~Bismillah~
Suami yang Terbaik
Lelaki yang terbaik adalah suami yang memuliakan isterinya. Suami yang selalu mengukir senyuman di wajah untuk isterinya.
Suami yang menjadi 'qawwam' isterinya... yang begitu tekun mencarikan nafkah yang halal untuk keluarga.
Suami yang tidak lelah berlemah lembut mengingatkan setiap kesalahan isterinya.
Suami yang menjadi seorang nahkoda kapal keluarga, mengharungi samudera agar selamat menuju tepian hakiki 'syurga Allah SWT.'
Wahai lelaki, ingatlah kata-kata ini baik-baik... bahawa...
"Setitik air mata perempuan jatuh kerana lelaki yang disayanginya, lelaki itu akan disebat dengan tulang rusuk perempuan sebanyak 100 kali di akhirat kelak."
Aku bukan mencari seorang 'ikhwah.' Bagiku, status 'ikhwah' itu adalah bonus. Kalau Allah beri, alhamdulillah. Jika tiada rezeki pun tidak mengapa, masih alhamdulillah juga kerana yang aku cari adalah seorang lelaki Muslim yang beriman dan sedar akan tanggung jawabnya bukan hanya sebagai seorang khalifah di bumi Allah ini dan bukan juga hanya sebagai ketua ummah akan tetapi seorang lelaki yang juga sentiasa ingat akan tanggung jawabnya sebagai hamba Allah dan sebagai pemimpin dalam keluarganya serta keluarga isterinya.
Dan kenapa aku berat untuk memilih 'ikhwah?' Kerana banyak 'ikhwah' yang aku jumpa atau kenali hanya mementingkan haknya kepada masyarakat dan mengabaikan haknya kepada keluarganya. Serta, kebanyakan 'ikhwah' terlalu memilih dalam mencari calon isteri. Mereka mencari yang terlalu sempurna dari atas ke bawah dan ada 'ikhwah' yang memandang kecantikan luaran dulu sebelum mendalami kecantikan peribadi seorang akhawat, kerana menurutnya, "first impression is the most important."
Maaf jika kukatakan, bagiku, walaupun seseorang lelaki itu bukan 'ikhwah' tapi karakter dan amalannya persis Rasulullah SAW adalah jauh lebih baik daripada seorang lelaki yang berstatus 'ikhwah' tetapi jarang mengamalkan sunnah-sunnahnya yang melibatkan hubungan sesama manusia, baik sesama jantina mahupun yang berlainan jantina. Dan bagiku, cukuplah juga jika dia seorang yang memahami hati, naluri dan fitrah seorang wanita dan menerima wanita itu seadanya kerana yang wanita perlukan adalah perhatian dan kepercayaan yang tulus daripada seorang lelaki. Inilah yang tidak ada dalam diri 'ikhwah-ikhwah' itu.
Inilah perkara yang membuatku sedih sangat... melihat nasib akhawat yang tidak disunting oleh 'ikhwah' kerana karakter mereka yang sebegini. Wahai 'ikhwah,' engkau sememangnya pandai berbicara tentang hal-hal agama dan kebolehanmu berda'wah kepada masyarakat luar sememangnya tidak dapat disangkal lagi, tapi di mana engkau meletakkan keluargamu dan keluarga isterimu? Kenapa mereka jatuh nombor dua dalam misi da'wahmu sedangkan Rasulullah SAW sendiripun berda'wah dulu kepada keluarganya sebelum baginda berda'wah kepada masyarakat luar dan Iman Hassan al Banna juga tidak pernah tidak punya masa bersama keluarga walaupun beliau sibuk berda'wah dengan masyarakat? Mengapa sunnah Nabi SAW yang ini tidak engkau ikuti? Mengapa tidak perbuatan Hassan al Banna yang ini tidak engkau contohi?
Jika yang membaca ini seorang 'ikhwah,' tepuk dada, tanya diri sendiri, adakah kau 'ikhwah' tersebut. Jika tidak, alhamdulillah... kerana aku percaya tak semua 'ikhwah' begitu. Namun, jika kau salah seorang daripada mereka, maka muhasabahlah. Percayalah cakap ku. Tidak ada apa pada kecantikan wanita kerana ia akan hilang seiringan dengan masa yang berlalu. Tapi kecantikan peribadinya akan berkekalan sampai bila-bila dan ianya akan berbunga jika ia disirami dengan belaian kasih seorang lelaki yang sudah halal untuknya, yang tulus mencintai-Nya kerana Allah.
Dalam masa yang sama, aku turut bermuhasabah. Mungkin aku sangat tak layak untuk luahkan isi hati sebegini kerana aku sedar bahawa aku sendiri punya banyak kelemahan. Tak terhitung banyaknya! Namun, percayalah, setiap butiran kata yang tertulis di sini sudah terlalu lama dipendam dan aku bukan bercakap atas dasar andaian semata-mata. Sejujurnya, aku pernah mengalami sendiri hal-hal yang aku sebutkan di atas. Aku menulis entri sebegini kerana aku ingin kita sama-sama belajar. Belajar untuk menjadi seorang manusia seimbang dalam menjaga hablum minallah dan hablum minannas. Jadi seimbang penghulu kita, as-Rasul SAW.
Semoga Allah mengampuni setiap satu kata aku yang mengguris hatimu.
Wallahua'lam.
2 comments:
InsyaAllah.. Sentiasa doa untuk dapat suami yang soleh. Sentiasa usaha menjadi yang solehah. :)
in sha Allah, aamiin.... akak tulis post ni dgn niat utk kita sama2 berubah menjadi lbh baik... even kita takkan dpt jd perfect, tp usaha kita utk menjadi perfect tu dikira Allah swt. in sha Allah...
Post a Comment