Salam.
Balasan yang diberikan Allah s.w.t. kepada mereka yang mempermainkan agama-Nya serta ganjaran hebat yang dikurniakan Allah s.w.t. juga kepada mereka yang mencintai agama-Nya.
Perhatikan ayat-ayat Allah di bawah ini baik-baik dan sama-samalah kita menghayati isi yang terkandung di dalamnya. Insya Allah.
Allah s.w.t. berfirman dalam Surah at-Taubah ayat 67-68 yang bermaksud:
Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, satu dengan yang lain adalah (sama), mereka menyuruh (berbuat) yang mungkar dan mencegah (perbuatan) yang makruf dan mereka menggenggamkan tangannya (kikir). Mereka telah melupakan kepada Allah, maka Allah melupakan mereka (pula). Sesungguhnya orang-orang munafik itulah orang-orang yang fasik. (67)
Allah menjanjikan (mengancam) orang-orang munafik lelaki dan perempuan dan orang-orang kafir dengan neraka Jahanam. Mereka kekal di dalamnya. Cukuplah (neraka) itu bagi mereka. Allah melaknat mereka; dan mereka mendapat azab yang kekal. (68)
Allah s.w.t. berfirman lagi dalam surah yang sama ayat 71-72 yang bermaksud:
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang munkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana. (71)
Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin lelaki dan perempuan, (akan mendapat) syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan (mendapat) tempat yang baik di syurga 'Adn. Dan keredhaan Allah lebih besar. Itulah kemenangan yang agung. (72)
Orang-orang yang ingkar pasti mendapat balasan dan azab yang keras dari Allah dan seburuk-buruk tempat tinggal mereka yang Allah sediakan adalah neraka Jahanam (na'udzubillah).
Namun, orang-orang yang beriman dan berpegang kuat pada tali Allah, bakal mendapat ganjaran hadiah dari Allah yang tiada tolok bandingnya. Sebaik-baik dan semulia-mulia tempat yang Allah sediakan bagi golongan ini adalah Syurga 'Adn, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai yang indah (subhanallah, amin).
Kita adalah manusia yang diciptakan Allah dan diutuskan Allah ke dunia ini atas dasar satu tujuan sahaja. Iaitu untuk mengabdikan seluruh kehidupan kepada Allah yang satu. Namun, sesungguhnya Allah itu Maha Besar dan Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Kita diberi dua pilihan. Dua jalan. Jalan untuk melaksanakan apa yang diperintah Allah dan jalan untuk mengingkarinya. Segala keputusan di tangan kita.
Apapun keputusan yang kita ambil, ia akan memberi kesan kepada kehidupan akhir kita kelak. Dan keputusan kita itu juga yang akan memandu kita sehingga ke akhir hayat.
Wahai manusia, Allah telah janjikan kepada kita. Orang-orang munafik balasannya bagaimana dan orang-orang beriman ganjarannya itu seperti apa. Dan ketahuilah bahawa semua janji Allah itu adalah benar.
Maka, pilihlah. Dalam golongan yang mana satukah kita ingin berada?
Adakah golongan munafikun, yang badannya akan hancur terbakar dijilat bara api neraka Jahanam?
Adakah golongan mukminun, yang dirinya sentiasa bahagia dan tenang mengamati keindahan syurga 'Adn?
Fikirkanlah.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment