About Me

My photo
i know what's right and what's wrong. i am cheerful and out going. it's hard for me to find the one that i want, but once i find the right person, i won't be able to fall in love again for a long time.

DO WHAT YOU LOVE

"Do what you love and you'll be good at it. Sounds simple enough. But what if you love reading comics, playing video games and watching korean dramas until your eyes pop out? Is it possible to make a career out of such things? What's the alternative? Spend all your time wishing you were brave enough to take that leap? Don't let fear stop you from doing what you love. Because ultimately, it's about being true to yourself."

Followers

Monday 16 May 2011

Novel SKC: Bab 13


 Dia selalu di sini, ada bersamaku 
Saat aku dalam kesulitan atau kesenangan
 Dipimpinnya tanganku menuju Tuhan yang satu
 Mengajakku memohon pertolongan dari-Nya

Aku insan yang bertuah
Dihadiahi Tuhan teman sepertinya
Rinduku padanya hanya Tuhan Maha Mengetahui
Akan kumohon kepada-Nya dikuatkan ukhuwwah antara kami


Sahabat,
Bukan niatku
Untuk menyakitkan
Bukan juga
Untuk melukakan
Tapi kerana emosi
Tiada ketentuan
Amarah sering dilepaskan
Maafkan aku
Jika hatimu dalam kuhiriskan.
Sender: Amru

            Kiriman SMS berupa puisi ringkas itu aku terima daripada sahabatku, Amru. Aku  segera mematikan telefon bimbitku dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap tajuk perbincangan usrah kami.

            “Marah. Tajuk utama usrah kita hari ni.” Abang Muhammad memulakan perbincangan.

Usrah hari ini berjalan seperti biasa di surau Mahallah Bilal.  

“Semua sudah maklum kan bahawa marah merupakan antara  penyakit hati yang paling berbahaya bagi seorang Muslim. Marah ialah sifat mazmumah yang begitu sukar untuk diubati tatkala ia sudah menyerang hati seseorang. Marah juga salah satu saluran iblis yang digunakannya untuk memecah belahkan umat Islam. Kita sering diingatkan agar sentiasa menyucikan hati daripada sifat marah.” 

Sedang aku asyik mendengar penyampaian Abang Muhammad, tiba-tiba aku jadi teringat dengan kata-kata arwah ibuku. Arwah ibuku pernah bilang yang sifat marah akan membuatkan seseorang lupa diri dan tidak mampu berfikiran secara waras. Dia akan bertindak lebih mengikut emosi daripada rasional akal. Bagi orang-orang yang sifatnya pemarah, jika ada sesuatu yang benar-benar menguji kesabaran dia, tidak mustahil baginya untuk mencederakan orang-orang yang berada di sekitarnya. 

“Oleh sebab itulah, setiap kali kita diserang rasa marah, kita dianjurkan segera mengucapkan istighfar beberapa kali. Insya-Allah, hati kita akan beroleh ketenangan,” sambung Abang Muhammad, menyedarkan aku dari lamunan.

“Siapa kat sini yang boleh bagi abang contoh hadith Nabi yang berkaitan dengan marah?”

Khairul cepat-cepat mengangkat tangannya. 

“Ya, Khairul?” Tanya Abang Am.

Dari Abu Hurairah r.a., bahawasanya seorang lelaki telah berkata kepada Nabi Muhammad s.a.w., ‘Berilah wasiat kepada aku.’ Sahut Nabi : ‘Janganlah engkau marah.’ Kemudian dia mengulangi beberapi kali. Sabda Nabi: ‘Janganlah engkau marah.’ Riwayat oleh Imam Bukhari,” jawab Khairul dengan tenangnya.

Alhamdulillah, berdasarkan hadith ni, Rasulullah s.a.w. sendiri mewasiatkan kepada seluruh umat baginda agar menjauhkan diri daripada sifat marah. Tapi, ini taklah pulak bermaksud Nabi suruh kita hapuskan terus sifat marah ni, sebab sifat marah itu  sendiri merupakan tabiat manusia yang tidak mungkin dapat dihapuskan. Kat sini, Abang Am nak tanya antum. Rasa-rasanya macam mana rupanya bila seseorang itu dalam keadaan marah?”

Semua diam sambil memikirkan jawapan yang paling tepat untuk soalan Abang Muhammad itu.

“Agak-agak, cantik ke buruk rupanya?” Tanya Abang Muhammad lagi.

“Laa, Abang Am ni. Dah nama pun orang tengah marah. Mana ada yang cantik rupanya,” jawab Hakim.

Semua yang ada dalam usrah itu tergelak mendengar jawapannya.

“Betul tu, Abang Am. Bila tengok muka orang tengah marah macam serigala tak makan 10 hari adalah. Bengis,” sampuk Yusuf.

Aku melihat Abang Muhammad hanya tersenyum mendengar jawapan bernas adik-adik usrahnya. Dengan tenang, dia menjelaskan kepada kami satu lagi hadith Nabi s.a.w.

“Nabi ada bersabda pada hadis baginda yang lain: ‘Jauhilah kemarahan, kerana ia adalah bara api yang bernyala-nyala dalam hati anak Adam.’ Cuba kita lihat bagaimana jika seseorang dalam keadaan marah. Kedua-dua matanya merah dan urat lehernya akan kelihatan timbul. Rasulullah pernah menerangkan bahawa kemarahan itu datangnya dari syaitan dan syaitan itu sendiri dijadikan daripada api. Api hanya dapat dipadamkan dengan air. Jadi, apabila seseorang itu tengah marah, maka sebaik-baiknya dia segera berwudhuk.”

Aku pula yang jadi semakin tertarik dengan isu yang dibincangkan dalam usrah kali ini terus berkongsi satu lagi hadith Nabi s.a.w. berkaitan dengan marah yang aku ketahui.

“Sebelum kita tangguhkan usrah kita, ana nak share sikit satu lagi hadith Nabi tentang marah dan ana rasa semua dah pernah dengar hadith ni. Tapi, kita sama-sama revise baliklah hadith ni supaya ia lekat dalam ingatan kita dan akan dapat jadi pengajaran buat kita semua pada masa akan datang.”

“Apa hadithnya tu, Dayat?” Azmil pula mencelah.

“Hadithnya berbunyi, Abu Dzar al-Ghifari berkata: Rasulullah pernah berkata kepada kami: ‘Apabila marah seorang kamu yang sedang berdiri maka hendaklah ia duduk supaya hilang kemarahannya. Kalau masih belum juga hilang maka hendaklah ia berbaring.’ Insya-Allah, itu saja daripada ana.

“Nah, kalau macam tu Abang Am yakin sekali, merujuk kepada semua hadith Nabi yang kita belajar hari ni dapat menyedarkan kita semua tentang keburukan sifat marah. Jadi, lepas ni, kalau kita tengah marah, rasa-rasanya kita tahukan apa yang mesti kita buat? Istighfar, berwudhuk dan dua langkah yang diajarkan Nabi dalam hadith yang disampaikan Hidayat tadi. Wallahua’lam. Jadi kita tangguhkan dulu usrah kita dengan kaffaratul majlis dan Surah al-‘Asr.”

Kami semua bersalam-salaman, kemudian bersurai. Belum sempat aku membuka langkah menuju ke kamarku, Abang Muhammad sudah memanggil namaku.

“Hidayat, tunggu sekejap.”

“Ada apa, bang?”

“Kenapa Amru tak datang usrah hari ni? Dia sakit ke?”

Aku jadi bingung. Tidak tahu ingin memberikan jawapan yang bagaimana kepada Abang Muhammad. Aku tidak mahu dia bimbang akan krisis yang kami sedang alami sekarang.

“Err, mungkinlah kot, bang. Dia tak berapa sihat agaknya. Sebab hari ni pun dia tak pergi kelas,” jelasku.

“Laa, anta kan roommate dia. Takkan anta tak tahu kenapa dengan dia?”

 “Bukan apa, Abang Am. Sebab sejak semalam, dia duduk je dalam compartment dia. Tak keluar-keluar. Ana tak berani nak kacau sebab dia lena betul tidur.”

“Hmm, takpelah kalau macam tu. Tapi, kalau ada masalah apa-apa, bagitau abang ya? Insya-Allah, abang boleh tolong semampu yang boleh. Oklah, jumpa minggu depan. Ma’assalamah.” Abang Muhammad menepuk bahuku perlahan.

Wa’ilalliqa’,” balasku.

**********

Selesai sahaja menunaikan solat Maghrib, aku terus ke perpustakaan kerana ingin meminjam beberapa buah buku bagi menyiapkan assignment yang diberi oleh pensyarah. Setelah keluar dari perpustakaan, aku berjalan ingin menuju ke kantin HS untuk membeli air fresh orange. Terasa kering benar tekak ini.

Sambil aku berjalan, aku terlihat kelibat Amru yang sedang berlegar-legar di ruangan masjid. Barangkali baru selesai menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid ataupun solat sunat rawatib. Ikutkan hati ingin saja aku pergi dapatkannya ketika itu juga. Inginku ucapkan sejuta kalimah maaf kepadanya atas sikapku yang agak kurang sopan dengan tidak menghormati privasi sahabat sendiri. Sejujurnya, bukan niatku ingin menggeledah biliknya sesuka hati. Tetapi gambar-gambar yang bersepahan di atas meja belajar Amru benar-benar membuatku tertanya-tanya. Kufikir jalan terbaik untuk menutup pintu fitnah orang juga sangkaan burukku terhadapnya adalah dengan menanyakan hal yang sebenarnya kepada Amru sendiri. 

Namun siapa sangka, Allah lebih berkuasa atas segalanya. Kini, Amru benar-benar marah denganku. Sudah beberapa hari kami tidak bertegur sapa. Aku jadi semakin kurang enak. Bukankah tidak menegur sesama Muslim selama lebih dari tiga hari itu bisa memutuskan silaturrahim antara kita? Nau’udhubillah min dhalik. Sungguh, bukan itu yang aku mahukan. Tidak sama sekali! tapi, cara apa lagi yang aku punya untuk memujuk Amru supaya dapat memaafkanku kembali? Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini!

Aku lihat dari jauh, ternyata Amru masih belum keluar dari masjid. Kelihatannya dia sedang khusyu’ membaca al-Quran. Aku berjalan memasuki masjid UIA yang tersergam indah itu lalu menuju mendekatinya. Subhanallah! Merdu sungguh suara sahabatku ini mengalunkan kalimah-kalimah suci al-Quran. Tanpa aku sedari, tiba-tiba air mata jatuh menitis, membasahi pipiku yang kering ini. Tersentuh dengan lenggok bacaan yang dilagukan sahabatku ini.

Aku menunggu sehingga Amru selesai bacaannya di satu sudut dalam masjid itu. Sementara itu, memandangkan wudhukku semasa solat Maghrib masih belum terbatal, aku segera menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid, sebagaimana yang disarankan oleh baginda Rasul s.a.w. dalam sabdanya yang bermaksud, Dari Abu Qatadah r.a. berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Kalau sekiranya salah satu di antara kalian masuk ke dalam masjid maka dilarang untuk duduk di dalamnya sebelum mengerjakan solat dua rakaat (solat Tahiyatul Masjid).”

Assalamualaikum warahmatullah… assalamualaikum warahmatullah.” Aku menyudahkan solat sunatku dengan salam dan kalimah hamdalah. 

Sodakallahul’azim…” Kedengaran suara Amru menyudahkan bacaan al-Qurannya. Tanpa berlengah lagi, kuberjalan perlahan-lahan ke arahnya.

“Assalamualaikum, ya akhi,” sapaku dengan menghadiahkan sekuntum senyuman ikhlas sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengannya.

“Wa’alaikum salam warahmatullah,” jawab Amru dengan menyambut huluran tanganku.  Wajahnya nampak serius. Masih marah lagi kah Amru terhadapku? Aku jadi tidak senang hati.

 “Ana keluar kejap tadi. Ada appointment dengan doktor kat hospital,” jawabnya sinis sekali.

“Oh, sebab tu ke anta tak datang kelas hari ini?”

“Hmm, macam tulah,” jawabnya sinis.

 “Lebam anta dah baik ke?” Tanya Amru, prihatin dengan keadaanku setelah beberapa hari pekena tumbukan darinya.

“Alhamdulillah, dah pulih sikit. Alah, bukannya serious pun. Sikit je ni. Amr, sebenarnya ana…” belum sempat aku menghabiskan kata-kataku, Amru sudah memotongku.

“Ana yang patut minta maaf dulu, Dayat. Ana yang berkasar dengan anta hari tu. Tak pasal-pasal anta kena penumbuk terbaik ana,” kata Amru dengan nada penuh kesal.

“Ana pun salah jugak. Tak patut ana langgar privacy anta. Tapi jujur ana cakap, ana tak berniat apa-apa pun. Ana cuma nak elakkan prasangka terhadap kawan baik ana je. Sebab tu ana nak minta penjelasan anta,” jelasku dengan penuh meyakinkan.

Jeda.

Amru memandang tepat ke mataku. Aku jadi kaku. Lidah tiba-tiba kelu untuk berbicara. Kualihkan pandangan mataku ke arah tetamu-tetamu Allah yang berada dalam masjid itu. Ada yang sedang membaca al-Quran, berzikir, beriwirid malah sedang beristirehat dengan penuh ketenangan.

Amru meletakkan telapak tangannya di atas bahuku.

“Tapi, ana rasa kalau anta nak tahu pasal perempuan yang ada dalam gambar tu dan siapa dua orang lelaki yang terserempak dengan ana dekat kafe hari tu, tak payahlah sekarang. Ana memang tak ada mood langsung nak explain pasal ni. Sorrylah, Dayat. Ana bukan apa, tapi ana belum bersedia nak jelaskan semuanya. Biarlah apa yang orang lain nak fikir apa pasal ana. Kita takkan boleh nak puaskan hati semua orang kan?”

“Tapi Amr, bukan ke menutup pintu-pintu fitnah tu wajib? Kalau tidak, kita akan dipertanggungjawabkan atas dosa-dosa orang lain terhadap diri kita. Dosa-dosa seperti mengumpat, memfitnah, mengutuk, semua tu.”

“Memanglah. Tapi, anta kena faham dan hormat keputusan ana. Buat masa sekarang memang ana tak nak cakap pasal ni. Sebagai sahabat, anta sepatutnya kena lebih percayakan ana dan anta kenalah sentiasa berbaik sangka. Bukan ke Nabi sendiri suruh kita berbaik sangka sesama Muslim? Bukannya ana tak nak cerita langsung, tapi ana perlukan masa. Dan ana harap dalam tempoh ni, anta boleh bersabar.”

Aku hanya mengangguk. Walau apapun, aku tahu aku harus juga mengalah. Ini soal masalah peribadi Amru. Siapa aku untuk katakan tidak? Benar cakap Amru. Kepercayaan merupakan antara elemen terpenting dalam suatu perhubungan. Malah hubungan persahabatan sekalipun. Mungkin benar. Aku yang harus bersabar dan berbaik sangka dengannya dan aku harus percaya bahawa sahabatku bernama Amru, tidak akan melakukan hal-hal yang menyalahi agama seperti yang aku fikirkan selama ini.

Insya-Allah, kalau dah itu keputusan anta, ana rasa tak ada apa yang ana boleh katakan lagi, Amr. Ana hormat anta sebagai sahabat ana. Tapi cuma satu je yang ana harapkan daripada anta.”

Amru membulatkan kedua-dua bebola matanya.

“Apa dia?”

“Ana harap sangat agar ukhuwwah kita ni takkan  rosak hanya disebabkan perkara-perakara kecil macam ni. Ana tak nak kita mudah bergaduh hanya sebab perkara-perkara yang boleh diselesaikan secara berhikmah.” Belum sempat aku menghabiskan kata-kataku, Amru sudah terlebih dahulu memotong.

“Anta perli ana ke? Yelah, sorrylah. Ana pun tak tahu kenapa ana boleh marah macam tu sekali. Mungkin penyakit ana ni dah datang balik kot, Dayat. Ana dah tak boleh nak control marah ana tanpa ubat yang doktor bagi tu. Sebab tu ana pergi hospital hari ni,” kata Amru. Wajahnya sayu sekali.

So, doktor cakap apa pasal penyakit anta ni?”

“Doktor cakap benda yang sama jelah. Dia kata dia pun dah tak boleh nak buat apa dah. Seolah-olah hidup ana ni perlu bergantung pada ubat-ubat yang dia bagi aje. Itupun dikira anta bernasib baik lagi umur anta dipanjangkan. Kalau tak, mesti ana dah lama cederakan anta. Nau’dhubillah,” kata Amru dengan kesal.

“Tak apalah, Amr. Ana faham kondisi badan anta. Cumanya ana nak cakap. Lepas ni, anta janganlah terbawak-bawak dengan emosi. Cuba kawal diri anta. Ana yakin anta boleh. Anta kan kuat. Percayalah, hidup mati kita semuanya bergantung pada Allah saja. Dia je yang berhak tentukan segalanya. Tapi apapun, ikutlah saranan doktor tu. Tapi kalau anta dah tak nak ambil ubat penenang tu, cuba stop dulu dan latih diri anta untuk kawal emosi.  Ana akan bantu anta. Insya-Allah.” Begitu semangat aku memberi saranan kepada Amru.

Amru mengeluh panjang.

Insya-Allah. Terima kasih, Dayat. Ana akan berusaha sedaya yang boleh. Oh ya, sebelum terlupa. Ana ada hadiah untuk anta.” Amru mengeluarkan sehelai kertas warna. Di atasnya tertulis sebuah lirik lagu yang sangat aku kenali. Dia menghulurkan helaian kertas yang dihias cantik itu kepadaku. “Nah. Semoga ukhuwwah kita diredhai Allah.” 

Subhanallah, Amru! Birthday ana lambat lagilah. Kalau ya pun nak bagi hadiah, tunggulah birthday ana sampai dulu.” Aku tersenyum riang menerima hadiah ikhlas dari Amru itu. 

“Alah, bukannya selalu pun. Anggap jelah ni sebagai tanda minta maaf ana pada anta atas keegoan ana.”

“Anta ni, Amr. Ada-ada saja. Ana dah lama maafkan antalah. Sekarang, jom kita lebih open-minded dalam segala hal. Ok?”

Insya-Allah.”

Kami sama-sama amati lirik lagu tersebut.

Kau bagai cahaya (Saujana)

Sedingin embunan dedaun kekeringan
Sesegar ingatan kenangan kisah silam
Kita seiringan bersatu berjuang
Meniti titian persahabatan
Kau hadir bawa cahaya
Terangi hatiku teman
Saling memerlukan dan mengharapkan

Tangis gembira disaat bahagia
Moga kan kekal menuju ke syurga
Kerana Tuhan kita ditemukan
Andai terpisah itu ketentuan

Sedingin embunan dedaun kekeringan
Sesegar ingatan kenangan kisah silam
Kita seiringan bersatu berjuang
Meniti titian persahabatan

Sengketa dan kesilapan
Itulah fitrahnya insan
Kata dan teguran
Itulah pedoman
p/s: Uhibbuka fillah

Bait-bait kata yang sangat indah.  Kerana sebuah nasyid, kami dipertemukan. Kerana sebuah nasyid, ikatan ukhuwwah atas nama Zat yang Maha Agung mula terjalin antara Muhammad Hidayat dan Abdullah Amru. Kami berpelukan sesama sendiri dan mengucapkan, “Uhibbuka fillah” sesama sendiri. 

            Semoga ikatan ini akan terus berkekalan hingga ke syurga.

**********

            “Boleh tak jangan selalu contact abang?  Abang tak nak kawan-kawan abang syak apa-apa pasal hubungan kita. Yelah, abang janji. Nanti cuti hujung minggu ni abang pergi melawat Nia, ok?”

Klik! Kedengaran Amru mematikan panggilan di telefon bimbitnya.

            Siapa Nia? Hatiku masih diserbu dengan seribu pertanyaan.


Bersambung…
 

1 comment:

nasi_kerabu said...

Alahamdulillah..
sekian lama mencari novel nie..
akhirnya bertemu jua...
Jazakillahu khairan ka'athira penulis kerana masih meneruskan nukilan novel ini

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails