(Dipetik daripada novel kegemaranku, "Curahan Cinta Niagara" karangan Maya Iris. Semoga bermanfaat untuk kita semua.)
* Petikan di bawah merupakan kiriman e-mel yang dihantar oleh Kak Fisa kepada Mira sebagai pemberi semangat tika dia menjalani setiap ujian hidup yang Allah SWT turunkan kepadanya. Diharapnya kita semua dapat mengambil iktibar daripada ayat-ayat di bawah kerana ia akan menjadi sangat berguna dalam hidup kita, lebih-lebih lagi apabila diri kita diuji. Selamat menghayati!
Kita selalu bertanya dan Quran sudah menjawabnya.
Kita bertanya: Kenapa aku diuji?
Quran menjawab, "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan, "Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta." (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)
Kita bertanya: Kenapa aku tak dapat apa yang aku idam-idamkan?
Quran menjawab, "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 216)
Kita bertanya: Kenapa ujian seberat ini?
Quran menjawab, "Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. (Surah al-Baqarah, ayat 286)
Kita bertanya: Kenapa kita kecewa?
Quran menjawab, "Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." (Surah Ali Imran, ayat 139)
Kita bertanya: Bagaimana harus aku menghadapinya?
Quran menjawab, "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk." (Surah al-Baqarah, ayat 45)
Kita bertanya: Kepada siapa aku berharap?
Quran menjawab, "Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain daripadanya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal." (Surah at-Taubah, ayat 129)
Kita bertanya: Apa yang aku dapat daripada semua ujian ini?
Quran menjawab, "Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka." (Surah at-Taubah, ayat 111)
Kita berkata: Aku tak tahan!
Quran menjawab, "... dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf, ayat 12)
Kita berkata: Sampai bila aku akan merana begini?
Quran menjawab, "Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan." (Surah al-Insyirah, ayat 5-6)
Nota: Jika setiap kali kita diuji oleh Allah dengan ujian seringan atau seberat manapun, satu-satunya perkara yang harus kita ingat ialah kita ini kepunyaan mutlak Allah SWT. Jadi, dia berhak untuk menguji kita dengan bermacam-macam jenis ujian bagi menentukan sejauh mana keimanan kita kepada-Nya. Andai saja kita hampir-hampir berputus asa dalam ujian ini, ingatlah kata-kata yang dikongsikan oleh Kak Fisa kepada Mira seperti yang tertulis di atas. Insya-Allah, hidup kita akan menjadi lebih bermakna bila kita menjadikan kata-kata manis Allah ini sebagai penguat semangat. Salam mujahadah!
No comments:
Post a Comment