About Me

My photo
i know what's right and what's wrong. i am cheerful and out going. it's hard for me to find the one that i want, but once i find the right person, i won't be able to fall in love again for a long time.

DO WHAT YOU LOVE

"Do what you love and you'll be good at it. Sounds simple enough. But what if you love reading comics, playing video games and watching korean dramas until your eyes pop out? Is it possible to make a career out of such things? What's the alternative? Spend all your time wishing you were brave enough to take that leap? Don't let fear stop you from doing what you love. Because ultimately, it's about being true to yourself."

Followers

Friday 22 April 2011

Cerpen: Kucupan Terakhir (Episod 2)





Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkahlah dirimu terhadap mereka berdia dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil” (QS Al-Israa’: 23-24)

***
 
 
Tanpa aku sedar, kini, keluargaku sudah berkembang dan aku sendiri sudah punya tiga orang menantu dan beberapa orang cucu. Syukur alhamdulillah. Ternyata doaku selama ini, menginginkan menantu dan cucu sudah pun dimakbulkan oleh Allah SWT. Sungguh amat sukar dipercayai bahawa kini aku sudah bergelar ibu mentua kepada menantu-menantuku sekalian nenek kepada cucu-cucuku. Rasa rinduku ingin mendodoikan anak-anak kecil sudah terubat setiap kali anak perempuanku dan menantu-menantu perempuanku melahirkan zuriat mereka. Sungguh aku merasa bahagia sekali.
 
Aku pernah memasang niat ingin menjadi seorang mentua yang baik kepada semua menantuku, walaupun aku tahu bahawa layanan yang bakal kuberikan kepada mereka agak sedikit berbeza  dengan layanan yang kuberikan kepada anak-anak kandungku sendiri. Namun, aku tidak pernah menjadikan itu sebagai alasan untukku daripada berhenti berusaha menjadi ibu mentua yang baik dan penyayang kepada mereka semua. Walaupun terkadang aku terkecilkan hati mereka sama ada sengaja atau tidak, aku yakin mungkin ini juga ialah kesan daripada usiaku yang semakin hari semakin meningkat tua. Tapi aku percaya bahawa mereka bisa memahami perubahan sikapku ini.
 
Aku mengisi hari-hari tuaku bersama para menantu dan cucuku. Aku sangat gembira kerana hanya ketawa riang dan senyuman saja yang memenuhi di setiap penjuru rumah itu dan ia telah menceriakan hari-hariku yang berlalu. Aku bersyukur kerana diberikan Allah SWT anak-anak dan menantu-menantu yang begitu baik hati. Mereka sangat perhatian kepadaku. Setiap bulan mereka akan mengirimkan wang belanja kepadaku dan suamiku. Mereka juga akan berkunjung ke kediamanku setiap dua minggu sekali. Terubat sedikit rasa rindu di hati menerima kunjungan daripada anak dan menantu setelah mereka melangkah pergi menjalani kehidupan sendiri. Walaupun mereka tidak lagi tinggal bersamaku, namun aku tetap bersyukur kerana mereka tidak pernah melupakan aku dan suami sebagai ibu dan ayah atau mentua mereka. Mereka memang benar-benar anak-anak yang soleh dan solehah.
 
Bak kata orang, masa bisa merubah segalanya. Yang pahit boleh jadi manis, yang manis boleh jadi pahit. Yang kawan boleh musuh, yang musuh boleh jadi sahabat. Yang baik boleh bertukar menjadi jahat, yang jahat boleh bertukar menjadi baik. Itulah perumpamaan yang aku boleh buat bagi menggambarkan  perubahan yang berlaku dalam keluarga besarku ini. Anak-anak lelakiku sudah semakin kurang berkunjung ke kediaman kami. Pernah aku mengadukan perkara ini kepada suamiku dan anak perempuan bujangku. Namun mereka hanya berkata, "Alah, mungkin mereka sudah semakin sibuk. Tidak cukup masa untuk melawat kita di sini. Insha-Allah nanti kalau ada kelapangan mereka datanglah berkunjung ke sini." Kata-kata ini belum cukup untuk meredakan keresahan di hatiku.
 
Namun begitu, anak lelakiku yang ketiga masih menziarahi kami di rumah seperti yang pernah dijanjikannya dulu. Mereka akan menziarahi kami setiap dua minggu sekali. Alhamdulillah, mereka berjaya membuktikan kepadaku bahawa mereka bukanlah tergolong dalam kalangan orang-orang munafiq yang tidak pernah mengotakan janji-janji mereka kepada orang lain. Begitu juga dengan anak perempuan sulungku. Dia lebih banyak meluangkan masa bersama keluargaku di rumah. Mujurlah suaminya pula seorang yang sangat memahami. Memandangkan anak-anak lelakiku terlalu sibuk dengan pekerjaan masing-masing, dia yang sering menawarkan diri untuk menemaniku di rumah. Dialah yang akan masak lauk-pauk untuk hidangan makan malam kami setiap hari dan dia beserta suaminya jugalah yang sering menghulurkan wang di saat-saat kami kesempitan wang. Terima kasih ya Allah kerana memberikan aku anak-anak soleh dan solehah seperti mereka.
 
Bukan ingin membandingkan, cuma terlalu banyak perubahan yang bisa kurasakan berlaku kepada menantu perempuan sulungku, iaitu suami kepada anak lelaki keduaku, Adilah. Sejak beberapa tahun mereka berumah tangga dan punya dua orang cahaya mata, semakin hari mereka semakin kurang bertandang di rumah kami. Aku pernah bertanya kepada anak lelakiku mengenai hal ini.
 
"Ikmal, kenapalah lama sangat kamu dan Adilah tak datang lawat emak dan ayah? Kamu tahu tak betapa rindunya kami pada kamu semua, terutamanya kepada Umar dan Aishah. Kamu tak kesian ke dekat emak dan ayah? Tiap-tiap hari menahan rindu nak jumpa cucu-cucu kami," aku meluahkan rasa hati kepada anak lelaki sulungku dengan penuh sayu. Aku perasan air wajahnya berubah ketika dia memandangku, meluahkan kata-kata seperti itu.
 
"Bukan kami tak mahu lawat emak dan ayah tapi kami makin sibuklah, emak. Adilah tu, mak faham sajalah, sejak dia jadi guru di sekolah barunya itu terlalu banyak program sekolah yang perlu diuruskannya. Tambahan pula, saya ada banyak program luar, melibatkan pelajar-pelajar universiti yang telah dipertanggungjawabkan," dia cuba memujuk.
 
"Takkanlah tak ada orang lain yang boleh gantikan kamu berdua jaga program-program tu? Mereka kena ingat yang kamu berdua ni masih punya emak dan ayah lagi. Kamu pun masih ada keluarga lagi. Cubalah jaga sikit hati kami ni."
 
"Yelah, emak. Saya janji akan lawat emak dan ayah selalu lepas ni. Emak janganlah sedih, ya," aku senang hati mendengar Ikmal berkata seperti itu. Hatiku berbunga-bunga bila mendengar Ikmal dan keluarganya akan melawat kami selalu selepas itu.
 
Namun, janji hanya tinggal janji. Janji yang dibuat oleh anak lelakiku itu hanyalah seperti angin yang berlalu pergi. Beberapa bulan aku menanti kehadiran mereka lagi ke rumahku, tapi hanya kekecewaan dan kehampaan yang dapat aku rasakan di sudut hati. Sudahlah tiada kunjungan, sebarang kiriman SMS atau e-mel satu pun tidak aku terima daripada mereka berdua. Aku cuba menghubungi Ikmal tapi panggilanku sering memasuki ke peti suara telefon bimbitnya. Menyedari hakikat itu, aku cuba pula untuk menghubungi menantuku, Adilah. Aku masih lagi bersangka baik kepada mereka.
 
Aku bisa mengerti jika mereka benar-benar sibuk hingga tidak dapat menziarahi kami, tapi sekurang-kurangnya hubungilah kami sekadar menanyakan khabar kami semua di rumah ini. Apakah Ikmal lupa akan tanggungjawabnya terhadap kedua orang tuanya dan adik-adiknya di rumah ini? Apabila aku menekan punat telefon bimbitku menghubungi Adilah, sekali lagi aku dihampakan tika aku mendapati dia mematikan telefon bimbitnya. Aku benar-benar tersinggung dengan kelakuan mereka berdua. Tanpa mereka menyedari, mereka telah menyinggung perasaanku dan melanggar janji-janji mereka kepadaku.
 
Kini, sudah genap tiga bulan aku langsung tidak nampak batang hidung Ikmal, Adilah dan cucu-cucuku di rumah kami. Segala kiriman SMS atau e-mel masih lagi belum kuterima daripada mereka. Aku jadi sedih sendiri. Tergamaknya mereka perlakukan aku, ibu mereka sendiri seperti ini. Aku meneruskan hari-hari tuaku dengan memendam rasa rindu yang sudah semakin menebal dalam diri.
 
Seminggu selepasnya, tiba-tiba mereka datang ke rumah. Pada mulanya aku gembira melihat kehadiran mereka. Namun, siapa sangka bahagia yang kurasakan saat itu hanya bertahan selama beberapa minit saja, setelah Ikmal memberitahuku akan hajat sebenar kedatangan mereka ke kediaman kami.
 
"Emak, kami ada program di Janda Baik. Program fasilitator untuk pelajar-pelajar USIM. Tolong jagakan Umar dan Aishah untuk kami, ya." Aku tidak banyak soal. Aku hanya sekadar mengangguk. 
 
Aku jadi kehilangan kata-kata. Aku menyedari ketika mereka sampai di rumahku, hanya Ikmal yang bersalaman dan mengucup tanganku. Tapi perkara yang sama tidak dilakukan oleh Adilah, isterinya. Dia melangkah masuk ke rumah dan meletakkan beg berisikan pakaian anak-anaknya, kemudian terus keluar menuju ke keretanya. Aduh, sakitnya hatiku melihat perlakuannya yang langsung tidak menghormatiku sebagai mentuanya. Mujurlah pada masa itu suamiku tiada di rumah. Jika dia ada, pasti dia turut kecewa dengan sikap menantu kesayangannya itu.


Setelah beberapa minit mereka pergi, aku berfikir sejenak. Tidakkah mereka tahu betapa tersinggungnya hatiku bila diri ini diperlakukan sedemikian rupa. Aku tidak kisah ingin menengok-nengokkan cucu-cucuku, sedangkan berjumpa dengan mereka saja sudah cukup bagiku ingin melepaskan rasa rindu. Namun, apakah aku ini mereka anggap seperti orang gaji? Mereka hanya datang ke kediamanku atas sebab tiada orang yang boleh menjaga anak-anak mereka ketika mereka sibuk berprogram. Masya-Allah, betapa kamu berdua telah berubah, anak-anakku. Aku merintih sendiri.

"Abang, saya rasa Ikmal dan Adilah tu dah berubah sangat-sangat. Ada ke patut mereka datang ke rumah kita sekadar ingin kita menjaga anak-anak mereka. Tidak ikhlas langsung ingin datang menjenguk kita di sini," aku meluahkan rasa tidak puas hatiku terhadap Ikmal dan Adilah kepada suamiku ketika kami sedang manikmati hidangan makan malam, suatu hari.

"Sudahlah. Jangan difikirkan sangat. Sekurang-kurangnya mereka datang juga ke sini," jawab suamiku bersahaja.

"Saya bukan apa, bang. Tapi saya tak rasa mereka tu ikhlas datang jenguk kita. Sudahlah semua panggilan saya tak dijawab mereka. Semua SMS yang saya kirimkan juga tak berbalas. Nampak sangat mereka tu dah lupakan kita ni, orang tua mereka. Mereka datang pun sebab nak kita tengok-tengokkan si Umar dengan Aishah tu. Kalau tak, tak adanyalah mereka rajin nak ziarah kita di sini," aku jadi semakin hilang sabar.

Suamiku hanya diam seribu bahasa tanpa mengendahkan kata-kataku.

"Abang, abang dengar tak apa yang saya cakap ni?"

"Iya, saya dengarlah ni. Faridah, ikhlas tu rahsia Allah SWT. Hanya Allah dan orang tu saja yang tahu sama ada dia ikhlas ke tidak buat sesuatu. Tak apalah, kita bersangka baik sajalah. Janji kita dapat jumpa cucu-cucu kita, itu pun dah cukup bagi saya."

"Sangka baik, sangka baik juga, bang. Tapi hati saya ni dah macam nak pecah. Sakit sangat hati saya bila mereka buat begini pada saya. Sabar saya ni pun ada batasnya. Kalau mereka terus-terusan buat saya begini, saya tak akan redha hidup mereka dunia akhirat."

"Sudahlah, tu. Takkan dengan anak menantu sendiri pun awak nak berdendam. Tak apalah. Nanti saya cakap pada Ikmal. Tak baik bersungut depan rezeki. Lari rezeki nanti," suamiku cuba bercanda. Namun, gurauannya itu tidak sedikitpun menghiburkan hatiku. Aku tahu, suamiku berkata seperti itu kerana dia benar-benar menyayangi Adilah, menantu kami. Entahlah. Jika bukan kerana nasihat suamiku, sudah lama mereka itu tidak akan ku maafkan sampai bila-bila.
 
Pada suatu hari, sedang aku online Internet, tiba-tiba saja terlintas di hatiku ingin membuka blog Adilah. Walapun jarang ketemu, namun aku tidak pernah berhenti daripada mengikuti perkembangannya melalui blog kesayangannya itu. Hatiku tersentap ketika melihat tajuk besar post terbarunya di halaman paling hadapan blognya, SAKITNYA HATI! Walaupun aku tidak mengetahui kepada siapa kata-kata itu ditujukan, namun hatiku seakan-akan bisa merasakan bahawa post yang baru dituliskan oleh menantuku itu ada kaitan dengan diriku. Dengan tangkasnya, aku terus menekan link tajuk itu dan dengan serta merta artikel penuh mengenai topik itu telah terpapar sepenuhnya di skrin komputer ribaku. Astaghfirullah, sungguhpun tiada istilah 'mentua atau ibu mentua' dalam artikel itu, namun aku tahu benar bahawa orang yang dimaksudkan menantuku dalam blognya itu ialah aku. Tergamaknya dia melakukan ini kepadaku. Dengan tidak semena-mena, air mataku tumpah.
 
Semua kata-kata yang ditulis Adilah dalam artikel itu benar-benar mencarik-carik hatiku satu persatu.
 
Belum pernah seumur hidupku aku merasakan sakit hati seperti sekarang ini. Ketika memulakan langkah menuju kehidupan baru, tidak kusangka ini yang aku dapat daripada hasil pernikahan aku dan suamiku. Sungguh, manusia benar-benar berubah. Tanpa kita sedar, dalam sekelip mata saja orang yang kita sayang akan bertukar menjadi orang yang kita benci.
 
Aku pernah ditegur oleh seorang sahabat agar menjaga hubungan baikku dengan orang lain agar dengan itu tidak akan menimbulkan rasa sakit di hatiku. Namun, bagiku, hubungan yang baik hanyalah layak dijalinkan dengan manusia yang ikhlas berhubungan baik dengan kita juga, yang melayan kita sebaiknya sepertimana dia mengharapkan kita melayaninya. Bukan yang tidak mengendahkan kita pabila kita berusaha melawat atau menziarahinya dan bukan juga yang memasamkan wajah setiap kali kita menghulurkan tangan untuk bersalaman dengannya. Bukan pula yang gemar membezakan dan membanding-bandingkan diri kita dengan orang lain yang lebih disukainya atau disayanginya.
 
Tak perlulah mengharap hak diri dipenuhi jika tak pernah memenuhi hak diri sendiri ke atas orang lain.

Ya Allah, apakah maksud semua kata-kata ini? Celah mana dalam tindakanku yang menunjukkan aku membanding-bandingkan menantu-menantuku antara satu sama lain? Perlakuan aku yang mana satu yang telah menimbulkan fitnah di hati menantuku terhadap diriku? Apa yang membuatkan dia berfikir aku menanggapinya sebagai orang asing dalam keluarga kami? Selama aku bermenantu, belum pernah lagi setakat ini aku membanding-bandingkan mana menantu yang baik dan mana menantu yang buruk. Pada mataku, mereka semua sama. Masing-masing ada kebaikan dan kelebihan yang tersendiri. Aku tidak menyangka, menantuku bernama Adilah, yang sering aku dan suamiku banggakan selama ini menulis perkataan-perkataan yang menyinggung hatiku seperti ini. Apa dosaku hingga aku dihukum begini oleh menantu sebaiknya?" Aku mengomel seorang diri. Tidak mungkin aku menunjukkan artikel ini buat bacaan suamiku. Aku tidak mahu hal seperti ini mendatangkan ribut dalam keluarga kami. Biarlah ia menjadi rahsia antara aku, menantuku dan anak-anakku yang lain.

"Bukan yang tidak mengendahkan kita pabila kita berusaha melawat atau menziarahinya dan bukan juga yang memasamkan wajah setiap kali kita menghulurkan tangan untuk bersalaman dengannya. Bukan pula yang gemar membezakan dan membanding-bandingkan diri kita dengan orang lain yang lebih disukainya atau disayanginya.? Apakah maksudnya? Adakah aku pernah melakukan sesuatu yang menyakiti hatinya?

Ya Allah! Hatiku sungguh pedih sekali. Air mata yang sejak sekian lama bertakung, tidak mampu kubendung lagi. Akhirnya melimpah juga. Setitik demi setitik jatuh ke atas papan kekunci komputer ribaku.


***


"Emak benar-benar tak sangka Kak Adilah kamu tu menulis kata-kata kesat tentang emak dalam blognya itu. Emak benar-benar kecewa dengannya. Dia tidak sedar kesilapannya terhadap emak. Suka-suka hati saja ingin mengutuk dan mengumpat emak dalam blognya," aku meluahkan rasa sedihku kepada anak bongsuku, Najwa.

"Bersabar sajalah, emak. Orang yang cerdik pandai macam dia selalunya Allah uji dengan perkara-perkara sebegini. Dan kebiasaannya orang macam tu egonya lebih tinggi. Mereka tak boleh melihat orang lain menyakiti hati mereka walaupun sedikit," Najwa cuba memujuk.

"Tapi Najwa, masalahnya sekarang semua yang ditulisnya dalam blognya itu tak benar pun. Bila masa emak bermasam muka dengan dia, sedangkan setiap kali dia datang rumah kita dia terus masuk ke bilik tanpa bersalaman dengan emak, tanyakan khabar kesihatan emak. Masa emak di dapur, tak pernah pula nak panjang tangan menolong emak buat apa-apa yang patut. Semua panggilan emak tidak pernah dijawabnya dan kiriman SMS juga tidak dibalasnya. Alasannya apa? Sibuk? Anak-anak emak yang lain pun sibuk jugak. Bukan dia seorang. Takkan sedikit masa saja tiada untuk diluangkan bersama emak dan ayah? Lagi satu. Emak tak pernah menceritakan keburukan dia dalam blog emak jauh sekali kepada sesiapa. Tapi dia dengan giatnya menguwar-uwarkan tentang masalah dia dengan emak di blognya. Walaupun dia tak sebut nama emak di dalamnya, tapi mak tahu benar yang dia sedang tujukan perkara itu kepada emak. Kalau bukan emak, siapa lagi? " Aku jadi semakin tak keruan. Terasa diriku sudah semakin terbawa dek emosi yang tidak menentu.

Najwa mengusap-usap belakangku dan menyeka setiap titis air mata yang jatuh ke pipi. "Entahlah, emak. Dulu, Wawa pernah nasihatkan dia tentang hal ini, tapi Wawa tak sangka Kak Adilah akan lakukan hal yang sama lagi. Biasalah, nama pun manusia. Manusiakan sering lupa. Emak maafkanlah Kak Adilah, ya?"

"Emak dah tak mampu maafkan dia lagi. Selama ni emak banyak bersabar dengan perangai dia. Dia buat apa saja pada emak, emak hanya senyapkan saja. Tak pernah sekalipun emak mengadukan hal dia pada ayah. Tapi, dia masih nak salahkan emak, sedangkan dia tak sedar yang selama ini dia yang banyak sakitkan hati emak. Dia jarang lawat emak dan ayah di rumah dan tak pernah cuba nak ambil hati emak. Abang kamu Ikmal tu pun sama saja. Hanya datang pada emak dan ayah ketika susah. Ketika senang jangankan melawat, tanya khabar kami pun tidak. Siapa yang bersalah sebenarnya? Lepas tu, nak tuduh emak cuba membandingkan dia dengan Abang Zahid dan Kak Hilwani kamu. Emak dah tak boleh bersabar lagi, Najwa. Jangan haraplah emak akan maafkan dia sampai bila-bila. Emak takkan redha apa yang dia buat pada emak dan ayah selama ni." Tiba-tiba sakit kepalaku menyerang. Darahku naik lagi. Aku lupa pada ketika itu aku masih belum mengambil ubat darah tinggi seperti yang dinasihatkan doktor.

"Emak, sudahlah. Lupakan dulu hal ini. Emak kan tak boleh tertekan sangat, nanti kesihatan emak terganggu." Najwa berusaha menenangkan aku. Pada masa yang sama, dadaku terasa semakin sesak. Nafasku menjadi sukar. Kata-kata Najwa hanya kedengaran berdengung di gegendang telingaku. Pandanganku menjadi pinar dan wajah Najwa kelihatan sama-samar.  Hanya jeritan Najwa yang sempat kudengari, "Emak!" Semuanya menjadi kelam. Aku rebah di atas ribanya.


Bersambung...

2 comments:

Sya Izz said...

pening2. skang rase mcm mak mertua dia plak yg baek. ahaaaaaa :)

Zimah Zaiwani said...

sya izz~

sabaw2... bc episod tiga plak. nnti kamu nilai sendiri sp baik, sapa tak ya. hehehe

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails