Salam.
Hidup ini tidak akan lengkap tanpa ujian dan dugaan. Malah, segala nikmat yang Allah beri kepada kita pun juga merupakan salah satu bentuk ujian daripada-Nya, sebenarnya. Lain orang, lainlah pula bentuk ujiannya, tergantung kepada kekuatan dan ketahanan iman dan spiritual masing-masing. Masih ingat lagi tak firman Allah dalam Surah Al-Baqarah mafhumnya, Allah tidak akan menguji hamba-Nya di luar batasan kemampuan hamba itu sendiri.
Tapi sedarkah kita bagaimana keadaan kita saat menghadapi ujian-ujian hidup yang Allah berikan? Macam-macam ragam, bukan?
Adakalanya kita merungut, menyalahkan orang lain mahupun diri sendiri. Adakalanya kita menyesal tak sudah akan kesilapan yang kita lakukan. Tak kurangnya juga ada yang berani menyalahkan takdir. Kononnya takdir Allah tidak menyebelahi mereka dan mereka beranggapan bahawa Allah berlaku tidak adil kepada mereka.
Ada juga orang-orang yang apabila menerima ujian Allah, mereka berlapang dada, sabar dan tabah mengharunginya. Namun, jarang sekali kita menemukan orang-orang mengangkat tangan mengatakan kesyukurannya kepada Allah atas setiap ujian yang diberikan. Kerana apa? Kerana kita lupa bahawa ujian merupakan salah satu tanda kecintaan Allah yang tinggi terhadap kita dan ujian merupakan asas peningkatan dan kekuatan iman kita semua.
Bercakap mengenai ujian hidup, di saat kita menghadapi ujian-ujian tersebut, kalau bagi lelaki kebanyakan mereka gemar melepaskan kemarahan dengan memusnahkan harta benda ataupun membuli orang lain yang lemah. Berbeza sekali dengan perempuan. Sebagai perempuan, aku juga tidak lari daripada fitrah mengalirkan air mata. Ya, kerana bagi kami, kaum wanita, menangis merupakan terapi terbaik di kala hati dirundum kesedihan dan kepahitan. Pabila hati terkena panahan yang menyakitkan, air matalah yang akan merawatnya walaupun luka itu begitu parah dan tidak mampu sembuh sepenuhnya.
Tapi, jangan kita lupa satu perkara yang Nabi SAW sering ajar kepada kita dalam mengharungi arus kehidupan. Berdoa. Berdoalah, minta pada Allah kekuatan hati setiap kali melalui liku-liku kehidupan yang penuh dengan onak duri. Berdoalah seperti baginda setiap kali menghadapi dugaan ketika berdakwah kepada orang ramai, menyebarkan Islam. Berdoa dan mengadulah kepada Allah. Apakah kita lupa bahawa Allah itu sebaik-baik tempat meluah dan tempat mengadu setiap masalah? Jika kita mengadu pada manusia, belum tentu manusia bisa melakukan apa-apa. Tapi jika kita mengadu pada Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani. Sejahat-jahat kita pun andai kita menjadikan Allah sebagai tempat pergantungan utama kita dalam hidup, ketahuilah bahawa rahmat Allah itu lebih besar daripada murka-Nya.
Doa-doa amalan Nabi SAW, penguat hati baginda
“Ya Allah… Kepadamu aku mengadukan kelemahan kekuatanku,
Dan sedikitnya kemampuanku,
Serta kehinaanku dihadapan manusia.
Wahai Sebaik-baik pemberi kasih sayang,
Engkaulah Tuhan orang-orang yang lemah dan Engkau adalah Tuhanku.
Kepada siapakah Engkau serahkan diriku,
Kepada orang yang jauh yang menggangguku,
Atau kepada musuh yang akan menguasai urusanku,
Asalkan Engkau tidak marah padaku maka tiadalah keberatan bagiku,
Akan tetapi kemurahan-Mu jauh lebih luas bagiku.
Aku berlindung dengan Cahaya Wajahmu yang akan menerangi seluruh kegelapan,
Dan yang akan memberikan kebaikan segala urusan dunia dan akhirat,
Untuk melepaskan aku dari Marah-Mu,
Atau menghilangkan Murka-Mu dariku.
Hanya pada-Mu aku merintih berharap mendapatkan Keridloan-Mu,
Dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan-Mu."
(Rujuk Raheeq al-Makhtum, Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri)
“ Ya Allah, jangan Kau tinggalkan aku untuk diriku walau sekelip mata atau yang lebih sedikit dari itu. Kerana jika Engkau meninggalkanku, maka Kau tinggalkan aku dalam kelemahan, aurat dan kesilapan. Dan aku tidak percaya kecuali pada rahmatMu.”
( HR al-Baihaqi)
Malah Rasulullah SAW ada mengingatkan kita dalam salah satu hadis baginda, "“Jagalah Allah, maka Dia akan menjagamu”. ( HR al-Tirmizi dan Ahmad) Kalau kita penuhi hak-hak Allah, insya-Allah Allah juga akan penuhi hak-hak kita sepenuhnya.
Dan jangan lupa dalam setiap ujian yang bakal kita lalui, ingat pada kata-kata keramat ini, “ Cukuplah Allah bagiku, (Dialah) sebaik-baik tempat bersandar.”
Kalau kita dalam kesakitan yang amat, yalah, maksudku kita ni hanya manusia biasa. Sangat lemah. Lebih-lebih lagi dalam menghadapi ujian hidup. Jadi, kalau kita rasa down sangat-sangat itu perkara biasa. Tapi walau macam mana susah sekalipun, kita kena kuat untu bangun semula. Jangan biar diri kita lemah dengan bisikan-bisikan iblis yang dengki. Jadi, untuk bangun semula, katakan pada diri sendiri, "Tawakkalku hanya kepada-Mu, ya Allah."
Aku dekat, Kau dekat.
[Sumber doa: Blog Imam Muda Asyraf]
Aku dekat, Kau dekat.
[Sumber doa: Blog Imam Muda Asyraf]
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment