About Me

My photo
i know what's right and what's wrong. i am cheerful and out going. it's hard for me to find the one that i want, but once i find the right person, i won't be able to fall in love again for a long time.

DO WHAT YOU LOVE

"Do what you love and you'll be good at it. Sounds simple enough. But what if you love reading comics, playing video games and watching korean dramas until your eyes pop out? Is it possible to make a career out of such things? What's the alternative? Spend all your time wishing you were brave enough to take that leap? Don't let fear stop you from doing what you love. Because ultimately, it's about being true to yourself."

Followers

Saturday, 23 April 2011

Cerpen: Kucupan Terakhir (Episod 3)




Firman Allah bermaksud : “Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal-menghalalkan) lebih dekat kepada taqwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 237)

Firman Allah SWT:“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu?” (Surah an-Nur : 21)


***
 
 
Aduh, sakitnya kepalaku. Ha, apa sudah terjadi pada diriku? Aku kemalangankah? Aku terjatuh dari bangunan yang tinggikah? Tak silap aku, aku baru saja selesai solat sunat tahajjud dan aku terlena di atas tikar sejadah. Tapi, kenapa kepala aku terasa seperti baru saja terhantuk pada benda keras?  Denyutan yang dirasakan terasa kuat sekali.

Eh, kenapa gelap gelita ni? Bekalan elektrik terputuskah? Aduh, makin berdenyut-denyut kepala ni! Aku segera bangun dan melipat kain solatku dengan rapi sekalian dengan sejadah dan menyimpannya dalam almari. Aku segera mencapai suis dan menekannya. Tidak lama kemudian bilik itu menjadi terang benderang. Tapi, yang anehnya, tiada siapa dalam kamarku ketika itu. Di manakah suamiku? Di mana Ikmal?

Aku segera mengatur langkah ke kamar anak-anakku. Fikirku, mungkin suamiku berada di sana, tidur bersama mereka. Daun pintu kukuak perlahan. Khuatir jika aku membangunkan mereka yang sedang nyenyak dibuai mimpi. Kupetik susis lampu, namun... Masya-Allah! Mereka tiada di dalam kamar itu! Ya Allah, adakah sesuatu telah menimpa keluargaku? Lindungilah mereka semua, ya Allah! Aku melihat jam dinding rumahku. Jarum jam menunjukkan tepat pukul enam pagi. Dalam masa beberapa minit lagi, azan Subuh akan berkumandang. Kuakui perasaanku kini bimbang berbaur sedih. Aku takut jika perkara yang tidak baik berlaku kepada mereka semua. Tanpa kusedari, air mataku menitis.

Aku harus mencari mereka. Tapi, aku mesti menunggu waktu Subuh masuk dahulu. Aku perlu solat Subuh, kemudian barulah aku meneruskan niatku untuk mencari mereka. Aku terus ke kamar mandi dan segera berwudhuk. Kupersiapkan diri untuk mengadap Allah SWT pagi ini. 

Allahuakbar allahuakbar...  laungan azan mula dikumandangkan oleh bilal masjid berhampiran dengan kawasan perumahanku.

Aku menyarungkan semula telekung yang baru saja kusimpan dalam almari dan melakukan solat sunat rawatib dua rakaat. Sesudah itu, kuangkat takbir dan bersolat Subuh sendirian. Hatiku menjadi sayu sebentar. Diriku terasa amat janggal saat ini kerana tiada suamiku di sisi yang akan mengimami solat Subuhku pada hari ini. Ya Allah, ampunkan aku. Aku angkat semula takbir dan mula bersolat sambil berdoa dalam hati agar diberi ketenangan dan kekhusyukakn ketika sedang berhadapan dengan Tuhan yang Maha Agung.

Alhamdulillah, selesai solat aku berkhidmat diri. Aku hanya menyarungkan jubah dan tudung labuhku dan mulakan langkah mencari suami dan anak-anakku. Tapi, aku musykil. Ke manakah aku harus mencari mereka? Kulihat ke luar jendela rumahku, keretaku juga tiada di garaj. Benar-benar aneh. Aku mula panik. Ya Allah, tenangkan hatiku. Aku pasti keadaan tidak seburuk yang aku sangkakan.

Aku rasa, aku patut ke rumah mentuaku saja. Siapa tahu mungkin mereka semua berada di sana sekarang. Aku rasa mereka tidak mungkin pergi jauh dalam waktu seawal begini. Memandangkan kereta tidak ada, nampaknya aku terpaksa menaiki bas atau teksi untuk ke sana. Tidak menjadi maslaah bagiku.

Beberap minit berlalu dan kini aku sudah berada di hadapan rumah mentuaku. Kedua-dua buah kereta kepunyaan mentuaku juga tidak ada di garaj! Rumah kelihatannya senyap sunyi. Lampu dlaam rumah juga tidak dipasang. Benar-benar aneh! Ke mana mereka semua menghilangkan diri? Apakah ibu mentuaku telah menghasut suamiku agar meninggalkanku sendirian, lalu mereka semua berpindah rumah kerana tidak mahu suami dan anak-anakku berada dekat denganku lagi? Astaghfirullah, jauh sekali aku fikir. Mengapa aku boleh bersangka seburuk itu tentang ibu mentuaku? Aku yakin dia tidaklah sekejam itu.

Tapi di manakah mereka berada sebenarnya? Aku membuka pagar utama dan berjalan memasuki ke halaman luar rumah. Aku menuju ke pintu masuk rumah mentuaku dan mendapati pintu itu tidak berkunci. Aku menolak pintu itu dengan penuh cermat.

"Assalamualaikum. Emak... ayah... Najwa... tiada orang dalam ni? Ke mana semua orang pergi? Sunyi je."

Aku menaiki ruang atas rumah dan masuk ke setiap kamar yang ada. Semua kamar itu ternyata kosong. Memang sah rumah itu tiada penghuni. Aku mengerling ke jam tanganku. Baru pukul tujuh pagi. Ke mana mereka pergi seawal ini? Selalunya pada waktu seperti ini mereka masih lagi ketiduran. Hatiku jadi semakin tidak senang. Aku tidak mampu lagi untuk terus berdiam diri. Tatkala aku mengangkat kaki untuk keluar dari rumah itu, mataku tertangkap satu objek putih yang dilipat rapi terletak di atas meja. Sehelai kertas bersaiz sekecil buku 555 itu kubuka lipatannya dengan berhati-hati.

Kak long, Zahid, bila kamu berdua sampai saja di rumah, emak, ayah dan adik-adik berada di Hospital Tawakkal. Cepat bergegas ke sini. Keadaan dia parah! 

Emak

Ada orang sakit tenatkah? Jika ya, mengapa Ikmal tidak membangunkan aku dan mengapa mentuaku atau kakak iparku tidak memaklumkan berita itu kepadaku? Apakah mereka memang telah menganggapku seperti orang asing? Apakah mereka sudah tidak menganggapku seperti keluarga mereka lagi? Argghh, macam-macam persoalan yang bermain-main di fikiranku. Sampai hati mereka perlakukan aku seperti ini. Kufukir ibu mentuaku sudah memaafkan aku jikat benar aku telah menyakitinya, rupa-rupanya dia masih berdendam denganku. Ah, lupakan dulu tentang ibu mentuaku. Buang masa saja fikirkan orang yang sudah tidak sayangkan aku lagi. Tapi yang penting aku penasaran ingin tahu siapakah yang sedang sakit di Hospital Tawakkal itu. Baru saja aku ingin melangkah keluar, tiba-tiba pintu ditolak laju oleh seseorang. Kak Long dan Abang Zahid! 

"Kak Long, Abang Zahid, apa dah jadi sebenarnya? Siapa yang sakit?" Aku bertanya kepada mereka. Tapi mereka berdua tidak mengendahkan pertanyaanku. Pandang muka aku saja tidak. Adkah mereka telah membenciku?

"Kak Long, Kak Long pun marah pada Dilahkah?" Aku tidak senang hati melihat gelagat mereka yang seperti orang terburu-buru itu. Kak Long tidak membalas pertanyaanku. Kuterdengar dia berkata kepada suaminya.

"Abang, kita kena pergi hospital cepat. Emak cakap keadaan dia kritikal sekarang." Aku melihat Abang Zahid mengangguk-angguk tanda bersetuju dengan cadangan isterinya. Aku bingung.

"Kak long, Abang Zahid, siapa yang kritikal? Tolonglah jawab pertanyaan Dilah," air mataku menitis lagi. Aku benar-benar sedih kerana sejak dari tadi pertanyaan-pertanyaanku tidak mendapat sedikit pun tindak balas dari kakak dan abang iparku itu. Tanpa melengahkan masa, mereka terus ke Hospital Tawakkal. Namun, kuekori mereka dan duduk di kerusi bahagian penumpang belakang. Mereka tidak berkata apa-apa.

Sampai saja di Hospital Tawakkal, kami semua turun dari kereta dan terus berlari masuk ke dalam bangunan hospital itu. Aku hanya mengekori mereka bertiga tanpa banyak soal. Nampaknya, mereka lebih tahu apa yang terjadi pada masa itu. Namun, tidak seorang pun daripada mereka yang berminat untuk menceritakan kepadaku akan hal sebenarnya. Aku kecewa. Setelah penat berlari, akhirnya kami sampai di luar bilik pembedahan. Nampaknya, ada operasi yang sedang dijalankan dalam bilik itu. Ku terlihat lampu bertuliskan, BILIK PEMBEDAHAN menyala terang, menandakan operasi itu masih berterusan. Di luar bilik, kulihat semua ahli keluarga suamiku berada di situ, kecuali ibu mentuaku. Di mana emak? Tanyaku sendiri. Hairan melihatkan muka mereka yang kelihatannya agak resah. Kak Long yang dari tadi kulihat tenang, kini ditangisi air mata. Aku tertanya-tanya sendiri. Siapakah yang sedang dibedah dalam bilik itu? Tiba-tiba aku teringatkan suami dan anak-anakku. Di mana mereka?

Tiba-tiba aku terdengar suara comel dari arah bilik pembedahan. "Abah, bila ibu nak keluar dari bilik ni?" Seperti aku kenali suara itu. Itu suara Aishah! Tidak berapa lama kemudian, aku menyaksikan suamiku mendukung aishah dan ibu mentuaku memimpin tangan Umar, berjalan keluar dari bilik pembedahan. Kuberjalan ke arah mereka. Kuhulurkan tanganku ingin bersalaman dengan ibu mentuaku. Tapi emak tidak menyambut tanganku, sebaliknya mendudukkan Umar di atas ribanya setelah dia melabuhkan punggung di atas kerusi bersebelahan dengan suamiku. Aku pelik dengan tingkah emak. Apakah sampai saat ini emak masih tidak dapat memaafkan hatiku? Keras sungguh hati emak!

Aku duduk di sebelah suamiku. "Abang, kenapa abang tak kejutkan saya pagi tadi? Kenapa abang tak ajak saya sekali datang ke mari? Siapa sakit abang? Siapa dalam bilik bedah tu?" Suamiku juga seperti yang lainnya. Tidak menghiraukan aku di sisi. Sebaliknya, dia merintih. Boleh dikatakan semua orang yang ada di situ, termasuklah ibu mentuaku menangis. Kukira pasti orang yang berada dalam bilik itu ialah orang yang terpenting dalam hidup mereka. Tapi kenapa semuanya tidak mahu memberitahuku siapakah yang sedang dibedah itu? Tiba-tiba, aku terdengar emak bersuara.

"Semuanya salah emak. Kalaulah emak tahu Adilah sakit barah otak, emak pasti tak akan terlalu ikutkan sangat rasa marah emak pada dia." Ibu mentuaku tersesak-esak. Aku tersentap mendengar nama itu. ADILAH?! Sama seperti namaku. Apakah emak punya teman atau saudara bernama Adilah juga?

"Emak, sudahlah tu. Jangan salahkan diri emak. Emak tak bersalah. Semua ini berlaku atas kehendak Allah. Saya sendiri tak pernah tahu Adilah sakit barah otak. Dia tak pernah beritahu saya. Tapi sebelum ni dia pernah cakap yang dia sering sakit-sakit kepala. Tapi saya katakan pada dia yang mungkin itu migrain biasa saja. Namun, doktor cakap yang Adilah sebenarnya dah lebih kurang tiga bulan menghidap barah otak tanpa pengetahuan kita semua," kedengaran suara suamiku serak-serak. Apakah pesakit dalam bilik pembedahan itu ialah aku? Tapi aku ada di sini, bersama mereka. Aku sihat, tidak sakit kepala. Apa yang sedang berlaku ini, ya Allah??

"Sudahlah. Tiada gunanya lagi menangisi akan semua hal yang telah terjadi. Sebaiknya sekarang kita sama-sama baca Yasiin dan mendoakan agar Allah bisa menyelamatkan nyawa Adilah. Kita istighfar banyak-banyak mohon ampun pada Allah juga," celah ayah cuba menenangkan keadaan yang semakin suram itu. Ya Allah, benarkah aku yang sedang dibedah itu? Sungguh aku masih belum mengerti apakah yang sedang berlaku ini. Berilah aku petunjuk, ya Allah!

Dua jam sudah berlalu. Lampu yang menyala di tulisan BILIK PEMBEDAHAN yang menyala sedari tadi sudah terpadam. Seorang lelaki berjubah putih disertai beberapa orang jururawat keluar dari bilik itu. Ku mendengar dengan teliti akan setiap perkataan yang diucapkannya kepada kedua orang mentuaku.

"Alhamdulillah, kami berjaya membuang ketumbuhan di kepala pesakit. Namun, amat sulit sekali untuk saya katakan bahawa keadaan pesakit masih lagi belum stabil. Ini adalah kerana penyakit barah yang dihidap oleh pesakit sudah agak terlalu lama dan kalau diikutkan sudah agak terlambat untuk membuat pembedahan membuang ketumbuhan di kepalanya itu."

"Tapi, dia boleh diselamatkan, kan doktor?" Tanya suamiku oenuh mengharap.

"Allah itu Maha Besar. Sesungguhnya ajal maut di tangan-Nya. Sebelum ini belum pernah lagi saya bisa menyelamatkan pesakit barah otak yang ketumbuhannya sudah agak besar di kepala. Namun, lain pula halnya dengan kes isteri encik, Puan Adilah. Berkat pertolongan dari Allah dan doa kamu semua, Adilah telah dapat kami selamatkan. Tapi, dia masih belum sedar dan keadaannya sangat lemah. Dijangkakan dia akan koma selama beberapa minggu. Tapi, bersyukurlah kepada Allah kerana masih memebri peluang kepadanya untuk terus hidup di dunia ini," kata doktor itu sambil tersenyum.

"Boleh kami melihatnya sebentar, doktor?" Tanya ibu mentuaku sambil air mata tidak henti-henti menderas.

"Maaf, puan. Buat masa ni pesakit tidak boleh diganggu dulu. Insha-Allah setelah kami alihkan pesakit ke wad, kamu semua boleh menjenguknya. Saya minta diri dulu."

"Terima kasih, doktor," ujar ayah mentuaku sambil bersalaman dengan doktor itu. Hal yang sama dilakukan oleh suamiku, abang ipar dan adik iparku.

"Alhamdulillah, terima kasih ya Allah!" Kata suamiku. Pada saat itu juga aku menyaksikan dia melakukan sujud syukur tanpa mempedulikan oarng yang lalu-lalang di situ. Aku menangis. Aku kurang pasti mengapa aku turut sedih menyaksikan kejadian itu, sedangkan dalam fikiran ini masih terpendam seribu satu persoalan yang masih beklum terjawab.

"Emak, ayah dan semua pulanglah dulu. Saya akan tunggu di sini sampai Adilah sedar. Emak, ayah, boleh tolong bawakan Umar dan Aishah pulang dulu? Kasihan mereka, masih mengantok. Terima kasih," pinta suamiku.

Ibu dan ayah mentuaku masing-masing mendukung anak-anak kecil kami yang masih terlena.

"Tabahkan hati, Ikmal. Insya-Allah, emak yakin Adilah tak apa-apa. Kami semua akan mendoakan dia. Nanti kalau Adilah sudah sedar, beritahu emak, ya?"

"Baiklah, emak. Insha-Allah," suamiku bersalaman dan mengucup tangan kedua-dua orang mentuaku. Mereka semua beredar dari situ. Suamiku, apa sebenarnya yang terjadi? Benarkah orang yang sedang koma itu ialah aku, isterimu? Tapi, aku berada di sisimu saat ini, sayangk Air mata tidak mampu kubendung lagi. Akhirnya, ia jatuh membasahi pipiku.

"Encik Ikmal, Puan Adilah telah pun kami pindah ke wad bernombor 25. Jika anda sekeluarga ingin melawatnya, insya-Allah doktor sudah izinkan," seorang jururawat yang datang entah dari mana,memberitahu suamiku tentang perpindahan pesakit itu ke wad.

"Terima kasih. Doktor Syahmi ada tidak, nurse? Saya ingin berjumpa dengannya."

"Doktor Syahmi ada urusan sebentar di luar. Tapi kalau encik ingin bertemu dengannya, saya boleh hubunginya sekarang," jururawat itu menawarkan. Aku hanya diam mendengar perbualan mereka.

"Kalau begitu, tidak apalah. Saya akan tunggu sehingga doktor pulang. Terima kasih," balas suamiku.

Jururawat itu langsung pergi. "Alhamdulillah, terima kasih ya Allah kerana telah menyelamatkan isteriku."

Aku hairan dengan kata-kata suamiku. "Abang, Dilah ada di sini, abang. Kenapa abang cakap macam tu? Dilah ada di sebelah abang ni," aku cuba meyakinkan suamiku sekali lagi akan keberadaanku di situ. Tapi suamiku langsung tidak mempedulikan aku. Dia kelihatannya seperti benar-benar tidak menyedari kehadiranku saat ini. Aku sedih.


***


Dua minggu kemudian...

Aku hanya mengekori suamiku ke wad bernombor 25. Siapa tahu mungkin aku akan menemukan kebenarannya di situ. Sebaik saja pintu dibuka, aku melihat sekujur tubuh dan seraut wajah yang sangat kukenali. Subhanallah, itu ialah aku! Bagaimana aku bisa terlantar di situ sedangkan aku berdiri di sisi suamiku dalam keadaan sihat wal afiat?

Kulihat ada alat bantuan pernafasan dan wayar-wayar lain yang disambungkan ke anggota badanku. Aku menangis lagi. Kulihat suamiku berjalan perlahan ke arah katil. Dia duduk di kerusi sebelahnya, lalu mencapai tanganku dan menggenggamnya sekuat hati. Aku dapat merasakan tangan suamiku di atas tanganku. Sungguh menghangatkan.

"Sayang, maafkan abang sebab berkasar dengan sayang  malam itu. Abang tidak pernah berniat ingin berkasar dengan sayang. Abang kesal dengan apa yang sudah abang lakukan. Abang terlalu ikutkan perasaan marah abang dengan menampar muka sayang dua kali. Maafkan abang, sayang," suamiku menangis teresak-esak.

Malam itu? Bila masanya suamiku menampar mukaku? Apa yang terjadi pada 'malam itu'? Ya Allah, kenapa aku tidak ingat apa-apa yang berlaku pada kami sebelumnya? 

"Abang terlalu sayangkan emak sebab emak adalah nadi abang. Abang tidak sanggup melihat hati emak terluka. Tapi abang juga sayangkan Adilah, sebab Dilah isteri abang dan buah hati abang. Abang tidak mahu Dilah menjadi menantu yang derhaka pada mentuanya tapi abang tidak sedar bahawa cara abang untuk nasihatkan Dilah salah. Abang memohon supaya Allah tidak melaknat abang dengan kelakuan abang mengasari isteri abang sendiri. Maafkan abang, sayang. Tolonglah sedar. Putera-puteri kita sangat merindukan sayang," air mataku tumpah mendengar segala luahan suamiku. 

Alangkah bagusnya jikalau aku juga dapat membalas kata-katanya itu dan menggenggam semula tangannya. Namun, aku tidak berdaya. Aku sangat lemah dan bila-bila masa saja nyawaku akan ditarik oleh malaikat pencabut nyawa. Ya Allah, aku  belum bersedia untuk pergi. Bagaimana mungkin aku bisa meninggalkan dunia ini dan membiarkan air mata suamiku terus tumpah menangisi pemergianku. Ya Allah, berikanlah aku petunjuk. 

Pintu wad dibuka perlahan. Seorang wanita berusia 50-an masuk dan membelai kepala suamiku. Dia, ibu mentuaku yang pernah kubenci dulu.
"Ikmal, sudah berhari-hari kamu temankan Adilah. Pulanglah. Kasihan anak-anak kamu di rumah tu. Fikirkanlah mereka juga."

"Tapi saya mahu tunggu di sini sehingga Adilah sedar, emak. Saya mahu minta maaf pada dia atas kekasaran saya padanya. Tolong izinkan saya menemani Adilah hingga dia sedar," suami merayu-rayu pada ibu mentuaku.

"Insya-Allah, Adilah tak apa-apa. Emak baru saja berjumpa doktor tadi. Doktor kata Adilah dah stabil. Keadaannya sudah semakin membaik. Doktor kagum sebab semangat Adilah untuk terus hidup sangat kuat. Mereka kurang mengalami kmplikasi ketika melakukan pembedahan membuang ketumbuhan di kepala Adilah. Bersyukurlah pada Allah yang telah menyelamatkan Adilah," air mata emak turut mengalir. Aku terharu mendengar suara emak yang lunak berkata-kata. Kini, aku merasakan kasih sayang emak yang sebenarnya padaku. Besalahnya aku pada emak kerana membencinya selama ni. Emak, maafkan Dilah! Itu yang ingin kukatakan, namun sia-sia saja. Emak tidak mungkin mendengar suaraku.

"Ikmal pulang dulu. Biar emak pula yang jaga Dilah. Lagipun sekarang dah nak maghrib. Biar malam ni emak pula yang jaga Dilah di sini. Kalau ada apa-apa perkembangan, emak akan beritahu kamu segera."

"Baiklah, emak. Terima kasih, emak sebab sudi jaga Dilah untuk Ikmal," suamiku mengucup tangan ibu mentuaku.

"Adilah menantu emak tapi sudah emak anggap seperti anak emak sendiri. Emak sayangkan dia. Tak apalah. Walaupun dia pernah sakitkan hati emak sebelum ni, tapi emak sudahpun memaafkannya. Emak sudah mengikhlaskan setiap perbuatannya pada emak. Mungkin pada dia emak benar-benar bersalah. Tapi insya-Allah suatu hari emak harap dia dapat merasa kasih sayang emak pada dia." Benarkah itu kata-kata yang terpacul keluar dari mulut ibu mentuaku? Ya Allah, sungguh mulia hatimu emak. Perasaan bersalah kerana bersangka buruk pada emak selama ni semakin mencengkam dalam diriku.

Malam menjelma. Sudah beberapa jam berlalu dan suamiku sudah pulang meninggalkan. Tapi entah mengapa aku ingin terus berada di situ bersama-sama jasadku dan emak di sisiku. Emak baru saja selesai menunaikan solat Isya'. Ku terdengar sebaris ayat dengan jelas daripada doa emak. "Ya Allah, sembuhkanlah menantuku. Sedarkanlah dia secepatnya agar dengan itu aku bisa menunjukkan kasih sayangku padanya yang selama ini tidak pernah kupamerkan di hadapannya. Aku sudah menganggapnya sebagai anakku. Aku tidak mahu dia pergi. Berilah peluang kepadanya untuk memperbaiki kesilapan diri. Sungguh aku sudah memaafkan segala perbuatannya padaku. Engkau Maha Mengetahui, ya Allah." Hancur luluh hatiku mendengar doa seorang ibu saat ini. Emak, lembutnya hatimu.

Kulihat emak bangun dan melipat kain telekungnya dan pergi ke bilik air. Keluar saja dari bilik air, emak menatang sebuah besen yang sederhana besar saiznya berisikan air dan mengambil tuala kecil yang tersangkut pada kerusi di sebelah katil. Emak menyinsingkan lengan bajuku dan mengelak sedikit baju yang menutupi badan hadapanku. Emak membasahkan tuala tersebut dan lap semua anggotaku yang terdedah. Subhanallah, aku bisa merasakan kelembutan belaian emak mengelap tubuhku saat ini. Kemudian, emak mengucup dahiku dan kedua-dua belah pipiku dan mengucapkan, "Emak nak Dilah tahu yang emak sudah maafkan segala salah silap Dilah pada emak. Tiada ibu yang tidak bisa memaafkan kesalahan anak-anaknya. Maafkan emak juga, sayang." Air mata emak bercucuran lagi. Hangatnya kucupan emak. Aku berharap agar ia bukanlah kucupan terakhir yang aku terima dari insan berelar ibu ini. 

Mulianya hatimu, emak. Walaupun aku sudah berkali-kali menyakiti hatimu, tapi engkau masih memaafkanku dan menjagaku dengan baik. Berdosanya aku pada emak, ya Allah! Ya Allah, tolonglah bangunkan aku saat ini juga agar aku bisa meminta maaf darinya dan membalas kucupan-kucupannya. Aku berdoa sesungguhnya.

Arggh, kepalaku berdenyut lagi. Kali ini denyutannya lebih kuat dari tadi. Aku memicit-micit kepalaku tetapi sakitnya tidak surut. Aku melihat kedua-dua tanganku hanya menjadi bayangan. Jasadku sudah semakin menghilang dari pandangan mataku. Apakah yang terjadi ni? Pandanganku kelam kembali. Gelap.


***


Ikmal terjaga daripada tidur dan mendapati isterinya tiada di sebelahnya. Dia memasangkan lampu besar dan sebaik sahaja suis dipetik, dia mendapati isterinya terbaring di atas sejadah sambil memakai telekung. Dia berfikir mungkin isterinya terlena setelah selesai bertahajjud. Kemudian, dia membangunkan Adilah daripada tidurnya.

"Dilah, bangun Dilah. Sekejap lagi azan Subuh. Kita solat berjemaah jom," Ikmal menepuk-nepuk pipi Adilah, tapi Ailah tidak juga sedar daripada tidurnya. Ikmal kaget. Dia terlihat kedua-dua celah bibir Adilah yang masih bengkak akibat terkena tamparannya malam sebelumnya. Terus dia diserang rasa bersalah. Dia benar-benar kesal kerana terpaksa menampar isteri tersayang.

"Sayang, bangun sayang. Dah pukul enam dah ni," dia tidak berhenti berusaha mengejut isterinya yang sejak dari tadi tertidur.
"Tak apalah, mungkin Dilah letih sangat. Abang solat Subuh dulu, ya. Sesudah solat, abang kejutkan Dilah." Ikmal terus ke kamar mandi dan mandi sekalian berwudhuk', menyiapkan diri untuk bertemu dengan Ilahi.

Setelah selesai solat sunat rawatib Subuh dan solat fardhu Subuh, dia kembali mengejut isterinya.Dia mendapati mulut isterinya berbuih dengan banyaknya. "Masya-Allah, Dilah! Kenapa ni?" Dia terus menelefon ambulans dan mengejut anak-anaknya, Umar dan Aishah. Setelah ambulans sampai ke rumah, mereka semua pergi ke Hospital Tawakkal. 

"Hello, assalamualaikum. Emak, Adilah pengsan. Tolong beritahu ayah dan yang lain-lain. Dah lama dia pengsan tapi saya tak sedar. Saya dalam perjalanan ke Hospital Tawakkal. Kita jumpa di sana." Ikmal mematikan talian. Dia menjadi bimbang dan tidak tentu arah. Jantungnya berdegup dengan kencang sekali dan tangannya menjadi sejuk. Peluhnya menitik-nitik. Anak-anak di pangkuan masih ketiduran. Dia memegang tangan isterinya. "Dilah akan selamat. Sekejap lagi kita akan sampai di hospital. Tabahlah, sayang." Tanpa disedarinya, air matanya menitis juga dan jatuh ke atas wajah isterinya.

Di hospital...

"Encik Ikmal tahu tidak yang isteri encik ni menghidap barah otak?" Ikmal membeliakkan mata. Ahli -ahli keluarganya yang lain, termasuklah ibu dan ayahnya turut terkejut mendengar kata-kata doktor itu.

"Barah otak?"

"Ya. Saya kira, berdasarkan keadaan pesakit, dia kelihatannya seperti sudah lama terkena penyakit ni. Ketumbuhan di kepalanya sudah begitu besar. Demi menyelamatkan nyawanya, pembedahan hendaklah segera dilakukan."

"Kalau itu saja caranya untuk selamatkan isteri saya, saya serahkan pada doktor," Ikmal akur.
"Baiklah. Sebelum tu, saya minta encik tanda tangan di sini bagi mengesahkan pembedahan ini untuk dijalankan," Doktor Syahmi menunjukkan sehelai kertas putih, tanda persetujuan keluarga pihak pesakit agar pembedahan itu segera dilaksanakan. Kemudian, dia terus ke bilik pembedahan dan menyiapkan segala kelengkapan pembedahan.

"Ayah sudah menghubungi keluarga Adilah. Mereka tidak dapat datang ke sini. Mereka kirimkan salam kepada semua dan minta ayah berpesan kepada kamu agar menjaga Adilah sebaik-baiknya. Mereka juga akan membuat solat hajat agar Adilah dapat diselamatkan setelah selesai pembedahan itu nanti. Bersabarlah. Insya-Allah, Adilah akan selamat. Berdoalah banyak-banyak, mohon pertolongan dari Allah," Encik Kamal menepuk-nepuk bahu anak lelaki sulungnya itu bagi meredakan keresahan di hatinya.

Ya Allah, selamatkan isteriku. Dia berdoa dalam hati. Dalam masa yang sama, ibunya, Puan Faridah turut berdoa, "Ya Allah, selamatkan menantuku." Air mata kedua-dua beranak itu mengalir tiada henti.


***


"Abang... abang... " Adilah membuka mata dan memandang suaminya yang tersandar di kerusi bersebelahan dengan katilnya.

"Dilah, Dilah sudah sedar? Doktor! Doktor!" Dia berteriak. Gembiranya dia apabila mendapati isterinya sudah sedar daripada koma yang agak lama. Dia melihat isterinya menangis teresak-esak.

"Sayang, kenapa sayang menangis? Sayang sakit dekat mana-mana ke?" Tanya Ikmal.

Isterinya terus menangis. Dia tidak dapat menahan rasa sebak di hati. "Abang, emak mana? Kenapa emak tiada di sini? Dia masih marahkan Dilah, ya? Setahu Dilah, emak yang mandikan Dilah, jaga Dilah. Dilah ingat, emak pernah mengucup dahi dan kedua-dua belah pipi Dilah. Tapi, kenapa bila Dilah bangun dari tidur, abang pula yang ada di sini?" Adilah terus mengajukan soalan yang sama berkali-kali kepada Ikmal. Tiba-tiba air wajah Ikmal berubah apabila Adilah menyebut perkataan 'emak.' Dia senyap. Tidak tahu bagaimana ingin menjawab pertanyaan isterinya itu.

"Abang, jawab Dilah bang. Kenapa abang senyap? Mana yang lain-lain? Apakah mereka semua juga sudah benci pada Dilah? Dilah nak minta maaf pada emak, abang. Dilah yang berdosa pada emak. Bukan emak. Tolonglah panggilkan emak ke sini." Air mata Adilah tidak berhenti-henti mengalir sejak tadi. 

Beberapa minit kemudian, Doktor Syahmi datang dan memeriksa badan Adilah. "Alhamdulillah, keajaiban Allah ada di mana-mana. Adilah sekarang sudah semakin membaik. Syukurlah." 

Ikmal tersenyum tanda puas. Dia mengucapkan terima kasih kepada doktor dan Doktor Syahmi beredar dari situ.

Walaupun itu merupakan berita gembira bagi Ikmal, tapi tidak bagi Adilah. Bukan itu yang ingin didengarnya saat itu. Dia hanya ingin bertemu dengan ibu mentuanya dan memohon maaf atas sikap kurang ajarnya selama ni, yang sering bersangka buruk dan menuduh ibu mentuanya yang bukan-bukan.

"Abang, Dilah nak jumpa emak, abang! Bawa Dilah jumpa emak!" Tiba-tiba saja Adilah menjerit seperti orang kurang siuman. Dia meronta-ronta dan menangis-nangis.
"Dilah, tenang sayang. Insya-Allah, kalau doktor dah izinkan Dilah pulang, kita sama-sama jumpa emak di rumah nanti, ya?" Kedengaran suara Ikmal berubah. Dia menahan sebak di dada. Perlukah aku beritahu Adilah tentang hal yang sebenarnya? Perlukah dia tahu bahawa emak sudah tiada di dunia ini? Aku tidak mahu berita ini memburukkan lagi kedaannya sedangkan dia baru saja sedar daripada koma yang panjang. Ikmal jadi ragu-ragu.

"Terima kasih, abang. Tak sabar Dilah nak jumpa emak abang. Dilah nak peluk cium emak dan katakan pada emak yang Dilah beruntung dapat ibu mentua sebaik emak." Adilah tersenyum lega dan dia terlena semula.


***


"Kenapa kereta banyak sangat di luar rumah emak ni, abang? Emak dan ayah buat kenduri ke? Baiknya emak dan ayah. Siap buat kenduri kesyukuran lagi untu Dilah. Rasa bersalah pula Dilah pada emak, abang."

Ikmal hanya berdiam diri sejak dari tadi.

"Abang, kenapa ada kereta jenazah pulak ni? Ada saudara emak atau ayah yang meninggalkah?" Adilah jadi penasaran. Hatinya menjadi tidak sabar ingin mengetahui apakah yang sebenarnya sedang berlaku di rumah mentuanya itu.

"Jom kita masuk dalam. Hati-hati," Ikmal memapah isterinya masuk ke dalam rumah. Dia teringat pesan Doktor Syahmi yang dia perlu menjaga Adilah sebaik mungkin, memandangkan Adilah baru sahaja sedarkan diri daripada koma yang begitu panjang. Dia tidak dibenarkan memikirkan apa-apa hal yang berat kerana ditakuti akan mengganggu emosinya dan fikirannya. 

Kedengaran para tetamu membaca Surah Yasiin beramai-ramai semakin kuat dari luar rumah. Adilah makin rasa tidak sedap hati. Siapakah yang meninggal? Tanyanya sendiri.

Masuk saja dia dan suaminya ke dalam rumah itu, jantungnya hampir luruh melihat jasad orang yang begitu dikenalinya yang sudah siap berbalut dengan kain kaffan, terlentang di ruang tamu. Di sekelilingnya terdapat Kak Longnya, Abang Zahid dan adik-adik iparnya yang lain, termasuk anak-anak kecilnya juga sedang membacakan Surah Yasiin kepada insan tidak bernyawa itu. Dada Adilah terasa macam sesak dan bahagian kepalanya yang baru saja dibedah itu seakan berdenyut kembali. Air matanya tumpah lagi saat itu dan sekuat hati dia melaungkan nama 'emak' sehingga mengejutkan semua hadirin yang datang. "Emak!" Dia cepat-cepat mendapatkan tubuh ibu mentuanya dan memeluknya dengan erat.

Mereka semua merasa hiba melihat kelakuan Adilah itu. "Emak, kenapa emak pergi dulu? Dilah tak sempat nak ucapkan terima kasih pada emak sebab sudah menjaga Dilah masa Dilah sakit. Dan Dilah nak minta maaf pada emak atas semua kesilapan Dilah pada emak selama ni. Dilah tak dapat jadi menantu emak yang baik. Emak, bangunlah!" Adilah menggerak-gerakkan tubuh ibu mentuanya, namun tiada sebarang reaksi.

Kak Long kemudian memeluk Adilah, menghentikannya daripada mengejut-ngejut orang yang sudah tiada lagi. Dia menjelaskan sesuatu kepada Adilah. "Adilah, sebenarnya emak kena serangan jantung semasa Adilah sedang koma di hospital lagi. Kamu berdua dalam hospital yang sama ketika itu. Semasa doktor membuat pembedaha membuang ketumbuhan di kepala Dilah, emak juga sedang dibedah jantungnya. Namun, Allah lebih sayangkan emak. Emak tak dapat diselamatkan kerana jantungnya sangat lemah," Kak Long Ikmal bercerita sambil teresak-esak.

"Ya Allah, kenapa Engkau tidak mengambil nyawaku saja?!" Adilah meraung. Ternyata apa yang dia alami selami ni bersama Puan Faridah itu hanyalah mimpi semasa dia sedang koma.

"Adilah, tak baik menyalahan takdir. Allah tahu apa yang baik untuk Dilah dan emak. Ajal itu ditangan-Nya. Kita sama-samalah berdoa supaya roh emak dicucuri rahmat Allah, ya," Kak Long cuba memujuk lagi.

Adilah terus menangis dalam dakapan Kak Longnya. 

"Baiklah. Sekarang kita semua akan berangkat untuk mengebumikan jenazah. Diminta kepada sesiapa ahli keluarga si mati untuk mengucupnya tapi pastikan air mata kamu tidak menitis ke atas wajahnya." Kedengaran suara Imam Haji Hashim berkata.

Kesemua mereka mengucup jenazah Puan Faridah dan Adilah merupakan orang yang terakhir. Dia mengucup pipi Puan Faridah berkali-kali dan kucupan terakhirya agak lama. Dia tidak menyangka inilah kucupan terakhir yang akan diberikannya kepad ibu mentuanya itu. 

"Dilah sayangkan emak. Dilah minta maaf atas semua kesalahan Dilah pada emak. Dilah akan menyusul emak kemudian. Semoga Allah tempatkan emak dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh." Air matanya bercucuran lagi.
Adilah rebah di atas jasad ibu mentuanya. Tidak sedarkan diri.

"Adilah!" Ikmal berteriak.


TAMAT


Nota: Kedudukan ibu bapa sendiri dan mentua adalah sama tidak kira sama ada mentuanya beragama Islam atau tidak. Sama seperti tanggungjawab anak yang telah memeluk Islam terhadap ibu bapanya yang belum memeluk Islam. Satu persoalan yang perlu difikirkan bersama adalah, adakah derhaka menantu terhadap mentua, sama seperti derhaka anak terhadap ibu bapa sendiri? Adakah syurga di telapak kaki ibu, boleh diaplikasikan dalam konteks syurga di telapak kaki ibu mentua? Sama-sama kita fikirkan. (Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia)


8 comments:

Sya Izz said...

tp, knp waktu dilah kena bedah.. 'roh' dia nampak emak ada sama? kn emak kena bedah sekali?

kak, touching2. T___________________T
(len kali, bt citer heppy2 plak? haha)

Zimah Zaiwani said...

sya izz~

sbb kan akak ada mention kat situ, ms dia koma, dia mimpi je. tu sume berlaku dalam mimpi dia. bkn di alam realiti dik. dia yg rs bnd tu btl, tp sebenanya tak.....

ada sbb knp akak suka tulis cite yg ending sedih drpd happy. x sume bnd dlm dunia ni membahagiakan dik. lbh byk pahit drpd manis dlm hidup ni. itu kn semua kn sedar:)

Sya Izz said...

oooo, paham3...

erk, T________________________________________________________________________________________________________________T

Sya Izz said...

tp, best! mmmuuuaaaaahhhh! (flying kiss utk akak XD)

Zimah Zaiwani said...

insya Allah. mn2 yg baik jdkan pengajaran dlm hdp kte ya dik. mn2 yg adik rs x baik tu, semua dr kelemahan diri akak sendiri. trm ksh syg sbb sudi bc:)

fathiyyah said...

:'(

Zimah Zaiwani said...

kak uda~
kenapa yang? x best ke cite i? xde kaitan dgn sp2. just amik mn2 ygblh dijadikan pengajaran utk kita sume:)

suki lily said...

just follow my blog http://koleksiceritapendekbest.blogspot.com/

baru try nak buat cerpen hihihi dan jemput-jemputla membaca..sebarang comment dialu-alukan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails