Sahabat itu ibarat anggota badan
Yang saling memerlukan
Tanpa sokongan sahabat, masakan
Seseorang mampu berdiri teguh
Atas ujian hidup yang ditimpakan keatasnya?
Panahan pertama membangkitkan seri di wajah
Terbayang-bayang kecantikan alis matanya
Aduhai, inikah salah satu panahan syaitan
Agar aku terus lalai dari mengingati-Nya?
“Abang bukan tak sayang Nia. Tapi keadaan dah berubah, Nia. Kita dah tak boleh macam dulu lagi. Abang dah tak boleh selalu lawat Nia dan kita dah tak boleh nak selalu hang-out lagi.”
Aku terus memasang telinga, mendengar perbualan Amru di telefon dengan seorang perempuan yang namanya begitu asing bagiku. Nia. Hanya tiga huruf yang diperlukan bagi menerangkan bahawa pemilik nama itu adalah seorang perempuan. Malah sudah terang-terangan Amru menggelar dirinya sebagai abang kepada insan yang sedang jawapan daripadanya dari hujung telefon bimbit.
Aku tahu bahawa tindakan aku yang curi-curi dengar perbualan peribadi sahabatku itu boleh dikatakan agak kurang sopan dan aku yakin sekali sekiranya Amru menyedari kelakuanku ini, sudah tentu beberapa tumbukan layang percumanya akan hinggap lagi ke wajahku. Namun, ada sesuatu yang tidak kena pada sahabatku sejak kebelakangan ini dan aku fikir aku harus ambil tahu. Bercakap mengenai tumbukan Amru, kini alhamdulillah, kesan tumbukan yang aku terima daripada Amru sudah beransur pulih. Bengkaknya sudah tidak kelihatan lagi. jadi, tidak ada sesiapa lagi yang menanyakan hal pergaduhan kami pabila mereka mendapati kesan-kesan luka yang terdapat di mukaku sudah lenyap. Namun, memang tidak dapat dinafikan bahawa rasa sakit itu masih terus menyengat. Aku menghadapi kesukaran ketika ingin mengunyah makanan. Rasa sengal-sengal di celah bibir itu masih ada dan akibatnya aku jadi kurang makan.
Aku lupakan sejenak kondisi badanku ketika itu dan cuba menfokuskan kepada perbualan Amru dengan perempuan itu. Mungkin perempuan bernama Nia itu adalah perempuan yang terdapat dalam gambar-gambar Amru yang aku temui di atas meja belajarnya kerana setahu aku Amru tidak mempunyai mana-mana kenalan rapat perempuan. Boleh jadi juga perempuan bernama Nia itu sepupunya, anak buahnya atau mana-mana ahli keluarganya. Sebab aku sendiri tidak diceritakan sendiri oleh Amru mengenai latar belakang keluarganya dengan lebih mendalam. Ibu dan ayahnya kerja apa, berapa orang adik-beradik yang dia punya, juga tidak aku ketahui.
Oleh sebab compartment kami tidaklah seluas mana, seperlahan mana pun suara orang di dalamnya pasti akan kedengaran juga, melainkan kalau dia bercakap di balik bantal atau selimut. Sudah semestinya percakapannya itu tidak dapat ditangkap dengan jelas. Aku mengalihkan semula perhatianku kepada perbualan Amru dan Nia.
“Percayalah Nia. One day, kita akan jumpa lagi, tapi bukan sekarang. Tolonglah faham keadaan abang. Sekarang keadaan dan semakin menyukarkan abang untuk jumpa dengan Nia.”
Gegendang telingaku semakin aktif menghantar impulse kepada otak untuk memproses bait-bait kata yang keluar dari mulut Amru. nampaknya, perempuan bernama Nia itu pastinya seseorang yang istimewa kepada Amru. Bila aku amati nada percakapan Amru kepada Nia itu, sangat lembut sekali. aku jamin, mana-mana perempuan yang mendengarnya pasti akan cair.
“Abang pun rindu kat Nia. Abang nak sangat jumpa Nia lagi. Abang rindu nak bawa Nia jalan-jalan. Kita pergi main bowling lagi, makan ais krim sama-sama atas bas, main badminton dekat Taman Tasik Titiwangsa. Kalau boleh, abang nak buat semua benda dengan Nia. Abang nak luangkan masa yang abang ada hanya untuk Nia. Tapi, Allah dah tetapkan begini, Nia. Dia tak izinkan kita berjumpa buat masa ni.”
Esak tangis Amru sayup-sayup kedengaran dari compartmentnya yang agak sedikit terbuka itu. Amru menangis? Biar benar. Aku hairan. Sekarang nada suara Amru menjadi semakin serius.
“Nia, tolonglah jangan menangis lagi. Kalau Nia sedih, abang lagi sedih. Abang tak nak pelajaran kita sama-sama terganggu sebab hal ni. Keadaaan dah berubah, Nia. Semakin sulit jadinya. Kita dah tak boleh berhubung selalu dan berjumpa selalu. Tapi kalau ada rezeki, insya-Allah abang tak akan teragak-agak nak jumpa Nia.”
“Nia, Nia boleh tolong abang tak?”
Amru berhenti sekejap sebelum meneruskan ucapannya.
“Tolong jaga kesihatan Nia. Tolong jaga diri Nia baik-baik. Kalau Nia rasa rindu kat abang, Nia tengoklah gambar-gambar yang kita ambil bersama. Abang pun masih simpan gambar-gambar kita. Setiap kali abang rindukan Nia, abang mesti tengok gambar-gambar tu. Lagi satu. Kita sama-samalah buat solat hajat, mohon dekat Allah supaya pertemukan kita lagi. Janganlah kita saling melupakan, sebaliknya kita sama-sama saling mengingati dalam doa-doa yang kita panjatkan hari-hari kepada Allah. Nia faham, kan? Berjanjilah dengan abang yang Nia akan cuba buat apa yang abang suruh. Boleh kan, Nia?”
Memang sah, Amru sudah terkena panahan cinta! Tapi, benarkah atau aku saja yang masih bersu’uszhon terhadap dia? Ya Allah, jauhkanlah aku daripada berburuk sangka terhadap sahabatku dan tunjukkanlah aku kebenarannya. Ampuni dosa-dosaku dan dosa-dosa sahabatku, ya Allah. Aku berdoa dalam hati.
Klik!
Amru mematikan telefon bimbitnya. Ternyata, dia masih menangis selepas berbual dengan Nia. Apa yang bikin Amru sedih begitu sekali? Apakah memang benar ada sesuatu yang cuba diselindungkannya daripada pengetahuanku? Perlukah aku terus bertanya dia tentang hal itu atau bersabar saja sehingga sampai satu masa yang sesuai Amru bersedia menceritakan kepadaku hal yang sebenarnya? Aku teringat dengan satu firman Allah s.w.t., Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar. Jadi aku memutuskan untuk terus bersabar. Mungkin saja Amru perlukan masa dan ruang untuk bersendirian.
Sudah sampai waktu solat Asar dan aku segera mengatur langkah ke kamar mandi untuk berwuduk. Kelihatannya seperti Amru masih belum berganjak dari katilnya. Aku jadi penasaran memikirkan keadaannya. Aku segera ke compartmentnya, untuk mengajaknya solat berjemaah denganku.
“Amru, dah nak Asar dah ni. Jom kita ambil wudhuk dulu. Lepas tu kita solat jemaah kat bawah.” Aku melihat Amru sedang leka menatap wajah ayu milik gadis yang terdapat dalam gambar yang sedang dipegangnya. Tidak sedikit pun dia sedar akan kehadiranku di situ. Pasti gadis itu ialah Nia. Hati aku begitu yakin.
“Amru!” Aku hampir menjerit memanggil namanya, agar dia sedar dari lamunannya tu.
“Astaghfirullah… Dayat. Sorry-sorry. Ana tak sedar langsung anta masuk.” Amru cepat-cepat menyimpan gambar-gambar itu di bawah bantalnya. Tidak mahu aku melihat agaknya.
“Mana nak sedarnya. Khusyuk sangat tengok gambar. Hehehe. Anta ok ke tak ni, Amr? Asyik murung je ana tengok. Kalau ada masalah, cerita jelah. Manalah tau kot ana boleh tolong.” Aku memberi saranan.
“Eh, tak adalah. Mana ada masalah. Ana ok je.” Amru bersahaja.
“Boleh ana tanya?”
“Tanya sajalah.”
“Siapa perempuan dalam gambar-gambar yang anta tengok tadi?”
Amru tersenyum. Rasa-rasanya dia sudah begitu memahami perasaan ingin tahu yang semakin membuak-buak dalam diriku ini.
“Girlfriend ana. Cun tak?” Amru tergelak kecil.
Terbeliak aku mendengar pengakuan berani Amru itu. Betulkah apa yang aku dengar ni atau telinga aku je yang tersumbat agaknya. Untuk tidak kelihatan terkejut, aku hanya buat muka selamba.
“Hmm, boleh tahanlah. Tapi, jujur ana cakap. Tak adalah cun macam Erra Fazira atau Siti Nurhaliza. Belum sampai tahap tu lagi kot.”
Ketawa Amru pecah juga akhirnya. Apalah yang kelakar sangat tu.
“Hidayat… Hidayat…” Amru menggeleng-gelengkan kepala.
“Laa, kenapanya? Ana salah cakap ke tadi?” Aku semakin sukar ingin membaca apa yang bermain di fikiran Amru saat ini.
“Anta percaya ke apa yang ana cakap tadi? Anta ingat ana ada masa ke nak fikir pasal cintan-cintun ni? Pleaselah, Dayat. Banyak lagi benda berfaedah ana boleh buatlah.”
“Habis tu, siapa perempuan dalam gambar tu?”
“Bukan siapa-siapalah. Jomlah, bilal dah azan dah tu. Tapi, ana rasa ana nak solat kat bilik je kot. Tak laratlah nak turun bawah.” Amru bangun dan mengemaskan rambutnya yang sedikit kusut.
No comments:
Post a Comment