Salam.
Sambungan daripada entri yang sebelumnya.
Di sini, saya ingin berkongsi sedikit pengalaman ataupun kemanisan cinta yang saya terima daripada Kekasih hati saya. Ini berikutan dengan beberapa insiden yang baru saja berlaku pada diri saya dua hari yang lepas (kalau tak silap saya). Saya mohon keampunan daripada Allah dan mintak dijauhkan dari perasaan riya' dan semoga apa yang saya sampaikan ini mampu memberikan pengajaran kepada kita semua bahawa tiada cinta lain di dunia ini sehebat dan setanding dengan cinta Allah terhadap hamba-hamba-Nya. Wallahua'lam.
Pertama
Pada hari Isnin baru ni, saya sibuk buka blog dan facebook (macam biasalah, aktiviti wajib setelah pulang dari kuliyah. hehe). Saya punyalah khusyu' membaca entri2 blog saya yang lepas-lepas dan lihat kalau-kalaulah ada pengunjung yang sudi meninggalkan komen di situ. Walaupun tak ramai, tapi Alhamdulillah, pengikut setia blog S.P. tetap tidak pernah lupa menuliskan komen-komen mereka di beberapa entri terbaru (terima kasih Kak Ieha dan Kak Ainul).
Tiba-tiba mata saya terlekat pada ruangan chatbox di sisi kanan blog saya. Ternyata blog saya dikunjung oleh ahli-ahli Journalism Club IIUM. Salah seorang komiti kelab itu telah menjemput saya untuk pergi ke motivational talk yang akan disampaikan oleh salah seorang novelis muda yang terkenal di Malaysia, Akhi Hilal Asyraf.
Motivational Talk:
"Kejayaan Yang Sebenar"
by Hilal Asyraf
at IIUM Gombak by JC IIUM.
Subhanallah! Saya punyalah menjerit sekuat hati. Saya terkedu sebentar. Betulkan bahawa Allah itu Maha Mendengar? Sudah jelas terbukti yang Allah itu benar-benar mendengar doa setiap hamba-Nya. Tidak pernah sekalipun Dia terlepas pandang. Hampir setiap malam saya memohon kepada-Nya agar diberikan kesempatan untuk bertemu dengan akhi Hilal. Setiap hari saya mohon dalam hati supaya Allah beri izin kepada saya untuk bertemu dengan penulis hebat ini (kerana saya salah seorang pengikut setia blog akhi dan juga penggemar novel-novelnya dan saya ingin berkongsi ilmu dengannya). Sudah begitu lama saya menunggu peluang keemasan ini. Tup tup dapat jemputan sehari sebelum talk itu diadakan. Kalau Allah tidak menggerakkan hati ahli JC IIUM itu untuk mengunjung blog S.P. ni, mesti dah lama saya kempunan ingin bertemu dengan akhi Hilal.
Kini, saya masih tak henti-henti memuji Kekasih saya kerana telah menunaikan hasrat saya. Alhamdulillah... Alhamdulillah... Alhamdulillah... (nyanyian Maher Zain, "Thank You Allah," terngiang-ngiang di telinga).
Kedua
Semalam juga merupakan hari bertuah saya. Saya dipilih lagi oleh Allah untuk mengikuti satu lagi majlis ilmu. Iaitu ceramah Fiqh Puasa Untuk Wanita yang disampaikan juga oleh salah seorang novelis yang tidak asing lagi bagi mahasiswa2 UIAM, Kak Fatimah Syarha. Dalam majlis ilmu yang diberkati Allah ini, terlalu banyak ilmu-ilmu baru yang saya dapat tentang puasa (insya Allah akan saya kongsikan dalam entri berikutnya) dan juga memperbaharui semula segala ilmu fiqh yang saya pernah belajar di sekolah al-Amin dulu.
Nak dijadikan ceritanya, sebenarnya apa yang saya nak kaitkan dengan cinta Allah kepada saya ni adalah berdasarkan apa yang terjadi pada saya sepanjang talk itu berjalan.
Ada satu part dalam penyampaian Kak Fatimah, yang mana ramai orang mempersoalkan tentang qadha' puasa. Soalan mereka ini agak memeningkan saya dan saya agak kurang jelas dengan maksudnya. Soalan itu berbunyi begini,
"Mengapa kita wajib qadha' puasa tapi tak wajib qadha' solat?"
Sedangkan ramai dalam kalangan kawan-kawan saya mengatakan kita wajib qadha' solat jika kita mandi wajib selepas waktu solat sebelumnya telah habis. Contohnya, jika kita mandi lepas waktu asar, kita wajib qadha' solat Zuhur. Tapi, penjelasan Kak Fatimah mengenai persoalan di atas ialah, kita tak wajib qadha' solat. Jadi, saya semakin pening. Mana satu yang betul. Oleh itu, saya pun berazam nak bertanya pada sesi soal jawab, sebab saya benar-benar keliru masa tu.
Jadi, pada sesi soal jawab, semasa orang kedua mengutarakan soalan, Kak Fatimah kata,
"Akak harap ini yang terakhir ya. Akak mintak maaf, sebab akak kena balik awal."
Mendengar Kak Fatimah cakap macam tu, terus hancur harapan saya ingin bertanya. Saya jadi bimbang. Kalau saya tak tanya Kak Fatimah masa tu, bila lagi saya berkesempatan ingin bertanya. Tapi, sebab Allah dah tak izinkan saya bertanya, apa lagi yang saya mampu buat. Saya pasrah sajalah. Namun, jauh di sudut hati, Dia tahu betapa saya amat kecewa sekali kerana tak berkesempatan menanyakan soalan itu.
Tiba-tiba... Subhanallah! Sekali lagi Allah mendengar suara hati saya. Masa Kak Fatimah menjelaskan tentang soalan yang diutara oleh sister yang kedua tadi, tiba-tiba je dia selitkan penerangan tentang persoalan qadha' solat tadi.
"Ha, ni akak nak explain sikit pasal kenapa kita wajib qadha' puasa tapi tak wajib qadha' solat tadi. Jangan salah faham ya maksud akak tadi. Maksud akak sebenarnya ialah kita wajib qadha' solat sekiranya kita sengaja melengah-lengahkan mandi wajib atau dengan kata lain kita yakin bahawa kita telah suci tapi kita melambatkan mandi wajib sehingga waktu solat pada ketika itu telah habis. Contohnya, kalau kita dah suci pada pukul 3 petang, tapi kita nak mandi wajib lepas asar, sedangkan masa tu kita benar-benar sudah suci dari haid. dan kita boleh bersolat. Jadi, kita sengaja melambatkan mandi wajib sampailah masa solat Zuhur telah habis. Dengan itu, kita wajib menggantikan solat Zuhur tadi."
Mendengar penjelasan Kak Fatimah itu, barulah saya sudah benar-benar faham tentang isu ini dan saya tak lagi pening kepala. Terima kasih Kak Fatimah sebab menjawab pertanyaan 'sembunyi' saya dan segala puji bagi Allah kerana telah mendengar suara hati saya. Dia tahu saya tak berkesempatan nak tanya, tapi Dia gerakkan hati Kak Fatimah untuk memberikan penerangan lanjut tentang persoalan qadha' puasa tadi. Allah benar-benar tidak mahu saya terkapai-kapai dengan soalan yang tidak terjawan dan Dia tidak ingin kekeliruan menelubungi diri saya tentang ilmu-ilmu-Nya. Subhanallah, memang Allah itu Maha Agung kasih-Nya(Terima kasih, Kekasihku).
Jadi, cinta yang pertama di hati, biarlah kita berikan pada Dia (Allah) kerana Dia lebih berhak menerima posisi itu di hati kita.
Wallahua'lam.
p/s: Aku cinta Dia, walaupun aku tahu perjalananku semakin sampai ke penghujungnya. Aku tetap cinta Dia. Semakin dekat maut mengejarku, semakin gembira hatiku kerana tidak sabar untuk berkasih dengan-Nya di sana (syurga).
Salam sayang,
Qamar Purnama.
No comments:
Post a Comment