Ini sebuah mesej. Mesej untukmu. Kubentuk ia menjadi sebuah puisi ringkas.
Agar kau akan lebih menghayatinya. Mesej dalam botol ini ialah kisah sebuah pertemuan.
Kisah pertemuan kita. Semuanya terkandung di sini.
"Mesej Dalam Botol" ini kualirkan di lautan
khas buatmu.
Terimalah...
(i)
Setiap pertemuan
Di situ bermulanya
Sebuah perkenalan
Antara dua insan
Yang tidak saling kenal
Soalan-soalan keramat
Jadi asas perbualan
Nama
Kursus
Tempat tinggal
Umur
Menjadi tanda tanya
Jawapan pasti diharapkan
Bagi mereka yang baru mengenal
(ii)
Dalam majlis ilmu
Kita dipertemukan
Kau di sebelah
Hanya berdiam diri
Tanpa sebutir kalam
Aku di sisi
Hanya menjeling
Senyuman terukir di bibir
Melihat kau tersipu
Ingin mulakan sapaan
Melihat tingkahmu
Aku mengerti
Kurendahkan hati
Memberanikan diri
Menjadi yang pertama
Menanyakan tentang dirimu
Nombormu kuminta
Memudahkan perhubungan
Antara kita berdua
(iii)
Hari terus berlalu
Kau masih seperti dulu
Tiada kata
Tiada bicara
Seperti selalunya
Aku masih hairan
Mengapa engkau begitu segan
Dengan diriku yang biasa ini
Tapi tak mengapa
Aku masih bisa mengerti
Beberapa hari
Jasadmu tidak kelihatan
Dalam mindaku
Berputar beraneka macam soalan
Semakin ligat
Adakah kau sakit
Apakah sesuatu telah terjadi pada dirimu
Ahh, itu cuma permainan iblis
Begitu dengki
Aku prihatin akan dirimu
Kutepisnya dengan sekuat hati
Tiada lagi sangkaan buruk
Yang bermain di benakku
(iv)
Hari ini kau hadir
Seperti dulu
Alhamdulillah
Aku lega
Kukira ku tak bisa
Bertemu denganmu lagi
Namun takdir Tuhan
Memenangkan segalanya
Aku bertanya ke mana kau selama ini
Kau katakan
Kau tidak enak badan
Aku jadi khuatir
Adakah kau sedang membaik kini
Makin bimbang
Tatkala kulihat riak lesu
Terpancar dari wajahmu
Namun kuyakin
DIA selalu melindungimu
Dan tika kau sakit
DIA jualah yang menyembuhkanmu
Ya, aku yakin itu
Hari besar kita berdua
Semakin hampir
Bersama kita berpimpin tangan
Memperjuangkan
Semua yang telah dipelajari
Bersama kita menuju kejayaan
Demi mencapai redha-NYA
(v)
Semester ini
Telah sampai ke penghujungnya
Aku tertanya sendiri
Apakah bisa kita bertemu lagi
Kau meyakinkanku
Ukhuwwah ini takkan pernah terputus
Kerana sudah terbina
Sebuah jambatan hati
Antara kita
Kupegang kata-katamu
Ku pasti akan ada sebuah pertemuan
Menanti kita di hari kemudian
Kini aku sendiri
Namun aku tidak sunyi
Kerana di hati ini
Masih segar setiap bait kata
Yang kau hadiahkan kepadaku
Kau membuatku berasa
Betapa berharganya
Erti sebuah persahabatan
Yang disandarkan kepada-NYA
Aku beruntung
Kerana DIA pertemukan kita berdua
Mesej dalam botol pertama
"Aku merinduimu"
Wallahua'lam
No comments:
Post a Comment