Dalam deras hujan di petang hari, aku teringat langkahku yang terus mendambakanmu.
Berharap kau kan datang membawa cinta. Membuat kalbuku menjadi teduh dan berbunga.
Malam telah menenggelamkan bintang. Kuteringatkan wajahmu, yang bercahaya dengan titisan wudhu'.
Tak bisa kulupakan hingga ke detik ini. Aku makin merasakan cinta. Hanya itu yang kutahu.
Aku masih setia menunggumu di sini. Antara debar nadi yang terus menyebut namamu.
Aku tetap percaya bahawa aku mencintaimu.
Seindah senja yang berselimut mendung. Mengunci siang bergantikan malam.
Seindah itu juga rasa cinta yang bersemayam dalam dada ini. Sebahagiannya untukmu.
Kerana hatiku hanya milik-Nya yang kekal abadi.
Cintaku kian terserlah saat kulihat sinar matamu menatap langit-langit kebiruan.
Senyumanmu membakar sepiku yang disapu ragu. Kau tahu, aku masih menunggu.
Rasa cinta ini suatu anugerah Tuhan kepadaku.
Membiarkan angan-anganku terus menulis apa saja tentang dirimu.
Aku tak ingin lari darinya. Kerana aku sudah terlanjur mencintaimu.
Mengenali dirimu menerusi kaca itu, mengajarkanku banyak tentang cinta.
Peribadimu yang luhur telah menambat hatiku untuk mula mencintaimu dan akan terus mencintaimu.
Dan kini separuh hatiku, terisi dek namamu.
**********************************************
Cinta itu indah. Namun, tak semua keindahan terkandung cinta.
Cinta sejati sentiasa saling membantu, ibarat mata dan tangan.
Saat mata menangis, tanganlah yang akan mengusap deras air mata yang mengalir.
Saat tangan terluka, mata pula kian beria menurunkan butiran mutiara jernih.
Semoga dengan ini kau lebih mengerti erti cinta yang sebenarnya.
Cinta itu ibarat angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa, membelai jiwa.
Di kala aku memerlukannya, dia pergi meninggalkanku sendiri.
Di kala aku tidak memerlukannya, dia hadir kembali ke sisi.
Apakah ini yang dikatakan cinta?
Kadang cinta membuat hatiku remang, kadang cinta membuat hatiku terang.
Itulah hebatnya cinta yang sering dikatakan orang.
Cinta datang dari mata dan berakhir pula dengan air mata.
Namun yang kuharapkan ialah ia kan jadi air mata kebahagiaan.
Cinta mengajar manusia erti kedewasaan, erti kehidupan.
Dengan cinta, manusia mula mengenal sakit, derita, suka dan bahagia.
Marilah ikuti aku. Jadi seperti diriku.
Usah takut untuk mencintai cinta. Usah gentar dikecewakan cinta.
Kerana jika kita tulus dalam mencintai, kita jua kan beroleh cinta yang tulus dari Ilahi.
Kita bukanlah apa-apa dengan tiadanya cinta.
Percaya pada kata-kataku.
Dengan cinta...
Yang tiada kan menjadi ada.
Yang tidak mungkin kan menjadi mungkin.
Yang fantasi kan menjadi realiti.
Hanya dengan kuasa-Nya saja, mampu menangkis segala yang mustahil.
Ini sedikit rintihan hatiku yang berbaur harapan hanya kepada-Mu.
Walau cintanya tidak mampu kugarap, namun kupercaya akan ada cinta lain
yang Kau sediakan hanya untukku.
Aku tidakkan jemu dalam penantian ini.
Berbekalkan doa dan setinggi-tinggi pengharapan kusandarkan hanya kepada-Mu, ya Tuhanku.
Nota: Puisi ini diadaptasi daripada laman sesawang ini --> Kata-kata Mutiara Cinta Harapan. Alhamdulillah, aku mendapat ilham menulis puisi ini daripada laman ini. Aku mendapati kata-kata hikmah tentang cinta yang tertulis dalam laman ini begitu indah dan mengasyikkan sekali hingga aku sendiri boleh larut dalam ayat-ayatnya. Sedikit sebanyak ia memberikanku gambaran yang jelas mengenai cinta dan perasaan. Semoga penulis asal puisi ini memberi keizinan kepadaku mengadaptasi puisinya.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment