Cinta adalah kekuatan
Yang mampu
Mengubah duri jadi mawar
Yang mampu
Mengubah duri jadi mawar
Mengubah sedih jadi riang
Mengubah amarah jadi ramah
Mengubah musibah jadi muhibbah
Mengubah musibah jadi muhibbah
Itulah cinta
Cinta sendirilah yang menerangkan
Cinta dan percintaan
Cinta dan percintaan
“Cinta ni begitu unik. Bagi akak, tiada makna yang tepat bagi kalimah cinta,” ujar Zarina sambil tersenyum. Betapa dia amat memahami apa yang sedang berlegar-legar di fikiran kedua-dua adik angkatnya itu, Nurul dan Soleha. Dalam usia remaja meningkat dewasa, perihal cinta sudah menjadi fitrah bagi mereka untuk memikirkannya.
“Kalau begitu, cinta tu sebenarnya apa Kak Rina? Maksud Leha, macam mana kita nak pastikan kalau perasaan kita ni cinta atau pun tak?” Soleha sudah semakin tidak sabar ingin mendengar penjelasan Zarina yang seterusnya.
“Ketahuilah bahawa setiap orang punya tafsiran cinta yang berbeza-beza. Dan hanya orang-orang yang pernah merasai cinta atau mengalami perasaan cinta itu sendiri yang akan lebih memahami apa sebenarnya cinta. Kadang-kadang makna cinta tergantung kepada kisah hidup yang dialami sehari-hari dalam hidup kita. Ada juga yang mentafsirkan cinta hanya dengan pemerhatian dan pengamatan kisah hidup orang lain. Sebab tulah akak kata cinta itu sangat unik.”
Mendengar ucapan Zarina, Nurul dan Soleha menjadi semakin tidak mengerti. Mereka mengharapkan sebuah jawapan daripada Zarina, akan tetapi jawapan yang diberikan oleh Zarina itu menjadikan mereka semakin tertanya-tanya akan definisi cinta yang mereka cari selama ini.
Zarina hanya mendiamkan diri buat beberapa minit. Dia sengaja melakukan hal itu atas sebab ingin membiarkan Nurul dan Soleha memikirkan sendiri maksud cinta menurut pemahaman mereka. Nurul dan Soleha saling berpandangan. Setelah itu, Nurul mula bersuara.
“Kak Rina, Nurul pernah terbaca dalam novel srikandi Rabiatul Adawiyah. Dalam novel tu ada terselit banyak kata-kata tentang cinta menurut Rabiatul Adawiyah.”
“Cuba Nurul kongsi sikit dengan kami. Kebetulan, akak pun tak pernah baca lagi buku tentang Rabiatul Adawiyah ni,” Zarina bagai tertarik ingin mendengar pandangan srikandi Islam itu mengenai cinta. Soleha turut mendengar dengan tekun.
“Tak semua Nurul ingat, kak. Tapi yang paling meresap ke dalam hati Nurul ialah kata-kata Rabiah yang berbunyi, cinta itu berbicara dengan kerinduan dan perasaan. Hanya mereka yang mencintai yang dapat merasakan erti cinta yang sesungguhnya. Cinta tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata. Tidak mungkin seseorang dapat menjelaskan sesuatu yang belum dikenalnya atau mengenali sesuatu yang ia belum pernah bergaul dengannya. Cinta tidak mungkin dikenal melalui hawa nafsu, terlebih lagi apabila tuntutan cinta itu diabaikan. Cinta dapat membuat manusia menjadi bingung, sehingga akan menutup apapun untuk menyatakan sesuatu. Cinta itu mampu menguasai hati."
Zarina mengangguk-angguk. Rasa kagum terus menyelinap masuk ke dalam hati tatkala mendengar ungkapan indah srikandi Rabiatul Adawiyah tentang erti kata cinta yang sebenarnya.
“Jadi, sudah fahamkan apa itu cinta?” Tanya Zarina.
“Faham, tapi tak berapa fahamlah, kak. Ayat dia semacam berbunga. Terlalu berkias. Susah rasanya nak tafsirkan,” Soleha menggaru-garu kepala. Dia berharap agar Zarina akan memberikan tafsiran cinta yang lebih mudah untuk dia fahami.
Zarina menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum menerangkan semula.
“Macam ni. Cinta itu ialah suatu perasaan yang wujud dalam diri kita yang membuatkan kita ingin melakukan apa saja kepada yang dicintai. Hal ini boleh kita maksudkan dengan cinta kepada Allah, Pencipta kita, cinta kepada makhluk Allah seperti binatang-binatang dan tumbuh-tumbuhan mahupun cinta kepada manusia lainnya. Contohnya, bila kita sayangkan ibu kita, dah tentu kita akan mendengar setiap kata-katanya dan buat semua yang diperintahkannya. Sama juga macam kalau kita cintakan Allah. Atas rasa cinta itulah, kita akan sentiasa berusaha untuk laksanakan perintah-Nya dan berjuang meninggalkan larangan-Nya,” jelas Zarina panjang lebar.
Dia menyambung hujahnya kembali. “Tapi, dalam kes Leha, akak kurang pasti apakah perasaan Aziz pada Leha itu ialah cinta atau sebaliknya. Dengar saja Leha kata Aziz meluahkan terus rasa cinta dia pada Leha cukup buat akak ragu-ragu dengan keikhlasannya. Tapi, tak boleh juga kalau akak fikir macam tu. Sebab soal ikhlas atau tak, hanya Allah dan pemilik hati itu saja yang tahu.”
“Kenapa akak ragu-ragu pula dengan perasaan Aziz pada Leha? Bagi Leha, sepanjang Leha kenal Aziz, dia seorang lelaki yang baik. Kawan-kawan rapatnya juga bagitahu Leha yang dia jenis orang yang setia pada yang satu.”
“Mungkin betul kata kawan-kawan Aziz tu. Tapi, akak ragu adakah Aziz suka pada Leha atas dasar cinta semata-mata atau ada hasrat nak jadikan Leha yang halal untuknya. Dua-dua perkara ni, berbeza adikku,” Zarina berusaha memahamkan Leha akan situasi yang dialaminya saat itu.
“Kalau Leha tak kisah, boleh tak Leha tunjuk kat akak mesej yang Aziz hantar pada Leha? Dari situ, mungkin akak boleh tolong sesuatu,” pinta Zarina. Pada mulanya Soleha agak segan ingin menunjukkan mesej yang dihantar Aziz kepadanya untuk dibaca Zarina. Tapi, demi menguraikan segala ketidakfahaman mengenai isu ini, dia memaksakan juga diri untuk menunjukkannya. Dia tahu yang niat Zarina ikhlas ingin menolongnya.
“Sekejap ya kak. Leha ambil hand phone Leha kat sebelah.”
“Ok.” Zarina memandang semula kepada Nurul.
“Nurul kenal ke dengan Aziz tu?”
“Sejujurnya, Nurul tak berapa kenal dengan Aziz, Kak Rina. Nurul pernahlah dengar orang-orang dok sebut-sebut nama dia. Dia agak famous dalam Kelab Fasilitator Mahasiswa. Dia Timbalan Presiden dalam kelab tu. Kebetulan program yang Leha terlibat kali ni Azizlah Pengarah Programnya.”
“Oh, begitu.”
Soleha datang semula ke compartment Zarina lalu menghulurkan telefon bimbitnya kepada Zarina. Zarina mencapai telefon bimbit Soleha dan terus membaca mesej Aziz yang terpampang di skrin.
Kepada: Soleha
Daripada: Aziz KFM
Salam, Leha. Saya nak bagitau awak sesuatu. Tapi saya harap awak tak marah pada saya. Sebenarnya, sejak saya mula bekerjasama dengan awak dalam program KFM ni, saya mula jatuh cinta pada awak. Saya harap awak boleh terima cinta saya ni.
Zarina tersentak apabila membaca mesej yang dikirimkan Aziz kepada Soleha. Dia memandang Soleha yang air mukanya mendadak berubah. Berderau darah di muka Soleha apabila direnung sebegitu oleh Zarina. Kak Rina marah kat aku ke bila Aziz hantar mesej macam tu?
“Leha…”
“Kak Rina, janganlah marah Leha. Nurul pun rasa yang Aziz pun terlalu terburu-buru. Mungkin dia sendiri tak pasti dengan perasaan dia pada Leha,” Nurul cuba menenangkan keadaan yang dirasakannya agak tegang.
Leha hanya menundukkan wajahnya. Takut bertentangan mata dengan Zarina. Zarina kembali senyum.
“Kenapa? Kamu berdua rasa akak marah ke? Lah, akak tak marahlah. Akak cuma terkejut kenapa lelaki sebaik Aziz boleh hantar mesej macam ni.”
“Bagi Kak Rina, salah ke perbuatan Aziz tu?” Nurul bertanya.
“Susah sebenarnya kalau akak nak jelaskan, sebab setiap orang punya prinsip hidup masing-masing. Prinsip hidup yang akak pegang pula memang lain daripada orang lain.”
“Prinsip akak macam mana pula?” Soleha menyampuk.
“Sebenarnya tak salah kalau kita confess perasaan kita pada orang yang kita suka. Mungkin dengan cara itu boleh mengurangkan salah faham dan membuat semua hal menjadi jelas antara dua pihak. Tapi, dalam isu cinta macam ni, orang tua akak didik akak supaya menggunakan perantaraan orang tengah seperti wali atau mahram untuk menyampaikan hasrat hati. Dengan cara ini, maruah kita akan lebih terjaga dan ia juga sebagai tanda rasa hormat kita pada orang yang kita sukai itu serta seisi keluarganya.”
Nurul dan Soleha kini mengerti. Rupa-rupanya terlalu banyak hal tentang cinta yang masih belum mereka ketahui. Mereka fikir cinta itu hanya sekadar I love you dan You love me saja, bahkan ia lebih daripada itu. Ramai orang menyalah tafsirkan cinta dalam kehidupan berumah tangga. Malah pernikahan yang dilangsungkan atas dasar cinta semata-mata tidak akan kekal selamanya, kerana pernikahan itu lebih menekankan soal tanggung jawab, bukan cinta.
“Jadi Kak Rina, berbalik pada soalan Leha awal tadi. Apa tanda-tanda kita jatuh cinta?”
“Nabi SAW ada bersabda dalam dua hadis baginda yang bermaksud: Barang siapa yang mencintai sesuatu akan kerap menyebut tentang yang dicintainya dan barang siapa yang mencintai sesuatu akan menjadi hamba kepada yang dicintainya. Banyak orang pada zaman ni yang sering tunduk dengan cinta mereka. Mereka sanggup melakukan apa saja atas nama cinta. Hingga ada yang sanggup menggadaikan maruah sendiri kerana tidak tega kehilangan cinta hati. Sebab tulah Allah SWT berpesan pada kita semua agar mencintai sesuatu biar berpada-pada kerana kelak yang dicintai itu akan berubah menjadi kebencian dan membenci sesuatu juga biar berpada-pada kerana kelak yang dibenci akan berubah menjadi kecintaan.”
“Tentang Aziz pula, akak nasihatkan Leha biarkan dia untuk beberapa hari. Kalau dia hantar apa-apa mesej yang melibatkan hal-hal selain kerja, Leha jangan balas apa-apa. Anggap saja ini jihad perasaan yang Leha kena lalui. Kalau dia benar-benar ikhlas dengan Leha, dia sepatutnya kena hormat Leha sebagai seorang wanita yang menjaga maruah diri,” kata Zarina dengan nada yang tegas.
Nurul dan Soleha mengangguk-angguk.
“Kalau nak berbahas tentang cinta, akak rasa dah tentu tak akan boleh habis sampai pagi esok. Sebab isu cinta ni nampak je mudah tapi sebenarnya rumit dan akan bertambah rumit lagi jika kita tidak bijaksana dalam menangani masalah yang melibatkan cinta. Tapi, ada satu hal lagi yang akak nak kongsi dengan kamu berdua tentang cinta. Bagi akak, kamu berdua harus tahu tentang ni.”
“Kami tak keberatan Kak Rina, malah berbesar hati kalau akak nak kongsi ilmu akak sebanyak yang mungkin dengan kami. Maklumlah, kami ni kan 3 ‘B’,” Soleha tersengih.
Wajah Zarina penuh dengan tanda tanya. “3 ‘B’? Apa tu?”
Nurul membalas, “Budak Baru Belajarlah, kak.”
Zarina tergelak kecil. “Insya-Allah. Kan Nabi pesan supaya kita menyampaikan ajarannya walau sepotong ayat. Ok, berbalik pada isu cinta tadi. Kamu berdua tahu tak yang cinta ni ada banyak jenis?”
“Ye ke, kak? Yang Nurul tahu cinta yang boyfriend girlfriend tu sajalah.”
“Memang betul, tapi tu secara umumnya. Based on apa yang akak belajar sebelum ni, cinta tu ada tujuh jenis. Cinta al-Mawaddah, cinta ar-Rahmah dan cinta Kulfah termasuk dalam kategori cinta yang kudus, manakala cinta al-Mailu, cinta asy-Syaghaf, cinta Ra’fah dan cinta Shobwah tergolong dalam cinta bernoda.”
“Makin pening kepala Leha ni, kak. Apa pulak cinta kudus dengan cinta bernoda tu?”
“Cinta kudus ialah cinta yang bertepatan dengan syarak manakala cinta bernoda pula sebaliknya, bertentangan dengan syarak. Daripada tujuh jenis cinta ni, hanya tiga saja yang dibenarkan dan diterima oleh agama, iaitu cinta al-Mawaddah, ar-Rahmah dan Kulfah. Al-Mawaddah bererti penuh kasih membara. Ar-Rahmah pula cinta yang ditunjukkan dengan pengorbanan dan terakhir sekali cinta Kulfah, yakni cinta yang berunsur mendidik. Kalau Nurul dan Leha nak tahu dengan lebih terperinci tentang jenis-jenis cinta ni, akak boleh pinjamkan sebuah buku yang ada menerangkan tentang ni.” Zarina membuka laci meja belajarnya dan mengeluarkan sebuah buku nipis yang tertulis di atasnya tajuk “Kompas Cinta” karangan A. Ubaidillah Alias. Dia menghulurkan buku tersebut kepada salah seorang daripada mereka berdua. Akhirnya, Nurul yang menyambut huluran itu.
“Buku ni sebenarnya panduan untuk remaja yang baru nak mengenal cinta. Haa, sesuai sangatlah dengan kamu berdua. Memang nipis, tapi kandungan subhanallah sangat bagus dan mantap. Baca bab 6 sebab dalam bab tu ada dia terangkan tentang ketujuh-tujuh jenis cinta ni. Nanti, barulah Nurul mahupun Leha bezakan mana cinta yang baik dan mana yang tidak.”
Nurul dan Soleha sama-sama membelek-belek buku tersebut helaian demi helaian.
“Awak baca dululah buku ni, Leha. Dah habis nanti awak boleh cerita dekat saya,” Nurul berkata.
“Boleh saja. Terima kasih, Kak Rina,” Soleha mengenyit mata.
“Terima kasih, Kak Rina,” Nurul ikut serta.
“Sama-sama. Nanti kalau ada yang tak faham, tanya saja akak terus, ya? Seronok jugak cakap pasal cinta dengan kamu berdua ni. He he he,” Zarina bercanda.
Nurul dan Soleha berpuas hati. Dalam masa satu hari saja terlalu banyak ilmu baru yang mereka dapat daripada Zarina. Mereke berharap agar selepas ini mereka bisa menemukan cinta kudus yang mereka nantikan selama ini.
No comments:
Post a Comment