Apa itu ukhuwwah?
Ukhuwwah itu pertemuan
Ditakdirkan bagi dua insan
Yang inginkan hidup berteman
Pertemuan yang tidak diduga
Membina sebuah perhubungan
Seakrab untaian tasbih
Tidakkan putus jika bersatu
Apa itu ukhuwwah?
Ukhuwwah itu penerimaan
Baiknya teman menyenangkan
Buruknya teman jadi pengajaran
Hati merelakan keduanya
Menjadi pelengkap kehidupan
Bagi seorang insan
Apa itu ukhuwwah?
Ukhuwwah itu kejujuran
Kesilapan terungkai teguran beriringan
Keburukan terpamer nasihat dihadiahkan
Tiada kata dusta dilakarkan
Demi kesenangan hati teman
Berkata benar walau ia pahit
Pendustaan menghancurkan
Kebenaran menyatukan
Pendustaan menghancurkan
Kebenaran menyatukan
Apa itu ukhuwwah?
Ukhuwwah itu kesabaran
Ketika amarah berhamburan
Telinga ditadahkan
Dada dilapangkan
Tiada dendam kesumat terisi di hati
Kerana sabar itu mulianya tidak terperi
Di sisi Tuhan tempat kembali
Apa itu ukhuwwah?
Ukhuwwah itu tangisan
Tangisan suka tangisan duka
Di kala bahagia
Tangisan gembira terpancar di kolam mata
Di kala sedih
Tangisan pilu mengalir deras
Adanya teman datang membelai
Menenangkan jiwa yang lara
Menenangkan jiwa yang lara
Apa itu ukhuwwah?
Ukhuwwah itu hiburan
Di kala diri sendirian
Di kala diri kesepian
Teman datang menemani
Melantunkan bai-bait indah
Mengisi setiap keksosongan
Tanpa dikit rasa bosan
Apa itu ukhuwwah?
Ukhuwwah itu kecintaan
Cinta bersulamkan kasih dan sayang
Cinta kerana-Nya
Cinta di atas redha-Nya
Cinta membuah bahagia
Menuju jalan ke syurga
Apa itu ukhuwwah?
Ukhuwwah itu pengorbanan
Sentiasa di sisi saat diri memerlukan
Berkorban apa saja
Demi kebahagiaan teman
Tiada perkiraan
Tiada perhitungan
Yang dikorban tiada balasan
Hatta nyawa sekalipun rela dijadikan taruhan
Apa itu ukhuwwah?
Ukhuwwah itu perpisahan
Pabila telah sampai takdir Tuhan
Menyeru mereka di pengakhiran kehidupan
Hati berat melepaskan
Namun harus direlakan
Kerana di sisi Tuhanlah tempat terbaik teman
Bertemu kita kerana-Nya
Berpisah kita juga kerana-Nya
Ukhuwwah itu indah
Indahnya belum cukup untuk digambarkan
Dengan susunan abjad di atas kertas putih
Prinsip ukhuwwah yang diingati
Bertemu dan berpisah kerana-Nya
Cinta dan benci kerana-Nya
Sandaran kepada-Nyalah
Ukhuwwah kan menjadi harum
Seharum aroma kasturi
Di taman syurga yang kekal abadi
Nota: Salam keikhlasan dari Zimah Zaiwani buat semua yang bergelar sahabat. Ketahuilah anda salah satu anugerah Ilahi yang tiada tara nilainya. Semoga Allah memberkati ukhuwwah antara kita.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment