loket ini kepada calon isteriku. Adakah loket ini loket sakti seperti yang selalu ditunjukkan oleh semua cerita klasik Melayu dahulu kala? Astaghfirullah, ni dah khurafat. Apa-apapun, aku percaya bahawa loket ini punya keistimewaan yang tersendiri. Kalau tidak, masakan ibu menyuruhku mengalungkannya ke leher isteriku semasa malam pertama kami nanti.

“Abang Dayat, Iman dah siapkan makan malam. Mari kita makan,” kulihat Iman sedang sibuk membasuh pinggan-pinggan yang terkumpul dalam sinki. Dia sudah seperti ibu kepadaku. Jika aku pulang ke rumah pada cuti hujung minggu, Imanlah yang akan menyiapkan makan pagi dan malamku. Jika setiap pagi aku ke pasar membeli ikan dan sayur, di rumah Imanlah tukang masaknya.

“Wah, macam menarik je masakan adik abang hari ni.”

“Eh, bukan macam, memang menarikpun! Terung masak sambal, telur mata kerbau maak kicap dan sudah pastinya ikan patin masak tempoyak kesukaan abang. Sememangnya umph!”

Tergelak aku melihat aksi Iman.

“Wah, nanti habis SPM, bolehlah Iman amik bidang seni kulinari. Lepas dah grad, bolehlah jadi chef terkenal.”

Best, best! Hah, dah-dah. Jangan nak berlawak. Meh kita makan. Doanya, pak ustaz,” Iman sudah menadah kedua-dua tanggannya tanda bersedia untukberdoa sebelum makan.

Aku memulakan doa makan. “Bismillahirrahmanirrahim…”   

“Amiin.”

“Abang Dayat betul ke nak bagi loket tu pada perempuan tu?” Iman menanyakan soalan cepu emas.

“Perempuan tu? Siapa pulak perempuan tu yang Iman maksudkan ni?” Aku makin keliru.

“Alah, perempuan yang abang jatuh hati tulah.”

La ilaha illallah. Siapa dia pun abang tak kenal, tiba-tiba nak melamar dia. Apa kes?”

“He he he. Manalah tau. Abang Hidayat ni kan bukannya kira. Abang kan nak masuk Guinness Record.

“Haii, adik abang ni. Tak habis-habis nak kenakan abanglah. Cubit baru tahu.”

“Eleh, orang tak takutlah,” Iman membuat muka selamba. Kalau diikutkan, kami sangat merindui saat seperti ini. Cuma, walapun kami bergurau bagai nak rak, tapi rumah ini masih terasa kosong bagi kami. Tiadanya selingan gelak tawa ibu dan ayah, membuatkan jiwa kami terus berasa sepi.

“Mak Senah dan Kak Ita apa khabar ye? Hampir terlupa pulak abang pada dia orang.”

Alhamdulillah, dia orang sihat-sihat saja, bang. Abang tak nak ziarah dia orang, ke?” Aku perhatikan mulut comel Iman yang sejak dari tadi tidak henti-henti mengunyah makanan.

“Siapa kata abang tak nak pergi ziarah. Tapi kot ya pun, tunggulah hari siang dulu. Sekarang dah pukul 9.30 malam.”

“Baik bos.”

Hari sudah larut malam. Iman sudah pun memasuki ke kamarnya. Tapi aku tahu dia tidak terus tidur. Katanya ingin menyiapkan sedikit saja lagi kerja sekolah yang diberikan oleh guru Sejarahnya. Tidak seperti pelajar-pelajar sekolah yang lain, Iman tidak begitu suka menangguh-nangguhkan kerjanya. Baginya, biar bersusah-susah dahulu dan bersenang-senang kemudian. Tampak gayanya, dia berusaha keras demi mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM yang bakal didudukinya tahun ini. Insya-Allah, aku tidak pernah lupa mendoakan kejayaannya.

Seperti biasa, selepas makan malam aku juga tidak terus masuk ke kamarku. Aku akan meluangkan sedikit masa lagi menikmati keindahan malam hari. Bunyi cengkerik semkain kuat kedengaran. Masing-masing ikut bertasbih memuji Allah SWT bersama-sama denganku. Aku tidak bersendirian. Fikiranku menerawang lagi. Kupandang terus ke kaki langit. Sudah jelas kelihatan beberapa titik bintang di sana. Walau tidak banyak, namun sekurang-kurangnya membuatku berasa berteman malam ini. Dalam renunganku, aku terlihat wajahnya kembali. Ya, wajah gadis yang telah membuatan jatungku tidak berhenti daripada terus berdegup kencang setiap kali mengingatinya. Astaghfirullah, ya Allah. lindungin aku daripada penyakit zina hati. Namun, aku benar-benar ingin mengenali siapakah gadis itu. Pertemukan kami dalam keredaan-Mu. Amiin.

Harapan tidak akan tinggal harapan. Suatu hari, ia pasti akan menjadi kenyataan. Aku yakin itu.

Monday, 16 May 2011

Novel SKC: Bab 16


 Rindu yang menyapa
Membawa pergi erti sebuah sepi
Melantunkan sebuah suara duka
Menyebarkan satu suara hampa
Yang semakin menguasai diri.

Ya Allah,
Letakkan aku di tempat
Yang sangat dekat dengan-Mu
Agar dengan itu aku bisa menjadi kuat
Melawan arus deras rindu yang menyapa hatiku.

           
            Terasa begitu tenang sekali. Tanah perkuburan di Kg. Sungai Pusu yang jauhnya hanya beberapa minit saja dari UIAM itu benar-benar menyenangkan hati. Tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa, diringi pula oleh nyanyian daripada kicauan-kicauan burung yang datang entah dari mana melapangkan hati Nurul dan berjaya membuatkannya melupakan sebentar akan semua masalah yang dihadapinya di kampus.

            Di batu nisan yang terpacak kemas di atas pusara di hadapannya itu, tertulis sebuah nama. Nur Fatihah Binti Nasir. Dengan tidak semena-mena, air mata Nurul mengalir. Setitis demi setitis jatuh ke pipi. Siapakan mengetahui sebegitu dalam rasa kasih dan rindunya terhadap insan bernama Nur Fatihah itu. Nur Fatihah merupakan kembar Nurul yang meninggal dunia akibat kemalangan yang menimpanya semasa pulang dari percutian mereka sekeluarga dari Cameron Highlands. Kesemua mereka cedera parah, namun dengan izin Allah SWT, mereka semua masih diberikan kesempatan untuk meneruskan hidup, kecuali Nur Fatihah dan seorang lagi, iaitu adik bongsu Nurul yang bernama Nur Nasuha.
            
           Menurut cerita abahnya, selepas kemalangan itu terjadi, mereka semua dikejarkan ke hospital berdekatan. Walaupun kesemua mereka cedera parah, namun Nur Fatihah dan Nur Nasuhah saja yang koma selama beberapa minggu. Keadaan Nur Fatihah saat itu sangat lemah akibat kekuranagn terlalu banyak darah, hinggalah kemudiannya doktor mengesahkan bahawa dia sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Pada awalnya, umi dan abahnya ingin mendermakan darah mereka kepada Nur Fatihah, namun darah mereka tidak sesuai untuk didermakan. Mereka sangat hampa dan kecewa kerana tidak bisa menyelamatkan nyawa anak mereka sendiri. Jika ingin mengambil darah Nurul dan Nur Nasuha, sudah pasti itu tidak mungkin mereka lakukan, kerana ketika itu ketiga-tiga beradik itu masih kecil.

            Setelah beberapa minit pemergian Nur Fatihah, doktor berusaha menyelamatkan Nur Nasuha. Namun, mereka yang masing-masing masih lagi terlantar di hospital itu menerima satu berita yang sangat mengejutkan. Nur Nasuha diculik orang! Umi dan abah Nurul sangat marah akan kecuaian pihak hospital menjaga pesakit-pesakit mereka di hospital itu. Setelah mereka dibenarkan pulang, mereka terus membuat laporan polis atas kehilangan anak bongsu mereka, Nur Nasuha. Namun, atas kehendak Allah SWT, sehingga kini polis masih belum bisa menemukan Nur Nasuha dan identiti penculiknya saja masih belum dapat dikesan.

            Mengenangkan peristiwa pahit yang menimpa keluarganya  beberapa tahun yang lalu, sudah cukup membuat hati Nurul terusik. Betapa dia sangat merindui kakak kembarnya yang sudah bersemadi di dalam tanah di hadapannya itu serta adik bongsunya yang hingga saat ini masih jauh dari keluarga. Dia berdoa dalam hati agar Nur Nasuha cepat-cepat ditemukan dan dikembalikan semula ke pangkuan keluarganya.

            Selesai mensedekahkan surah al-Fatihah, Nurul langsung meninggalkan tanah perkuburan itu kerana dia sudah berjanji dengan Soleha ingin keluar membeli barang keperluan asrama di Giant. Sampai saja Nurul di motor milik Zarina, dia terlihat kelibat seseorang yang berdiri di pagar utama. Seorang lelaki yang berdiri betul-betul bersebelahan dengan keretanya, memandang terus ke arah Nurul.

            Nurul merasa tidak senang hati dengan pandangan lelaki yang tidak dikenalinya itu. Dia dengan pantas menghidupkan enjin skuter yang dipinjamkan Zarina, memakai helmet dan terus memecut keluar dari pagar utama tanah perkuburan Islam itu. Dia menoleh semula ke belakang dan lelaki itu masih memerhatikannya. Siapa dia? Mengapa dia pandang aku semacam? Nak kata peragut, tapi pakai kereta. Nak kata penjahat atau perogol, tak ada pulak dia kejar aku. Nurul bermonolog sendirian.

            Tanpa disedari, kini dia sudah pun selamat memasuki kawasan UIAM. Dan dia tahu bahawa kini dia sudah selamat daripada pandangan lelaki yang mencurigakan itu.


**********
            

            “Leha, sejak dua menjak ni saya tengok awak murung je. Kenapa ni? Awak ada masalah ke?” Suana riuh rendah di pasar raya Giant membuat Nurul terpaksa meninggikan sedikit suaranya ketika bercakap dengan Soleha.

            “Tak ada apalah. Saya ok je.” Soleha mengacau-ngacau air ice lemon tea yang sudah tinggal separuh gelas.

            “Tapi saya tengok awak macam dah lain. Dah tak ceria lagi macam dulu. Bilik kita tu rasa sunyi sangat bila tak dengar suara awak tau. Kalau awak ada masalah, cerita jelah kat saya ke, Kak Rina ke. Manalah tahu kami boleh tolong,” Nurul sedikit mendesak. Mungkin kerana perasaannya ingin tahunya yang begitu tinggi terhadap apa yang sedang dialami sahabatnya itu saat ini.

            “Hmm… baiklah. Saya jujur dengan awak. Tapi awak kena janji yang awak tak akan bagitau sesiapapun pasal ni.”

            “Hehe… kalau saya terbagitau, apa jadi?”

            “Saya akan malukan diri sendiri! Sebab tu awak kena janji yang awak akan simpan rahsia ni.” Soleha ragu-ragu. Nak bagitau ke tak nak, nak bagitau ke tak nak.

            “Kak Rina pun tak boleh tahu jugak?”

            “Alah, saya share dengan awak dulu. Lepas tu, saya akan bagitau jugak Kak Rina.”

            “Ok, ok. Saya janji tak bagitau sesiapa,” sengeh Nurul menampakkan sebaris giginya yang tersusun kemas.

            “Saya ada masalah cinta…” Air muka Soleha mula berubah. Nurul terkedu.

            “ Haii, Siti Soleha dah pandai bercinta ke sekarang?” Sindir Nurul, sengaja mahu menyakat sahabat baiknya itu.

            “Tengok! Sebab tu saya tak nak bagitau awak, sebab saya tahu awak mesti tak serius!”

            “Ya Allah, saya bergurau jelah. Awak ni Leha, janganlah ambil hati sangat. Mcamlah tak biasa dengan saya.”

            Soleha diam. Matanya hanya memandang pada gelas air di hadapannya yang sedari tadi masih tinggal separuh gelas.

            “Siapa lelaki bertuah tu? Nak kenal jugak. Oo… awak ni suka orang senyap-senyap ek? Patutlah dua tiga hari ni saya tengok awak makan tak kenyang dan tidur tak lena je. Teringatkan seseorang rupanya,” ketawa Nurul pecah juga akhirnya. Tidak dia sangka perkataan-perkataan sebegitu yang akan keluar dari mulutnya.

            “Awak ni Nurul!”

            “Ok, ok. Saya serius sekarang. Jadi, apa yang masalahnya? Oklah tu, dah jumpa cinta hati. Setahu saya bila orang dah jumpa cinta hati ni, dia happy je, tapi awak ni lain pulak ya.”

            Soleha menjuih bibir.

            “Tak naklah cakap dengan awak dah.”

            “Lah… marah pulak dia. Cepatlah cerita. Saya nak tahu jugak kisah cinta awak ni,” Nurul kembali mengusik.

            Soleha menggeleng-gelengkan kepala. Rasa tidak selesa pula dia ingin berterus- terang pada Nurul tentang situasi yang dialaminya saat itu. Bukan kerana tidak percaya kepada sahabat sendiri, tapi mungkin masanya belum betul-betul sesuai untuk jujur kepada Nurul.

            “Ok, saya janji saya akan serius dan takkan gelakkan awak lagi,” Nurul mengangkat tangan kanannya seperti orang sedang berbai’ah.

            “Hmm… baiklah. Saya pegang janji awak tu.”

            Nurul tersenyum simpul. Jauh di sudut hati, dia sudah tidak sabar lagi ingin mengetahui apakah yang selama ini membelenggu fikiran Soleha. Baginya, Soleha bukanlah seorang yang suka menyepikan diri dan kuat mengelamun. Jadi, menurutnya sangat sesuailah jika dia mengetahui keadaan yang sebenarnya daripada mulut Soleha sendiri.

            “Awak tahu kan yang saya join Kelab Fasilitator Mahasiswa. Ada satu program yang saya kena conduct semester ni. Saya memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah program,” Soleha menarik nafas dalam-dalam. Sambil bercerita, dia tidak langsung memandang Nurul. Entah mengapa. Mungkin dia berasa sedikit segan ingin menceritakan perasaan yang dialaminya kepada Nurul.

            Nurul hanya memandang wajah Soleha dengan riak yang tenang. Dia tidak sesekali menyampuk ketika Soleha sedang asyik bercerita. Padanya, sesiapa saja yang bercerita kepadanya harus dihormati. Jika disampuk kata-kata orang itu, itu tandanya kita bukanlah seorang pendengar yang baik. Begitulah prinsip yang dipegang oleh insan bernama Nurul Atiqah.

            Soleha menyambung perbicaraannya. “Pengarah Program kami, namanya Aziz pernah meluahkan perasaannya pada saya.”

            Tersentak Nurul mendengar ungkapan “meluahkan perasaannya.” Entah mengapa hatinya berasa kurang enak dengan kata-kata Soleha itu. Nurul tiada daya menyembunyikan riak wajah terkejutnya. Seperti baru saja terkena kejutan elektrik ketika memetik suis dengan tangan yang basah.

            Soleha jadi hairan dengan tingkah Nurul. “Kenapa Nurul?”

            Nurul tersenyum tawar. “Tak ada apa-apalah. Teruskan. Lepas tu, apa masalahnya?”

            “Masalahnya, saya tak tahu sama ada dia memang benar-benar sukakan saya atau tak. Saya sendiri confuse dengan perasaan saya pada dia. Sebab selama saya bekerja dengan dia, saya tak pernah ada apa-apa feeling pun. Tiba-tiba, dia buat confession berani mati macam tu.”

            “Tapi Leha, kalau memang betul awak tak ada apa-apa perasaan pada dia, kenapa awak mesti fikirkan hal ni? Buat berat kepala sajalah.”

            “Bukan saya nak sangat fikir. Tapi benda ni menganggu konsentrasi saya ketika belajar. Saya dah tak boleh nak fokus dalam kelas dan setiap kali buka buku, mesti ada saja bayangannya kat situ. Kata-kata dia dalam mesej tempoh hari asyik berputar ligat dalam kotak memori saya.”

            “Wah, ni sudah parah ni Leha. Awak kena jumpa doktor cinta cepat-cepat ni. He he he.”

            “Tulah pasal. Tapi, Kak Rina pernah cakap yang bercouple salah, tapi tak salah ka;au kita menyimpan perasaan pada seseorang sebab itu ialah fitrah kita sebagai manusia dan makhluk Allah. Tapi, kalau sampai mengganggu hati hingga menyebabkan solat saya asyik tak khusyu’ saja, tak ke benda tu dah dikira dosa?” Rasa ingin tahu Soleha semakin membuak-buak dalam diri. Dia amat mengharapkan agar ada seseorang yang mampu menjawab setiap persoalan mengenai cinta yang tiada henti bermain-main di benaknya.

            “Entahlah, Leha. Saya pun tak tahu macam mana nak jelaskan benda ni sebab dulupun saya pernah terjebak dalam cinta monyet macam ni,” Nurul kesal kerana tidak mampu memberikan penjelasan seperti yang diinginkan Soleha.

            “Ni cinta monyet ke, Nurul?”

            “Saya tak beranilah nak kata apa-apa pasal kisah awak ni, sebab awak pun belum ada sebarang hubungan dengan Aziz. Dia sekadar meluahkan perasaanya yang sebenar pada awak. Saya pun kurang pasti sama ada benda ni dibolehkan atau tidak dalam Islam. Rasa-rasanya, kita kena tanya Kak Rina. Harap-harap dia boleh bagi penjelasan yang tepat mengenai hal cintan-cintun ni.”

            Soleha mengangguk. “Saya setuju. Nanti kalau Kak Rina balik, awak teman saya jumpa Kak Rina ya.”

            “Insya-Allah,” Nurul melemparkan senyuman manis. Di alam percintaan rupanya kawan aku ni. Patutlah sejak dua menjak ni dia ignore aku semacam aje. Tak apalah. Kasi can. Macamlah aku tak pernah bercinta dulu. He he he, kata Nurul dalam hati.


Bersambung…


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails