About Me

My photo
i know what's right and what's wrong. i am cheerful and out going. it's hard for me to find the one that i want, but once i find the right person, i won't be able to fall in love again for a long time.

DO WHAT YOU LOVE

"Do what you love and you'll be good at it. Sounds simple enough. But what if you love reading comics, playing video games and watching korean dramas until your eyes pop out? Is it possible to make a career out of such things? What's the alternative? Spend all your time wishing you were brave enough to take that leap? Don't let fear stop you from doing what you love. Because ultimately, it's about being true to yourself."

Followers

Saturday, 16 April 2011

Cerpen: Cinta di Hujung Kata (Episod 1)




"Eh, Afifi, saya tak boleh nak bayar lagilah duit fotostat nota subjek Religions In Malaysia tu, sebab saya tak bawak duit hari ini," kata Ilmi kepada Afifi. 

"Lah... kalau tak boleh nak bayar hari ini, tulis jelah nama dekat kertas tu!: balas Afifi dengan nada yang agak sedikit keras sambil memberikan jelingan tajam kepada Ilmi. Jari telunjuknya menunjuk ke arah kertas kosong di atas meja bersebelahan dengannya.

Eh, apasal pulak dengan mamat ni? Tiba-tiba je nak marah orang tak tentu pasal. Cakap elok-elok tak boleh ke? Gerutu hati Hazlizawati.

Hazlizawati menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap perbuatan Afifi sebentar tadi kepada rakan sekelasnya, Ilmi dengan mimik muka penuh kebencian. Bukan benci pada lelaki itu tetapi terhadap tindakannya bercakap kasar dengan Ilmi mengenai duit fotostat nota subjek itu. 

"Hish, Ilmi, apa kenalah dengan class rep kita tu? Tiba-tiba nak tunjuk berang!"

"Entahlah. Alah, biar jelah dia tu."

Ilmi hanya buat muka selamba. Dia tidak begitu ambil kisah tentang kelakuan Afifi terhadap dirinya. Namun, berbeza pula halnya dengan Hazlizawati. Dia sangat pantang melihat mana-mana lelaki berkelakuan kasar terhadap saudara akhawatnya.

Afifi merupakan ketua kelas mereka atau class representative bagi subjek Religions In Malaysia, bagi semester itu. Dia dilantik atas persetujuan ramai, walaupun kebanyakan daripada mereka tidak mengenali dirinya dengan lebih mendalam.

Tutur kata Afifi kepada Ilmi tempoh hari benar-benar menguji kesabaran Hazlizawati. Dia tidak boleh bersabar lagi dengan kelakuan lelaki seperti Afifi. Baginya, Afifi perlu ditegur. Jika tidak, ramai orang akan menjauhkan diri daripada berkawan dengannya semata-mata kerana perangainya yang boleh dikatakan tidak berbudi bahasa itu. Ilmi tidak kisah jika Afifi bersikap kasar dengan orang sejantina dengannya tapi tidak dengan kaum Hawa. 

Kelas Religions In Malaysia berlangsung seperti biasa pada hari berikutnya. Sesudah Ustazah Zulaikha, pensyarah bagi subjek itu, memberi salam menamatkan kelas, Hazlizawati dan Ilmi berjalan pulang ke asrama masing-masing bersama-sama. Sambil berjalan, Hazlizawati terus menyatakan hasratnya ingin menegur Afifi kepada Ilmi. Kebetulan pada masa itu, Afifi juga sedang berjalan beberapa meter jauh di hadapan mereka, menuju ke blok asramanya.

"Ilmi, Liza tak tahanlah dengan perangai Afifi dekat Ilmi hari tu. Bila terfikir balik, Liza rasa macam nak marah je dia. Biar dia pulak rasa macam mana kena tengking dengan orang lain. Liza rasa macam nak tegur dia, tapi takutlah pulak."

"Hah, tunggu apa lagi. Pergilah tergur dia tu. Alang-alang dia tengah jalan seorang-seorang dekat depan tu. Pergilah." Ilmi memberi saranan.Hazlizawati kaget. Tiba-tiba badannya terasa kaku, lidahnya kelu. Perasaan takut tiba-tiba menguasai dirinya.

"Alah, macam mana nak tegur ya? Nak sangat tegur, tapi..." 

Belum sempat Hazlizawati menghabiskan kata-katanya, Ilmi terus mencelah, "Pergi jelah!" Ilmi tersengih-sengih macam kerang busuk. Geli hatinya melihat gelagat rakannya yang sejak dari tadi seperti orang tak keruan.

Namun begitu, hasrat di hati yang sudah terpendam selama beberapa hari itu terpaksa ditangguhkan dulu.

"Tak apalah, Ilmi. Lain kali jelah. Ada masa yang sesuai nanti, Liza tegurlah dia. Takut nanti kalau wrong timing, dimarahnya pulak Liza depan orang lalu-lalang ni. Manalah nak letak muka Liza ni nanti." 

Ilmi hanya tersenyum mendengar celoteh Hazlizawati itu. Dia hanya mengangguk tanda setuju dengan rancangannya. 

Keesokan harinya, Hazlizawati sudah berjanji dengan sahabat karibnya, Faiqah, untuk makan malam bersama di Restoran Kawah Thai. Restoran itu merupakan salah satu restoran yang terletak di kawasan asrama lelaki. Walaupun jarang-jarang, tapi mereka berdua lebih gemar menjamu selera di situ kerana makanan di situ menepati selera mereka walaupun harganya agak mahal berbanding dengan kafe di asrama mereka. Sambil berjalan melewati padang bola yang begitu lapang menuju ke restoran Kawah Thai, tiba-tiba Hazlizawati bersuara.
"Eh, Iqah, itu Afifilah, class rep Liza. Ingat tak hari tu Liza ada cerita dekat Iqah pasal dia?"

Faiqah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal sambil memerhatikan gerak-geri Afifi. Pada masa itu, Afifi sedang berjalan sendirian. Dari mana, mereka juga tidak tahu.

"Iqah, Liza rasa nak mintalah nombor telefon dia sebab Liza nak kotakan janji Liza pada kawan Liza nak tegur perbuatan dia kelmarin. Boleh tak?"  Mata Hazlizawati tidak terlepas dari memandang Afifi ketika itu.
"Minta sajalah. Hendak Iqah panggilkan dia?" Faiqah menyokong. Hazlizawati sekadar mengangguk.

"Afifi!" Jerit Faiqah, memanggil lelaki yang berbadan tegap, berkulit hitam manis dan berkaca mata itu. Mendengar namanya dipanggil orang, Afifi terus menoleh ke belakang dengan wajah yang tertanya-tanya. Kenapa perempuan tu panggil aku? Aku ada hutang ke dengan dia? Getus hatinya.

Melihat Afifi berhenti dan berdiri tegak di tempatnya, Hazlizawati segera berjalan mendapatkannya sambil berpimpin tangan dengan Faiqah yang sedang menematinya ketika itu. Lalu, Hazlizawati cuba memberanikan diri meminta nombor telefon Afifi.

"Err... nak nombor telefon boleh?" Pinta Hazlizawati sambil mengeluarkan telefon bimbitnya dengan tangan yang terketar-ketar. Matanya hanya menunduk ke bawah. Tidak sedikit pun dia memandang wajah Afifi yang menurutnya pada ketika itu agak masam mencuka seperti selepas baru sahaja memarahi seseorang. 

Tanpa banyak tanya, Afifi terus memberikan nombor telefonnya kepada Hazlizawati seperti yang diminta. 

"Boleh. 016-xxxxxxx." Sebenarnya dia agak tertanya-tanya mengapa Hazlizawati meminta nombor telefonnya sedangkan mereka berdua tidak pernah mengenali antara satu sama lain, walaupun mereka  belajar dalam satu kelas yang sama. Namun, dia malas hendak fikir lebih-lebih dan diberikan saja nombor telefonnya kepada gadis bermata sepet itu. 

"Terima kasih, ya," ucap Hazlizawati. Dia menarik tangan Faiqah dan mereka cepat-cepat berlalu dari situ, meninggalkan Afifi dengan seribu satu tanda tanya.

Yes, dah dapat nombor telefon dia. Lepas ni, bolehlah aku teruskan dengan rancangan bernas aku tu! He he he, ujar Hazlizawati dalam hati.


***

Hazlizawati dan Faiqah sudah lama bersahabat, iaitu semenjak dari bangku sekolah lagi. Walaupun semasa di sekolah dulu mereka tidaklah serapat sekarang, namun dengan izin-Nya, kejayaan mereka dalam peperiksaan SPM telah melayakkan mereka untuk menyambung pengajian di institusi yang sama, iaitu Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS, IIUM). Segala susah dan senang yang mereka hadapi di sini, mereka laluinya bersama-sama. Sekiranya masing-masing mempunyai masalah, tidak kiralah sama ada masalah pelajaran, diri sendiri atau keluarga, mereka akan saling meluahkan, mendengar dan menasihati sesama sendiri. Itulah kehebatan ukhuwwah yang mereka jalinkan sejak bergelar mahasiswa di CFS, IIUM ini. Terdapat satu kata-kata hikmah yang yang menjadi pegangan hidup mereka dalam berukhuwwah, iaitu:

Ukhuwwah yang terbina ibarat seutas tasbih yang ada awal tetapi tiada penghujung. Dicantum demi cinta-Nya, diratib demi redha-Nya.

Tambahan pula, sejak dari alam persekolahan lagi, kedua-dua insan ini memang sangat cintakan ilmu dan tekun dalam pelajaran. Dalam diri mereka sentiasa tersemat firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Alaq ayat 1-5 yang menjadi peringatan kepada mereka setiap hari sebelum memulakan kuliyyah. Firman itu bermaksud:
Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."

Wahyu pertama yang ditunkan Allah s.w.t. kepada kekasihnya, Rasulullah s.a.w. ini sentiasa mengingatkan Hazlizawati dan Faiqah tentang kepentingan menuntu ilmu dan surah ini jugalah yang menjadi salah satu penguat semangat kepada mereka agar tidak pernah mengalah dan berputus asa dalam menuntu ilmu di jalan Allah s.w.t. Malahan, ayat-ayat inu jugalah yang telah mengajar mereka agar sentiasa memperbaharui niat.


***
Hari berganti hari. Seperti hari-hari sebelumnya, siang melabuhkan tirainya dan kini malam pula menjelma. Matahari yang terbenam merehatkan teriknya, kini digantinkan-Nya pula dengan bulan yang memantulkan cahayanya sambil ditemani oleh para bintang yang berkerdipan dengan cerianya.

Malam itu, setelah penat pulang dari kelas Speaking and Listening, Hazlizawati terus berkhidmat diri, menyucikan diri dari segala keringat yang sudah terkumpul sejak petang itu. Selepas selesai menunaikan solat Isya', dia terus merebahkan diri di atas tilam empuknya dalam bilik asramanya. 

"Ahh, nikmatnya dapat baring!" Katanya sambil menggeliat puas.

Dia mencapai telefon bimbitnya dan terus ke buku telefon dan menaip Afifi. Dengan serta-merta nombor Afifi terus tertera di skrin telefonnya. Hazlizawati terus teringat akan rencananya ingin menegur perbuatan Afifi yang bersikap kasar terhadap Ilmi beberapa hari yang lepas. Tapi, dia masih ragu-ragu.

"Alamak, betul ke aku nak tegur dia ni? Kalau wrong timing macam mana? Ah, lantaklah apa nak jadi. Kalau asyik fikir macam tu je, sampai bila aku nak biarkan mamat sombong tu terus dengan perangai buruk dia tu! Ok, inilah masanya!"

Hazlizawati menekan punat telefon bimbitnya dan pergi ke menu Message dan terus ke ruangan Text Message. Kemudian, dia menaip.

Salam. Maaf, tumpang tanya. Afifi kalau bercakap dengan orang memang kasar ke?

Send to: Afifi
Tanpa melengahkan masa, butang Send terus ditekan. Fuhh, lega! Dah selesai kerja aku. Getus hatinya.

Sebenarnya jauh di sudut hati, Hazlizawati masih berasa waswas ingin meneruskan rancangannya itu. Akan tetapi, apabila difikirkan kembali, sampai bila dia ingin biarkan Afifi terus bersikap kasar terhadap orang sebegitu. Ditakuti hal ini akan menjadi kebiasaan dalam diri Afifi hingga ke alam pekerjaan dan ia boleh membuatkan orang-orang semakin menjauhkan diri darinya. Bagi Hazlizawati, dia tidak ingin hal seperti itu terjadi. Walau apapun, kebenaran tetap harus ditegakkan! Sebagai saudara seagama, kita disarankan untuk saling tegur menegur dan nasihat menasihati dalam hal-hal kebaikan. Jadi, aku rasa tak salah kalau aku menegur dia, Hazlizawati cuba memujuk hati.

Beberapa minit kemudian...

Tutt... tutt... tutt...
1 message received

Wa'alaikum slaam. Ha'ah, aku kalau cakap dengan orang memang kasar.
Sender: Afifi

Haii, belum tahu aku ni siapa, dah terus beraku-aku pulak. Memanglah dia ni kasar. Hazlizawati segera membalas SMSnya.
Tak adalah. Kalau boleh, minta tolong sangat diubah sikap tu. Bukan apa. Kadang-kadang kita tak sedar dengan kita bersikap macam tu akan menyakitkan hati orang sekeliling kita.

Send to: Afifi
Hazlizawati berharap agar tegurannya kepada Afifi tidak terasa begitu keras dan semoga Afifi boleh menerimanya dengan hati yang terbuka. Telefon bimbitnya berbunyi kembali dan balasan dari Afifi diterimanya.

Maaflah kalau Liza terasa. Aku memang macam nilah.

Sender: Afifi

Eh, macam mana pulak dia tahu ini aku? Sedangkan aku tak bagi pun nombor telefon aku kat dia. Hmm, pelik, pelik. Kemudian, dia membalas kembali.

Tak adalah. Liza tak kisah pun. Tapi, kawan-kawan lain tak tahulah macam mana. Takut dia orang terasa je. Manusia ni hatinya lain-lain. Kalau boleh diubah sikap tu, cubalah ubah ya. Kalau tak boleh ubah sekalipun, cuba kawal. Liza cuma nak ingatkan je.

Send to: Afifi

Message sent!

Afifi tidak pula mengirimkan kiriman balasan SMS kepadnya selepas itu. Tapi, Hazlizawati merasa lega kerana rancangannya berjalan dengan lancar. Terpulanglah pada Afifi ingin menerima tegurannya atau tidak. Yang penting, dia sudah menjalankan tanggung jawabnya sebagai saudara seagama. Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-'Asr yang bermaksud:

Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan dan saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran.


***

"... and I want you to complete all the exercises provided in this handout and submit to me by next week. Have a nice weekend!"

Setelah selesai syarahan Mr. Gopal, pensyarah bagi subjek Reading, Hazlizawati terus pulang ke asrama, sendirian. Sambil berjalan, tiba-tiba dia teringatkan Afifi. Terlintas pula di hati ingin mengenali lelaki itu dengan lebih rapat. Dia banyak mendengar cerita daripada teman-teman sekuliyyah dengannya tentang Afifi dan hampir kesemua informasi yang didengarnya tentang lelaki misteri itu tidak begitu sedap didengar oleh telinga.  Semuanya yang bruruk-buruk belaka. Menurut mereka, Afifi seorang yang sombong dan berlagak. Apabila mereka cuba berkawan dengannya, dia seperti acuh tak acuh menerima persahabatan mereka dan ini membuatkan mereka semua sudah malas ingin berteman dengannya lagi. Entah mengapa, bagi Hazlizawati Afifi bukan seperti itu. Pasti ada sebab mengapa dia begitu dingin sekali dengan orang-orang di sekitarnya. Hazlizawati nekad ingin menegnali Afifi dengan lebih dekat supaya dia dapat menepis segala prasangka buruk yang dilontarkan oleh teman-temannya yang lain terhadap Afifi.

Hazlizawati segera mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam beg, dan menaip SMS.

Salam. Tengah buat apa tu? Maaflah pasal Liza tegur hari tu.

Send to: Afifi
Send.

Kiriman SMS dari Afifi diterimanya.
Hmm, tak apalah. Maaf kalau Liza terasa. Aku memang macam nilah. Tak tahu nak ubah macam 
mana. Liza tak pergi kelas Fardhu 'Ain, ke?

Sender: Afifi

Kebetulan pada masa itu Afifi sedang bersiap-siap untuk ke kelas Fardhu 'Ain.

Oh, Liza jadi fasilitator Study Circle. Tak ada kelas Fardhu 'Ain.

Send to: Afifi
Wah! Baguslah jadi fasi Study Circle. Ustazah rupanya. Oklah, ustazah. Sya nak pergi kelas Fardhu 'Ain dulu. Nanti tak pasal-pasal kena pukul dekat punggung sebab datang lambat. Salam.

Sender: Afifi
Ok, jumpa lagi. Insya-Allah. Wassalam.

Send to: Afifi

Sejak itu, Hazlizawati dan Afifi menjadi kawan rapat dan mereka mengenali hati budi masing-masing hanya menerusi SMS dan telefon. Setelah hampir sebulan mengenali Afifi, Hazlizawati dapat merasakan ada sesuatu dalam diri Afifi yang menarik perhatiannya. Baginya, Afifi tidaklah seperti yang teman-temanya yang lain sangkakan. Baginya, Afifi seorang lelaki yang baik hati dan tetap pendirian. Dia tidak ambil peduli tentang pandangan orang lain terhadap dirinya. Walapun kebanyakan mereka sering merungut yang Afifi selalu tidak memberi peluang kepada orang lain untuk bercakap dalam kelas, tapi bagi Hazlizawati itu tidak salah. Mungkin Afifi jenis yang suka meletakkan dirinya yang paling hadapan daripada orang lain dalam pelajaran dan ini menimbulkan semangat kompetensi yang tinggi dalam kalangan pelajar-pelajar. Bagi Hazlizawati juga, hal ini tidak patut jadi sebab utama mengapa Afifi harus dibenci oleh rakan-rakan sekuliyyah dengannya.

Semakin hari, Hazlizawati dan Afifi menjadi semakin rapat. Pernah suatu hari, Afifi menceritakan tentang latar belakang keluarganya yang sebenar kepada Hazlizawati tanpa dipintanya. Selain berkiriman SMS, mereka juga sering berhubung melalui telefon secara langsung.

"Sebenarnya, saya datang daripada keluarga yang bermasalah tau, Liza. Ayah saya kaki pukul. Dia selalu pukul mak saya. Balik dari keje je, terus mengamuk. Pernah sekali tu dia cuba nak balik kerusi dekat mak saya. Tapi nasib baik saya sempat halang. Nasib baiklah ibu saya ni penyabar orangnya. Dia masih lagi boleh bersabar dengan sikap pansa baran ayah saya. Dahlah bermasalah, kami ni pun orang susah. Rumah terpaksa kami sewakan kepada orang untuk dapatkan duit pendapatan buat sara keluarga. Sekarang kami menginap di rumah nenek je..."

Sayu hati Hazlizawati mendengar kisah hidup Afifi. Sepanjang hidupnya, belum pernah lagi dia bersahabat dengan orang yang hidupnya sesukar dan seperit Afifi. Dia bersyukur dapat mengenali Afifi kerana dia banyak belajar tentang erti kehidupan yang sebenarnya daripada Afifi dan dia juga belajar untuk bersyukur dengan apa yang dia miliki, yang tidak dimiliki oleh Afifi. Tetapi, dia hairan. Mengapat Afifi sangat berterus-terang dengan dia tentang perihal keluarganya, sedangkan mereka baru saja mengenali antara satu sama lain.

"Kenapa Afifi ceritakan semua ni pada Liza ya? Bukan ke semua ni sepatutnya menjadi rahsia Afifi sekeluarga?"

"Taklah. Bagi saya, ini bukan rahsia lagi. Saya nak Liza tahu sendiri semua perkara mengenai diri saya yang sebenarnya. Daripada situ, barulah Liza boleh menilai sama ada saya ni sebenarnya baik atau sebaliknya," jelas Afifi bersungguh. 

Hazlizawati agak kurang faham dengan apa yang cuba disampaikan Afifi kepadanya. Namun, tidak diendahkannya perasaan itu. Dia tetap terus bersahabat dengan Afifi seperti biasa. Akan tetapi siapa menyangka bahawa hubungan persahabatan yang terjalin ini akan lari dari paksinya. Setiap remaja akan melalui proses ini dalam hidup mereka. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang belum pernah bergaul dengan orang yang berlainan jantinan dengannya, seperti Hazlizawati. Ternyata, kedua-dua mereka memendam perasaan terhadap diri masing-masing. Namun, masing-masing malu ingin meluahkannya secara terus.

Walaupun Hazlizawati dikenali sebagai seorang yang kuat beraga dan solehah dalam kalangan teman-temannya, namun, dia juga manusia biasa yang tidak dapat lari dari ujian perasaan seperti ini. Jika ditanyakan kepadanya mengenai permasalahan ini, dia hanya menjawab, "Kita ni mansia biasa yang sangat lemah. Kita bukan nabi jauh sekali bukan rasul. Kita juga bukan malaikat yang tidak pernah ingkar akan setiap suruhan Tuhannya. Oleh sebab itulah, kita akan terus-terusan melakukan kesalahan sepanjang hidup kita. Tapi, jangan lupa yang pengalaman itu juga merupakan guru yang terbaik. Daripada pengalamanlah kita boleh belajar tentang erti kehidupan yang sebenarnya dan daripada pengalamanlah seburuk-buruk insan boleh berubah menjadi hamba yang paling disayangi Tuhannya."


***


Tiba-tiba hari itu Hazlizawati terasa bahawa dia sudah jatuh hati pada insan bernama Afifi. Sebagai seorang yang out-spoken, dia memasang hajat ingin meluahkan saja perasaannya itu pada Afifi, tanpa menimbangkan apa-apa tindak balas kurang baik daripada Afifi. Jika dia inginkan sesuatu, dia akan berusaha dulu sebelum menyerah. Baginya, jika apa-apa terjadi pada dirinya, dia akan menyesal tak sudah kerana belum sempat meluahkan perasaannya pada insan yang dikasihinya. Dengan memberanikan diri, dia terus mengirimkan SMS kepada Afifi.

Salam, Afifi. Liza ada sesuatu nak beritahu Afifi, tapi Afifi jangan ketawakan Liza ya?

Send to: Afifi
Beberapa minit kemudian...

Tutt... tutt... tutt...
1 Message received

Apa dia?
Sender: Afifi

Kemudian, Hazlizawati terus membalas.
Ingat tak dulu masa pertama kali kita berkawan, Liza ada ingatkan Afifi supaya jangan jatuh cinta pada Liza? Tapi Liza rasa Liza yang dah jatuh cinta pada Afifi. Maaf sangat-sangat.

Send to: Afifi
Jantung Hazlizawati berdegup kencang saat dia mengirimkan SMS balasan kepada Afifi. Apalah agaknya yang Afifi akan fikir tentang aku. Dia khuatir. Telefon berbunyi lagi, tanda SMS masuk.

Maaflah, Liza. Buat masa ni saya tak nak fikir apa-apa pasal peempuan dan cinta. Saya nak belajar rajin-rajin dan ubah nasib keluarga saya. Maafkan saya.

Sender: Afifi
Aku dah agak dah. Hazlizawati kecewa.

Hmm, tak apalah. Afifi, Liza tak akan mesej Afifi lagi.

Send to: Afifi
Hazlizawati terus diserang rasa malu dan bimbang. Dia mula panik. Pelbagai macam persoalan yang timbul di fikirannya saat itu. Dia benci akukah? Salahkah apa yang aku cakap pada dia tadi? Aku sekadara meluahkan perasaan aku sebab bagiku ia suatu beban. Kenapa dia tak balas SMS aku? Betul ke dia menyampah dengan aku? Ahh!!! Hati Hazlizawati memberontak. Rasa menyesal datang menjengah diri.

Bagi menghilangkan keresahan di hati, Hazlizawati terus mendail nombor Afifi untuk meminta maaf atas keterlanjurannya meluahkan perasaanya terhadap Afifi.

Tutt... tutt... (tidak diangkat).

Lambatlah pulak mamat ni angkat. Aku dah cuak dah ni. Cepatlah! Hazlizawati semakin resah apabila telefonnya tidak ada yang menjawab.
Akhirnya...

"Hello?" Kedengaran suara garau masuk ke gegendang telinganya.

Hazlizawati memulakan bicara.

"Assalamualaikum, Afifi. Liza nak minta maaf sangat-sangat pasal SMS tadi. Mulai hari ini, Liza tak akan SMS atau call Afifi lagi." Menggelabah Hazlizawati ketika itu.
"Hmm, ok!" Jawab Afifi ringkas. Dia terus meletakkan telefon.

Hazlizawati benar-benar kesal dengan sikapnya yang terlalu mudah untuk berterus-terang. Dia menceritakan hal ini kepada sahabat karibnya, Faiqah, dan Faiqah menasihatinya agar tidak lagi senang-senang meluahkan perasaan pada mana-mana lelaki yang disukainya. Hazlizawati mendengar nasihat Faiqah dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu lagi pada masa akan datang. 

Namun begitu, siapa sangka seminggu selepas itu, Afifi masih mengirim SMS kepadanya dan meminta agar hubungan persahabatan antara mereka masih dapat diteruskan seperti biasa. Dia tidak mahu hanya kerana luahan perasaan yang dibuat oleh Hazlizawati kepadanya tempoh hari, menamatkan persahabatan antara mereka begitu saja. Ini adalah kerana Afifi berasa senang bersahabat dengan perempuan seperti Hazlizawati, kerana dalam banyak-banyak orang yang dia kenali di CFS, IIUM, hanya Hazlizawati saja yang begitu baik dan prihatin terhadap dirinya.

Dengan izin-Nya, persahabatan mereka diteruskan lagi.


***
Dua bulan kemudian, setelah berjaya melalui peperiksaan pertengahan semester, dalam beberapa hari saja lagi semua pelajar CFS, IIUM bakal menghadapi satu lagi peperiksaan besar yang bakal menentukan sama ada mereka dapat meneruskan pengajian mereka di UIAM atau tidak. Akan tetapi, peperiksaan akhir tahun bakal mereka lalui setelah tamatnya musim perayaan Aidil Fitri.

Semasa sedang beraya sakan di rumah bersama keluarga tercinta, malam itu, Hazlizawati menyedari ada kiriman SMS daripada Afifi. Ketika itu dia sedang tekun mengulang kaji pelajaran sbegai persediaan bagi menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang nanti. Dengan tangkas, dia membuka SMS itu.

Salam. Can we be honest about something?

Sender: Afifi
Hazlizawati hairan dan tertanya-tanya dengan kiriman tersebut. Lalu, dia membalas.

Be honest about what?

Send to: Afifi
At least, I wanna be honest with you about something. I really like you. Actually, I wanna say the L*** word but I think it's too early.

Sender: Afifi
Erkk.....

Hazlizawati terkedu. Apakah...?


Bersambung...


5 comments:

Sya Izz said...
This comment has been removed by the author.
Sya Izz said...

sgt best, kak :D

Zimah Zaiwani said...

tq adik. jgn lupa bc sambungannya plak..... episod 2. akak br update. hehehe

birusipendek:) said...

nice :) . rindu cikguuu !

zimah zaiwani said...

birusipendek~

terima kasih syg;)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails